Spring Sonata 8 – Vietnam : Missing in Action @ Ben Thanh Market


Setelah penat seharian melawat istana (Spring Sonata 6 – Korea : Gyeongbokgung Palace) dan disusuli dengan aktiviti membelah poket di Nandaemun Market (Spring Sonata 7 – Korea : Membelah Poket di Nandaemun Market), keesokan harinya kami bertolak meninggalkan Korea menerusi lapangan terbang Incheon, Korea jam 10.15am. Kami  tiba di Saigon, Vietnam kira-kira jam 1.40pm. Di Saigon, pemandu pelancong kami Mr. Ang telah sedia menunggu dengan cerianya.

Dari lapangan terbang, kami terus menuju ke hotel penginapan untuk berhenti rehat, mandi dan solat. Kami menginap di kawasan yang berhampiran dengan sebuah pasar terbuka yang popular untuk tujuan membeli-belah di Vietnam amnya dan Saigon khususnya yang dikenali sebagai Ben Thanh Market. Pasar ini terletak di pusat bandar di persimpangan utama antara jalan Le Loi, Ham Nghi, Tran Hung Dao Avenues dan Le Lai. Ianya juga berdekatan dengan Saigon Trade Centre, salah sebuah bangunan tertinggi di Saigon.

Kalau jumpa round about yang ada patung kuda di tengahnya macam gambar di atas ni, anda telah berada di Ben Thanh Market tandanya

Bagi anda yang ingin datang ke sini sendiri, jangan risau. Banyak hotel yang ada di sini dan berhampiran dengan kawasan Ben Thanh Market ini. Cuba ke laman web ini untuk melihat senarai hotel yang berhampiran :

Senarai Hotel di Persekitaran Ben Thanh Market
http://www.saigonhotel-link.com/hotels-in-ben-thanh-market

Semua ahli rombongan cik Kiah dalam perjalanan bersama kami menginap di Kingston Hotel. Hanya saya dan isteri menginap di Kelly Hotel yang jaraknya hanya kira-kira 50m sahaja daripada Kingston Hotel. Ini disebabkan masalah dalaman di mana salah seorang penginap di hotel tersebut tidak mahu keluar daripada bilik (mungkin kerana terlalu seronok membeli-belah) dan ingin terus menetap sehari lagi di sini. Kebetulannya bilik tersebut ialah bilik yang ditempah atas naman saya dan isteri. Sebagai seorang rakyat Malaysia yang cintakan kedamaian dan malas mahu bertegang leher dengan orang yang lebih “bijak dan penyayang”, kami beralah dan pihak pengurusan hotel yang asal telah menyediakan sebuah bilik di sebuah hotel yang terdekat. Malas nak ambil pot benda yang remeh-temeh dan kebudak-budakan begini. Lagipun tak salah dan tak rugi apa pun untuk kita beralah dan mempermudahkan hidup orang lain.

Semasa pendaftaran, jangan terkejut sekiranya anda dikehendaki menunjukkan passport bagi tujuan pendaftaran masuk ke hotel dan jangan juga terkejut sekiranya anda dikehendaki meninggalkan passport tersebut bersama pihak pengurusan hotel. Ianya bagi tujuan rekod dan keselamatan bagi mengelakkan ianya hilang atau dicuri (penyeluk saku memang agak aktif di kawasan ini). Semasa saya ke Bangkok, Thailand, tahun lalu, prosidur yang sama juga diamalkan. Walau bagaimanapun anda berhak menolak sekiranya tidak mahu meninggalkan passport tersebut bersama pihak hotel.

Selepas 1 jam di hotel menyempurnakan apa yang patut, kami bergerak ke Ben Thanh Market dengan berjalan kaki kerana jaraknya yang terlalu dekat. Sebelum memasuki pasar tersebut kami memasuki beberapa buah kedai yang menjual telekung, baju, kurung, kain ela dan kain sutera Vietnam di sekitar kawasan tersebut. Dan….kegilaan membeli-belah kaum hawa pun bermula. Tengoklah sendiri…sampai kita menjadi keliru, siapa penjual dan siapa pembeli.

Siapa penjual..dan siapa pembeli sebenarnya ni..?

Aittt...tak bangun-bangun lagi...???

Suami-suami yang teraniaya...senyum dalam derita

Saigon khususnya dan Vietnam amnya merupakan kawasan membeli-belah yang digemari oleh rakyat Malaysia terutamanya barangan sutera (Vietnam silk), kain baju kurung mahupun baju kurung yang telah siap dijahit, barangan kulit, barangan sukan, jam tangan dan banyak lagi. Harganya jauh lebih murah berbanding di Malaysia. Kualitinya pun boleh diterima.

myHoney sempatlah membeli beberapa helai telekung dan baju kurung untuk keluarga dan rakan-rakan terdekat. Kalau diikutkan hati, katanya memang nak borong semua kerana cantik dengan harga yang agak murah tetapi memandangkan bag kami sememangnya sudah sendat dan melebihi kuota 40kg yang diperuntukkan oleh airline..niat tersebut ditangguhkan dengan ucapan berikut:

“tak apa kan bang, nanti bila-bila free, kita datang sini lagi. 1 jam setengah jer dari KL. Rasa macam senang jer kalau kita nak datang sendiri nanti. Balik hari pun boleh. Tak pun kita pergi hari Jumaat , balik hari Ahad.

“Haaa…sudah…dia sudah boleh berfikir sendiri dan merancang…habislah…”

Di luar kedai-kedai begini berkeliaran peniaga-peniaga kaki lima yang bergerak menjadikan pelancong sebagai kumpulan sasaran. Memandangkan cuaca yang agak panas, penjual air kelapa ini memang kelihatan menggoda…opsss…air kelapa yang dijual ya bukan orang yang menjual…citttt…!!! Otak kotor punya orang….hee hee…

Penjual air kelapa penghilang dahaga

Harga air kelapa ini ialah USD 1 untuk dua biji tetapi jangan terkejut ada juga yang menjual USD 1 untuk sebiji malah ada juga yang USD 2 untuk sebiji. Semuanya perlu ditawar harganya di sini.

Oh ya..lupa nak cerita, matawang Vietnam ialah Dong. 100 000 Dong bersamaan dengan kira-kira RM 15. Selain itu USD dan Ringgit Malaysia juga diterima oleh kebanyakan peniaga di sini. Oleh yang demikian, bagi anda yang teringin beraksi seperti orang kaya yang mampu membeli-belah sehingga beratus-ratus ribu atau berjuta-juta Dong….jemputlah datang ke Vietnam ya.

Bahasa Malaysia juga popular di kalangan ramai peniaga. Ayat-ayat asas seperti ini sering kedengaran:

“Mari..mari..murah..murah…”
“Cari apa abang, sini semua ada”
“Kakak cantik…masuklah dulu tengok…”
“Abang hensem…mahu perempuan Vietnam…murah-murah…jangan malu-malu.”

Opssss…ya…ucapan yang terakhir tu juga popular. Terdapat ramai “broker” di sini samada yang berjalan kaki mahupun yang bermotosikal menawarkan “perkhidmatan layan pelanggan”. Maka…berhati-hatilah ya. Jauhilah apa juga aktiviti yang membawa atau mendekatkan kita kepada kehancuran dan kegiatan yang tidak bermoral serta dilaknat sebegitu.

Selain itu, disebabkan kawasan Ben Thanh Market ini sememangnya sesak, hati-hati juga dengan penyeluk saku profesional terutamanya dari seseorang yang anda tidak jangkakan..kanak-kanak. Ya..kanak-kanak…mereka bergerak dalam kumpulan dan profesional dalam bidang penyelukan saku yang diceburi. Ini dimaklumkan oleh pemandu pelancong kami di sini. Sekiranya anda membawa bag jenis backpack (belakang), ada baiknya juga di kawasan-kawasan sesak, ianya di bawa ke hadapan (jadikan frontpack…hee hee). Tetapi janganlah terlalu risau sehingga hidup dalam ketakutan atau bila dah sampai Vietnam, tak mahu keluar hotel pula. Di mana-mana pun sama…negara kita juga. Apa yang penting, sentiasa berjaga-jaga, hati-hati, letakkan sedikit rasa curiga dan syak wasangka dalam diri…insyaallah selamat.

Cuaca memang agak panas dan Ben Thanh Market yang sememangnya sesak dengan manusia dan barang jualan memanaskan lagi suasana sekitaran. Walaupun panas, ianya tetap penuh sesak dengan manusia. Mengapa…??? Kerana di sini sememangnya macam-macam ada. Kiranya tidak sah kalau sesiapa yang ke Vietnam, tidak mengoyakkan sedikit poket di sini. Sebut sahaja apa dia…jam tangan, kasut kulit, kasut sukan, alatan sukan, aksesori wanita, bag tangan, cenderahati, baju T, kemeja, alatan elektronik…semualah.

Biasanya harga yang diletakkan memang agak mahal awalnyadan adalah menjadi tanggungjawab kita untuk tawar-menawar. Panduan untuk menawar….tawarlah harga sehingga 1/3 atau sekitar 50-60% daripada harga sebenar yang diletakkan. Seterusnya, belajarlah buat-buat kecewa dan tidak mahu membeli dan bergerak dari kedai yang dikunjungi…anda pasti ditarik oleh peniaga dan ditawarkan dengan harga yang dikehendaki.

Kakak cantik..tolong jangan pergi. OK..OK. Bolehlah ambil dengan harga tu.

Walaupun kebanyakan barangannya berjenama terkenal tetapi bukannya asli, tetapi bagi sesiapa yang rajin merayau mungkin anda akan bertuah berjumpa dengan produk yang berkualiti hampir sama dengan yang asli. Seorang rakan yang gila bola memaklumkan, kalau sepasang kasut bola berjenama terkenal dibeli di Malaysia berharga kira-kira RM 1000, di Vietnam ini beliau boleh dapatkan dengan harga sekitar RM200…dengan kualiti, jenama dan rekabentuk yang berbijik-bijik sama. Mujurlah saya tak minat kasut bola…kasut pun tak minat sebenarnya. Kalaulah boleh pergi pejabat hanya dengan berselipar, memang pasti saya akan berselipar nanti. Bebas…sejuk…lapang.

Selain itu, di sini juga popular dengan biji teratai dan biji gajus yang digoreng. Seeeedaapppp. Harga sebalang antara RM 25 hingga RM 30, ikut berat. Kalau inginkan yang lebih murah, boleh sahaja beli yang belum dipakejkan…timbang seperti beli kacang tanah di pasar malam tu. Nak beli seguni pun boleh. Tiada siapa yang akan menghalang.

Pelbagai jenis kacang dan makanan ringan turut dijual sama di sini

Budaya membeli di pasar ini juga agak menyeronokkan. Selain dari adengan tawar menawar, adengan tarik menarik juga sering berlaku. Peniaga yang rata-ratanya merupakan gadis Vietnam yang kecil molek akan bersidai di tepi kedai masing-masing..sambil memujuk anda berhenti seketika membeli barangan mereka. Ada juga yang suka memegang…kiranya, asyik batal wuduk sahajalah kita kaum lelaki ni kalau ke sini.

Gadis-gadis Vietnam yang berniaga...bijak memujuk pelanggan

Kantoi...dua baju yang berbeza. Yuppp..memang betul. Tiap-tiap hari dia ni datang ke mari. Tak boleh nak diselamatkan lagi.

Ben Thanh Market ini akan biasanya dibuka seawal jam 6.30am dan tutup pada jam 6.30pm. Menurut Mr. Ang, pemandu pelancong kami di sini, anda tidak dinasihatkan datang terlalu awal pagi. Tidak seperti budaya perniagaan di Malaysia, orang pertama yang berurusan dengan mereka tidak digalakkan menawar harga. Ini kerana sekiranya harga yang ditawarkan itu tidak terlalu menguntungkan mereka (peniaga), maka seolah-olah keseluruhan perniagaan bagi hari tersebut tidak akan menguntungkan mereka nantinya.

Sebaik sahaja kedai-kedai di dalam Ben Thanh Market ditutup, ianya tidak mati disitu sahaja. Kehidupan malam di Ben Thanh Market pun bermula. Gerai-gerai menjual pelbagai barangan mula dibuka di sepanjang jalan sekitar Ben Thanh Market. Ia seolah-olah pasar malam di Malaysia dan ianya dibuka untuk urusniaga sehingga ke tengah malam. Bagi yang ingin mendapatkan telekung, kain baju kurung, bag tangan, kemeja-T dan sebagainya dengan harga yang lebih murah, jangan lepaskan peluang untuk ke pasar malam ini. Gerai-gerai makanan dan minuman juga turut disediakan bagi sesiapa yang memerlukannya.

Pasar malam di sekitar Ben Thanh Market

Kalau malas nak ke Vietnam, anda juga boleh ke tapak pesta konvokesyen UTM untuk membeli barangan-baranagan seperti yang dipaparkan di sini

Memandangkan kami hanya transit sehari sahaja di Saigon, maka lain-lain aktiviti jalan-jalan cari pasal di Saigon khususnya dan Vietnam amnya tidak dapat dijalankan. Banyak sebenarnya tempat-tempat yang menarik di sini seperti Cu Chi Tunnels (terowong kecil yang digunakan semasa peperangan dahulu tu), menaiki sampan menyusuri Sungai Mekong dan banyak lagi.  Kita boleh ikuti pakej-pakej yang disediakan oleh pihak hotel (atau agensi pelancongan tempatan yang berhampiran) sekiranya berminat.

Banyak pakej jalan-jalan cari pasal yang disediakan. Pilih sahaja mengikut citarasa anda

Apa-apa pun…bila kita merayau di negara orang begini, akhirnya kesimpulan yang sama boleh dibuat. Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat kita berkuak-lentang. Malaysia jugalah yang dekat di hati….segalanya ada di sini .

Tamatlah sudah Episod Spring Sonata : Korea – Saigon. Sebarang salah dan silap mohon maaf ya. Tidak terlintas di fikiran untuk menyinggung sesiapa. Apa yang tertulis disini hanya luahan hati mengikut apa yang dapat dipandang dan dirasa. Apa maklumat yang dirasakan baik dan berguna, harap dapat dimanfaatkan. Apa juga maklumat yang mungkin salah dan  dianggap tidak berguna….apa nak buat..tekan sahajalah butang Back pada browser tu. Google sendiri apa yang diperlukan. Mungkin Wikipedia boleh membantu…

Terima kasih kerana membaca

About these ads

Posted on April 20, 2012, in Travelogue-Luar.Malaysia, Vietnam and tagged , , , , , . Bookmark the permalink. 6 Comments.

  1. perh… kak masih simpan number tour guide mr. Ang?
    mcm nak g sana ~~

  2. Aiseyman. Sorrylah dik…dia ada bagi kad dulu tu. tapi dah lama sangat, tak ingatlah pula mana letak.

  3. salam kak,
    nak tanya gambar yg akak dok melepak dlm kedai beli kain/baju tu kedai apa dan kat mana ek? yg ada kain in roll tu eheh

  4. slm.. best pulak baca blog ni.. santai …. InsyaAllah sy pun ke sana hujung bulan ni, kerja sambil jln2 .. kerja sket jln2 yg lebih.. thanks so much for the infos

  5. kasut lelaki murah tak?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 50 other followers

%d bloggers like this: