Spring Sonata 1 – Saigon : Bermulanya Sebuah Perjalanan


Pada cuti pertengahan semester yang lalu (April 2012) saya dan isteri mengambil keputusan untuk bercuti untuk merehatkan diri seketika dari kesibukan tugas yang semakin hari semakin kelihatan ombaknya…di lautan yang tidak bertepi…tenang tetapi menggusarkan.

Puas berfikir ke mana lokasi yang ingin dituju, kami mengambil keputusan untuk ke Korea. Mengapa Korea…??? Tiada sebab yang khas…cuma mungkin kerana Korea adalah negara 4 musim yang terdekat dengan Malaysia (kalau tak silap saya) dan teringin juga untuk melihat cara hidup dan gaya orang Korea yang selalunya nampak penuh emosi, dramatik, pantas bergerak dan bertindak, serius dalam kerja tetapi ada masanya kelihatan kelakar tak ingat dunia (ini semua merupakan kesan dan pengaruh daripada filem dan rancangan TV Korea lah ni…hee hee).

KoreaSelepas meninjau beberapa pakej percutian dan membandingkan dengan potensi diri untuk kami bergerak sendiri akhirnya keputusan dibuat. Tujuan bercuti kali ini ialah untuk berehat maka biarlah agen pelancongan yang menguruskan semuanya. Tak perlulah susah-susahkan diri untuk berfikir tentang ke mana nak pergi, di mana perlu di cari bas atau keretapi. Untuk tujuan adventure dan jalan-jalan cari pasal yang lebih mencabar..mungkin di lain kesempatan bila cuti yang lebih panjang mengizinkan.

Kami mengambil keputusan bergerak dengan agen pelancongan yang sama pernah kami ikuti semasa mengelilingi sebahagian daripada negara Eropah tahun lalu (German, Switzerland, Perancis, Belanda, Belgium dan England). Selain dari beberapa sebab yang tersirat, terdapat beberapa sebab yang tersurat mengapa ianya dipilih :

  1. Penjagaan waktu solat (jamak).
  2. Usaha untuk menyediakan makanan halal di setiap lokasi yang dituju sekiranya ada.
  3. Pengurusan yang sistematik serta kerjasama dengan agensi pelancongan lokasi yang dituju yang baik.

Selain itu, satu lagi sebab ialah pakej perlancongan muslim sebegini digemari oleh ramai kakak, abang, makcik, pakcik, mak aji, pak aji…dan menyebabkan setiap perjalanan lebih menyeronokkan. Saya suka melihat gaya pakcik dan makcik ini bila di perantauan. Suka untuk mengusik dan merisaukan mereka bila berkesempatan. Di samping itu mereka juga biasanya lebih prihatin dan terlebih penyayang menyebabkan setiap perjalanan terasa seperti sebuah keluarga yang besar.

Sekurang-kurangnya, sekiranya dipanjangkan umur bila kami berkesempatan untuk mengerjakan umrah dan seterusnya menunaikan haji nanti, kami telah biasa bergerak dan hidup bersama di perantauan bersama golongan warga emas dan warga perak yang penuh dengan pelbagai ragam dan tersirat di dalamnya seribu kecelaruan dan juga kedamaian. Banyak yang boleh dipelajari daripada pergaulan dan pengalaman bersama warga yang perlu dihormati dan disayangi ini. Sesuatu yang sukar diperoleh dari mana-mana buku di perpustakaan universiti.

Baiklah…kita sambung cerita sebenar yang ingin dikongsikan bersama di sini sebagai satu ruang perkongsian maklumat dan pengalaman agar sama-sama kita mendapat manfaatnya. Insyaallah.

Perjalanan jalan-jalan tengok Korea yang dipilih ini akan transit pergi dan balik di Saigon, Vietnam…bermakna kami juga akan berkesempatan jalan-jalan tengok Vietnam nantinya pasti.

Rombongan cik kiah kali ini disertai oleh 31 orang termasuk ketua rombongan – Ridzwan, seorang anak muda wakil dari agensi pelancongan, tujuh orang lelaki dan selebihnya wanita dan seorang adik kecil. Abang Asri dan Kak Yani dari Nilai, Hj. Roslan bersama isteri dan seorang anak perempuannya dari Keramat, Hj. Rashid bersama isteri dan cucu kecilnya Aishah, Fikri dan isterinya Fida dari Penang, Abang Rahim dan isteri juga dari Penang, Kak Yatie, Kak Dayang, Kak Hasnah, Kak Normah, An, Alice, Safina dan ramai lagilah. Tak mampu untuk disenaraikan semuanya di sini.

rombongan cik kiah

Antara ahli rombongan Cik Kiah kali ini

Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Saigon memakan masa kira-kira 1 jam 30 minit dan jaraknya pula kira-kira 1000 km. Kami bertolak dari KLIA pada jam 2pm dan selamat sampai ke Saigon kira-kira jam 3pm (waktu Vietnam). Waktu di Saigon adalah lewat 1 jam dari waktu di Malaysia.

Penerbangan ke Incheon, Korea dari Saigon pula ialah pada jam 11.35pm. Ini bermakna ada kira-kira 8 jam lagi dan adalah rugi sekiranya masa yang terluang itu dibazirkan begitu sahaja dengan menanti. Oleh yang demikian, dari airport kami bergerak keluar menuju ke pusat bandar Saigon untuk melihat persekitaran dan kehidupan rakyat Vietnam amnya dan rakyat Saigon (atau juga dikenali sebagai Ho Chinh Minh City) khususnya.

Saigon Central Mosque

Memandangkan ramai di antara kami dalam rombongan cik Kiah ini yang masih belum sempat menunaikan kewajiban yang utama, maka lokasi pertama yang dituju ialah surau atau masjid yang berdekatan. Pemandu pelancong kami, Mr. Ang seorang rakyat tempatan yang mampu berbahasa Melayu dan Inggeris membawa kami ke sebuah masjid yang dikenali sebagai Saigon Central Mosque. Ianya dibina oleh pendatang India Muslim dari Selatan negara India yang datang berdagang pada tahun 1935 dan masjid ini terletak di tengah-tengah kesibukan bandar di Dong Du, Quan 1, Ho Chi Minh City.

Bergambar di hadapan Masjid Besar Saigon selepas selesai menunaikan solat

Jelas di sini dapat diperhatikan kedaifan rakyat tempatan yang berniaga dan menagih simpati di kaki-kaki lima. Di hadapan masjid misalnya penuh dengan aktiviti perniagaan kecil-kecilan dan kelihatan juga beberapa orang anak muda yang siap bersedia menawarkan perkhidmatan mengilatkan kasut anda. Jangan terpedaya dan kononnya bersimpati dengan menyerahkan kasut anda untuk “diservis”. Anda akan terkejut dengan jumlah bayaran yang diminta nanti. Asalnya niat untuk membantu atau bersedekah mungkin boleh bertukar menjadi marah. Mujurlah saya pakai kasut kanvas yang tidak mungkin boleh dikilatkan.

Di hadapan masjid, penuh dengan aktiviti perniagaan kecil-kecilan

Permandangan biasa di kaki lima sekitar Saigon


Saigon Post Office

Selepas selesai solat, kami bergerak ke sebuah pejabat pos utama di Saigon. Pejabat pos…???? Yuppp..Pejabat Pos, bukan kerana gila kentang mahu membeli poskad atau stem ataupun mahu mengepos diri sendiri balik ke Malaysia tetapi Saigon Post Office is one of Vietnam tourists favourite travel site in Ho Chi Minh City. It was designed and constructed by the famous architect Gustave Eiffel, the fellow who also built the Eiffel Tower and the Statue of Liberty. Ehhh…apasal tertulis omputeh pulak ni…Ishhh..sorry. Lupa nak tukar slang semula selepas membaca sejarah pejabat pos tu tadi.

Bergambar berlatarbelakangkan Saigon Post Office

Dibina sekitar tahun 1886 sehingga tahun 1891, Pejabat Pos Saigon ini memang indah dan unik dari segi senibinanya…(bagi yang berminat dan menghayati, bagi yang tidak, ia seumpama sebuah bangunan besar yang sesak dengan awang tak larat).

Selain daripada masih berfungsi sebagai salah sebuah pejabat pos terbesar di Saigon, ianya juga berperanan sebagai salah satu pusat tarikan pelancong dan pusat jualan cenderahati. Kami meluangkan masa sekitar 45 minit di sana. Bagi anda yang berminat mengumpul T-Shirt Hard Rock Cafe…Cafe Batu Keras tersebut berada tidak jauh dari pejabat pos ini…berjalan lebih kurang 10 minit mengikut arah bau kopi…

Senibina di dalam Saigon Post Office

Kedai cenderahati turut disediakan di dalam pejabat pos ini

Siapa sangka setelah hampir 4 tahun tidak ke pejabat pos di Malaysia, saya kini berada di
pejabat pos Saigon.

Kami juga berkesempatan melawat kawasan menarik di sekitar kawasan yang sama seperti Notre Dame dan juga City Hall. Kebanyakan bangunan pejabat di sini kelihatan seperti bangunan-bangunan Eropah dari segi senibinanya mahupun bahan (batu merah) yang digunakan bagi tujuan pembinaan. Mungkin disebabkan ianya pernah dijajah oleh negara-negara tersebut suatu masa dahulu.

Senibina bangunan yang sedikit sebanyak dipengaruhi oleh senibina bangunan di Eropah

Vietnamese Water Puppet Show

Seterusnya, dari Pejabat Pos Saigon pula kami bergerak untuk menonton persembahan yang dikenali sebagai Vietnamese Water Puppet Show bertempat di Golden Dragon Theatre. Terdapat 3 persembahan pada setiap hari iaitu pada jam 5.00pm, 6.30pm dan 7.45pm. Setiap persembahan puppet memakan masa kira-kira 50 minit dan harga tiket ialah kira-kira RM30. Ianya merupakan satu persembahan yang agak unik di mana puppet atau patung pelbagai bentuk (petani, kerbau, ikan, burung, rama-rama dan banyak lagi) dipersembahkan membentuk pelbagai cerita tradisional rakyat Vietnam. Apa yang uniknya ialah lakonan patung-patungnya serta tok dalangnya sekali berada di dalam air.

Vietnamese Water Puppet Show

Setiap pergerakan dan jalan cerita diiringi dengan muzik dan nyanyian tradisional Vietnam. Walaupun sepatah halal kami tak faham tetapi atas dasar menghargai idea, usaha, kreativiti dan budaya masyarakat setempat, persembahan itu boleh dikatakan agak menghiburkan juga. Kira sempat jugalah saya termenidurkan diri sendiri dalam 5-7 minit akibat keletihan dan keasyikan dialunkan muzik tradisional Vietnam.

Kalau saya rajin, nanti saya masukkan video persembahan water puppet ini ya….

Selepas selesai persembahan, kami terus bergerak menuju ke restoran halal yang dikenali sebagai Kedai Makan Melayu. Selain dari Kedai Makan Melayu, terdapat beberapa buah restoran Halal lagi di Saigon seperti Halal@Saigon, D’Nyonya, Sate House, Kedai Mamak dan juga beberapa buah restoran Turki. Kebanyakannya berada di kawasan yang tidak jauh daripada Saigon Central Mosque.

Bila perut sudah diisi, kami terus bergegas ke airport untuk check in dan meneruskan perjalanan ehhh…penerbangan ke Incheon Korea. Spring Sonata…here we come. Nantikan kemunculan kami di jalan raya-jalan raya yang berdekatan dengan anda.

Vietnam…selamat tinggal untuk seketika. Kami akan kembali lagi 4 hari lagi…kali ini untuk membantu ekonomi negara anda dengan aktiviti membeli dan membelah poket masing-masing.

Bersambung ke Spring Sonata 2 : berSpring Sonata di Nami Island

atau untuk menonton koleksi 5 episod video travelogue di sepanjang sesi jalan-jalan cari pasal kami ke Vietnam dan juga Korea yang lalu…terus sahaja ke sini : Video Travelogue Vietnam-Korea

Posted on April 17, 2012, in Travelogue-luar.Negara, Vietnam and tagged , , , . Bookmark the permalink. 7 Comments.

  1. best lah Dr J ngan Dr Z wrote the whole journey here. My husband and I also wrote our journey to Saigon and Korea but only in point form so that it will be a memorable moment for us too. Bile baca balik kedua2nya (yours and ours) I prefer yours sebab lagi jelas dan tak akan terlupa setiap insiden. Yang best nya kami pos sekeping poskad utk anak2 kami di Malaysia sbb nak tengok efficiency pos vietnam dan malaysia. oklah, kata tourist guide it will take minimum two weeks to reach the recepient tapi baru 5 hari dah dapat. continue ye Dr J, nak baca lagi….

  2. zainudin hassan

    macam kena pergi ni…..

  3. Kak Min…hee hee. saya pun baru jer nak membuat travelogue ni…sebab kalau update difacebook…selalunya hilang ditelan status. so bila tulis kat blog ni..sebenarnya bukan untuk bacaan orang sangat pun..untuk simpanan kenangan sendiri. Lagipun based on experience…ada baiknya juga kita share dengan kawan2 yang lain…mungkin ada kebaikan yang boleh diikuti dan keburukan yang boleh dielakkan oleh orang lain.

    Din…tak payah pergi. Dok jer kat pejabat tu…buat paper journal. hee hee

  4. wah.. rasa glamer sebentar nama saya tercatat di entry ini🙂 tak sangka ye saya jumpa sepasang Dr di sana.. slamber2 je panggil “akak/abang” hihihi..

  5. Ait..Macam mana budak Safinah ni boleh sesat sampai ke sini…?? Adik…mak mana..?? Sesat ya…??

  6. Wow that was odd. I just wrote an really long comment but after I clicked submit my comment didn’t show
    up. Grrrr… well I’m not writing all that over again.
    Anyways, just wanted to say superb blog!

  7. Salam. Tqvm Doc…very sweet of you & dearie Prof…esok sy dah nak g Korea, baru jumpa dan baca nih… itinerary lebih kurang sama…HUH!! Memang akan ‘paksa’ tourist guide tu tukar plan…. malas betul nak g tempat2 mahal macam di Dongdaemun & kilang batu ametyst tu>>> Dongdaemun tu boleh tukar, tapi kilang tu mungkin tak sb mmg ada perjanjian dr kerajaan Korea (ada % la tu)..:):)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: