Spring Sonata 2 – Korea : berSpring Sonata di Nami Island


Perjalanan sejauh lebih 3500km dari Saigon, Vietnam ke bandar Incheon di Korea, mengambil masa kira-kira 4 jam 30 minit menerusi penerbangan Vietnam Air. Kami selamat sampai ke bandar Incheon kira- kira jam 6.40 pagi (Waktu di Korea ialah awal 1 jam dari waktu Malaysia). Catatan awal perjalanan semasa  di Saigon sebelum sampai ke Korea boleh di baca di sini.

Merehatkan kaki di awal pagi di lapangan terbang Incheon, Korea Selatan

Korea ialah negara 4 musim, maka bagi anda yang mengigau terasa ingin bermain dengan salji, melihat bunga mekar berkembang dan kemudiannya luruh atau pun sekadar menikmati musim panas di negara orang…Korea mempunyai semua ciri-ciri tersebut. Kami ke Korea pada bulan April dan pada masa itu musim salji (Winter) baru sahaja selesai dan digantikan dengan musim bunga dan dedaunan kembali menunjukkan diri (Spring). Cuaca pun tidak begitu sejuk tetapi jaket masih perlu dipakai kerana angin sepoi-sepoi bahasa Korea sememangnya mengundang kedinginan sehingga ke tulang sum-sum (perghhhh). Hujung tahun pula biasanya musim Autumn dan di waktu itu Korea memang berseri dengan bunga-bunga dan daun-daun pokok yang merah dan mengasyikkan. Itupun kalau ada yang sanggup melancong di bulan Ramadhan dan musim raya biasanya.

Ehhh…jauh pula meleretnya kita ni. Kalau nak tahu pasal cuaca dan 4 musim di Korea, Google sahajalah sendiri ya. Kembali ke pangkal jalan…kita teruskan cerita tadi…

Di Incheon, pemandu pelancong kami, seorang Kak Long Korea separuh jelita bernama Miss Julie telah sedia menunggu bersama pembantunya yang suka dipanggil dengan nama orang putihnya…Mr Mike. Mr Mike bertindak sebagai pembantu dan juga selaku jurugambar yang tidak bertauliah di sepanjang aktiviti kami di Korea.

Pemandu pelancong kami di Korea Selatan : Miss Julie

Dari airport kami dibawa menaiki bas yang mengambil masa kira-kira 2 jam terus ke hentian feri untuk ke Nami Island atau Pulau Nami. Pulau Nami terletak kira-kira 60 km dari bandar Seoul dan ianya dinamakan bersempena nama seorang general tentera yang bernama General Nami. Beliau merupakan pejuang negara yang hebat berperang mempertahankan kedaulatan negara dan terkorban di usia muda iaitu 26 tahun (perghhhh… Kalaulah arwah mak saya masih hidup, dia mesti berguling-guling tidak percaya dan tidak menyangka anaknya ini yang mana Sejarah Melayu Melaka pun hancussss tetapi sejarah pulau Nami yang ini, boleh tahulah pula).

Sebelum sampai ke Pulau Nami, kami berhenti seketika menikmati makan tengahari di sebuah restoran tradisional Korea. Hidangan dinikmati dengan cara duduk bersila di atas lantai kayu tetapi hidangan dihidangkan di atas meja ala Jepun. Pada awalnya risau juga duduk di atas lantai kayu tersebut kerana agak panas…apa hal pula ni…? Rupa-rupanya heater/pemanas dipasangkan dan ianya disalurkan menerusi lantai kayu tersebut. Ahhhh…lega rasanya di hati….ingatkan punggung nak terbakar ke apa ke….hee hee

Menanti hidangan makan tengahari disempurnakan

Banyak hidangan yang disediakan tetapi semuanya dalam kuantiti yang sedikit serta dijamu pula di dalam mangkuk kecil. Nasinya pula dihidangkan di dalam mangkuk yang bentuknya sebijik macam lesung batu di negara kita.

Sebahagian daripada hidangan berbentuk sayuran yang disediakan

Nasi pula dihidangkan di dalam mangkuk seperti lesung batu

Diet orang Korea memang sihat. Kebanyakan hidangan yang disediakan adalah berasaskan sayuran dan protein. Salah satu hidangan wajib mereka ialah Kimchi iaitu sejenis kobis jeruk yang masam-masam pedas rasanya. Salah makan dan kalau perut tak tahan memang ke toiletlah kita semua. Ntahlah..saya tak makan kerana tidak pasti bahan yang digunakan dalam proses menjeruk. Bila kita kurang pasti…lebih baik kita makan magee mee nanti…hee hee. Sedap ke semua makanan yang disediakan? Tak perlulah tanya…kita bukannya berada di rumah sendiri. Makan sekadar mengalas perut dan bukannya untuk membulatkan perut.

Nami Island : Pulau Cinta Hati

Dari restoran, kami berjalan kaki menuju ke pelabuhan feri untuk ke Nami Island. Jangan risau…tak jauh. Kalau merangkak pun boleh sampai…tetapi janganlah buat begitu kerana tindakan sedemikian hanya akan memalukan Malaysia sahaja nanti. Berjalanlah seperti manusia biasa dan kita akan berada di jeti 5 minit kemudiannya. Di sana terdapat pintu gerbang yang tertulis Welcome to Naminara Republic : Immigration. Jangan risau..bukan immigration betul. Ianya sekadar gimik seolah-olah kita akan memasuki sebuah republik yang baru..Republik Naminara.

Welcome to Naminara Republic. Immigration.

Yezzzaaa….sudah selesai melalui proses imigresen. Sah bukannya pendatang tanpa izin. Masa untuk menaiki feri ke seberang sana

Tiket masuk ke Republik Naminara termasuk harga tambang feri untuk pelancong luar (kitalah tu) ialah 8000 Korean Won (KRW). Mahalnya ??? Taklah sangat. Cara paling mudah untuk menganggarkan tukaran wang antara Korean Won dengan Ringgit Malaysia ialah buangkan 3 angka kosong yang terakhir dan darabkan angka yang tinggal dengan 3 maka 8000 won adalah bersamaan dengan kira-kira RM 24). Feri untuk ke pulau pula adalah di setiap 10-20 minit (atau setiap 30 minit sekiranya anda tiba di awal pagi – 7.30am – 9.00 am). Masa menaiki feri pula, sekejaaaappppp sangat. Jangan risau…tak sampai pun 10 minit. Kiranya kalau tak tahan nak pergi toilet…sempat lagi bahan buangan tersebut  di bawa ke seberang sana…hee hee.

Di atas feri menuju ke Pulau Nami

Bagi peminat drama popular bersiri Korea yang popular suatu masa dulu – Winter Sonata maka Pulau Nami ini merupakan destinasi wajib untuk anda. Ini kerana banyak penggambaran drama tersebut dijalankan di sini. Ia pastinya akan mengimbau kembali kenangan cinta hati lara antara…hmmm susah mahu cerita kerana saya sendiri tak pernah sekali pun menonton drama tersebut. Kenal nama Winter Sonata tu pun kerana terdengar lagu alih bahasa yang ada kaitan dengan drama tersebut yang dinyanyikan oleh Hafiz ehhh bukan….Hazama ke ehhh Hazami ehhh…ntah tak ingatlah pula siapa yang menyanyikan lagu tersebut. Tak apalah…tak penting pun untuk diingati, bukannya ada kuiz pun selepas ini nanti.

Bergambar kenangan bersama ahli rombongan cik Kiah yang lain. myHoney tak ada dalam gambar ni kerana dia bertemu dan kemudian sibuk bersembang dengan rakan sekerja yang kebetulannya juga datang ke pulau ini

Heroin sebenar dalam kisah hidup 4 musim Sonata saya sendiri

Walaupun Pulau Nami ini ada sejarahnya sendiri namun demikian ianya dikatakan mula popular selepas drama tersebut. Wajah hero dan heroin drama tersebut berada di merata-rata tempat di pulau ini. Sekurang-kurangnya kita rakyat Malaysia harus berbangga kerana cara kita menghargai artis dan drama/filem hampir sama dengan cara orang Korea…lebih daripada menghargai negarawan dan nilai sejarah itu sendiri.

Wajah dan patung mamat dan minah ni ada di merata-rata tempat di pulau ini. Mungkin merekalah agaknya hero dan heroin cerita Winter Sonata tu.

Berhenti rehat sambil si isteri menggedik seketika

Salah satu lokasi popular di pulau Nami ini ialah kawasan deretan pokok-pokok kayu besar  yang di tanam lurus. Tak tahulah mengapa…mungkin ianya popular kerana ada kaitan dengan cerita Winter Sonata itu jugalah agaknya. Mungkin di sinilah tempat hero dan heroin drama tersebut berkejar-kejaran ala-ala Shah Rukh Khan dan Salamiah Hassan agaknya.

Tak faham cerita ni tentang apa…tapi layan jerlah..

Pelawat memang agak ramai di pulau ini dan semuanya seperti gila untuk mengambil gambar kenangan pelbagai gaya dicelah-celah pokok tersebut. Untuk tidak dikatakan tidak menghargai atau tidak mengerti sejarahnya yang tersendiri, kami pun ikutlah sama gila-gila mengambil gambar kenangan di celah-celah pokok tersebut.

Asalkan ada pokok…kita shoot…asalkan kita shoot ada pokok

Kalau dah macho…nampak lubang hidung pun tetap macho..kik kik

Permandangan dan persekitaran di pulau ini juga memang bersih, nyaman dan mempersonakan bagi sesiapa yang ingin dan rajin menikmati dan menghargai. Bagi yang tidak…ia hanyalah sebuah pulau yang penuh dengan deretan pokok dan taman-taman. Kalau pergi Hutan Bandar Johor Bahru pun agaknya cukuplah untuk mereka.

Selepas puas berlegar-legar seperti layang-layang terputus tali, kami terus bergerak mencari sebuah restoran yang di hadapannya terdapat pintu gerbang. Bukan untuk mencari makan tetapi berdasarkan maklumat yang diberikan oleh Miss Julie dan disokong dengan carian di Google sebelum ini, dimaklumkan terdapat surau atau bilik solat di tingkat atas (tingkat 1) restoran tersebut. Bagi anda yang lemah Geografi..ini dia panduan asas untuk mencari surau tersebut. Pergi ke kedai yg bertentangan dgn Nami Historium, anda akan dapat melihat sebuah pintu gerbang kecil dan kemudian sebuah restoran. Kalau tak silap namanya Japaneese Bistro. Masuk ke dalam bistro tersebut dan terus naik ke tingkat 1…di situlah terdapat bilik solat yang dinyatakan. Tengok gambar di bawah ni…bilik solat kita tu ada di belakang tu lah (kalau tak silap…hee hee).

Gadis Melayu vs Gadis Korea
myHoney & missJulie

Bilik solat tersebut amat selesa, luas dan bersih (jauh lebih bersih dan luas berbanding surau atau bilik solat yang disediakan oleh sebahagian daripada restoran atau pusat membeli belah di Malaysia). Tempat mengambil wuduk juga ada disediakan sama. Semasa kami sampai, terdapat papan tanda..ehh bukan..lebih kepada kain tanda yang menunjuk ke arah bilik solat tersebut. Mungkin tidak lama lagi ianya akan dipasang kekal dalam bentuk yang lebih menarik.

Pintu masuk Prayer Room@Pulau Nami. 2 kotak di tepi pintu tu ialah penunjuk arah kiblat yang sentiasa berubah kedudukannya..hati-hati takut tersilap arah pula nanti

Walau bagaimanapun anda dinasihatkan membawa kompas sendiri atau mengikut ilmu yang pernah ustaz ajar masa sekolah rendah dahulu..ilmu melihat kedudukan matahari dan kedudukan bayang-bayang (kalau berjaya mengesan mataharilah di waktu itu) kerana kedudukan arah kiblat yang dipamerkan di bilik tersebut agak diragui. Ini turut diakui oleh beberapa pelawat lain yang kami temui di sana. Tak boleh salahkan mereka yang menyediakan kemudahan tersebut. Mereka mungkin tidak memahami dan memindah kedudukan arah kiblat tersebut sesuka hati mengikut keperluan ruang. Pandai-pandailah membawa diri sendiri ya. Disediakan tempat yang selesa begitu pun sudah cukup baik dan selebihnya adalah tanggungjawab masing-masing mencari yang terbaik. Selain itu, jangan terkejut juga apabila melihat pelbagai jenis hiasan dinding atau patung-patung yang pelbagai bentuk di sepanjang laluan ke bilik solat tersebut. Janganlah gatal-gatal mulut pula menegur atau mengatakan hiasan sedemikian kurang sesuai untuk laluan ke bilik solat.

Batu-batu yang dihias membentuk wajah manusia/kartun di sepanjang laluan ke bilik solat

Berbalik kepada apa yang ada di Pulau Nami, bagi anda yang malas untuk berjalan, terdapat juga kemudahan sewa basikal..kalau tak silap harganya adalah dalam 6000 Korean Won untuk 30 minit mengikut jenis basikal. Ada basikal comel untuk seorang ada juga basikal untuk dua orang.  Kami malas nak naik basikal tu sebab kalau kami naik nanti terlajulah pulak aktiviti yang perlu dilalui. Cepat pula habis  pusing keliling pulau tu nanti (Sebenarnya sudah hampir 20 tahun tak naik basikal…takut jatuh tergolek atau terkuak lentang berirama…buat malu orang kampung dusun pula nanti).

Bagi anda yang memang gila-gila meminati drama Winter Sonata tu dan ingin meluangkan lebih banyak masa di Pulau Nami, anda juga boleh terus menetap di sani kalau mahu. Terdapat pelbagai pakej penginapan yang disediakan di sini daripada bilik untuk 2 orang yang beharga kira-kira 90 000 KRW sehari sehinggalah kepada bungalow/kondo untuk 5-15 orang yang beharga antara 130 000 – 300 000 KRW. Duduklah di sini, bergambarlah sepuas hati dengan pokok-pokok yang ada  tu, nak panjat pokok tu pun boleh kot rasanya. Nak tebang pokok tu boleh juga kalau berani atau sekadar ingin mencari cara mudah untuk popular atau glamour. Confirm boleh masuk berita utama televisyen dan akhbar di beberapa buah negara nantinya pasti.

Koleksi ruang penginapan bagi yang ingin menginap di Pulau nami

Selesai menikmati aura cinta Winter Sonata di pulau Nami, kami meneruskan perjalanan lagi. Perlu diingati kami masih belum lagi mendaftar masuk ke hotel, dan pastinya belum lagi mandi sejak lebih 24 jam yang lalu…mujurlah aura seri masih kuat di dalam diri ini. Hentian seterusnya ialah sebuah perkampungan tradisional…kita sambung kemudianlah nanti…

Disempurnakan di sini…Seoul, Korea..dalam perjalanan menuju ke lokasi makan malam..

Bersambung ke Spring Sonata 3 : Namsangol Hanok Village

atau untuk menonton koleksi 5 episod video travelogue di sepanjang sesi jalan-jalan cari pasal kami ke Vietnam dan juga Korea yang lalu…terus sahaja ke sini : Video Travelogue Vietnam-Korea

Posted on April 18, 2012, in Korea, Travelogue-luar.Negara and tagged , , . Bookmark the permalink. 7 Comments.

  1. zainudin hassan

    Terima kasih atas travelog Korea…tak sabar nak baca yang lain

  2. best, best, best… continue writing, brings back our memory to nami island as well. Dr J baik lah sebab letak patung2 yg rupanya decent je dlm blog ni……hehehehe.. Kalau Dr J nak tahu, bbrp kaum wanita dlm kumpulan saya, termasuklah saya solat hari tu sampai 3 kali sbb mula2 ikut arah kiblat yg disediakan. Bile di selidik dan disemak arah kiblat (yg sepatutnya dibuat sblm solat) tu salah rupanya. Jadi sembahyang balik. Kemudian datang seorg warganegara M’sia yg sedang menuntut di korea betulkan lagi arah kiblat kami. Akhirnya solat lagi sekali…. hahahha… kenangan2x…

  3. Haah..betul tu. Sebelum pergi saya ada terbaca pasal arah kiblat yang salah tu dari satu blog. Lepas tu masa sampai jer, salah seorang pekerja restoran tu tiba2 tahan kami berdua semasa on the way nak naik tangga…dan tanya soalan berkaitan dengan arah solat…sebab dia kata ramai sangat yang bertanya. Puaslah menerangkan pada dia siap ajar guna kompas lagi…kalau ada selotape ke apa ke masa pergi tu, bolehlah juga tolong buat tanda supaya tak adalah ramai orang yang terlebih pahala solat sampai 3, 4 kali lagi nanti..hee hee

  4. Salam. Nak tanya berapa harga pakej seoul-saigon ni?

    • Masa kami pergi dulu…harga pakej ni dalam RM3500 (complete tiket flight pergi, balik, penginapan dan makanan halal di mana yang boleh diperoleh seperti yang tercatat dalam aturcara). Tapi kalau puan survey sekarang kebanyakan travel agency sedang bersaing memberi diskaun maka harga untuk pakej yang sama adalah lebih kurang RM3k untuk perjalanan awal tahun 2014 nanti.

  5. infonya sangat membantu sekali buat yang mempunyai rencana untuk liburan ke korea…

    tidak mau repot mengurus sendiri persiapan buat liburan??? mari berwisata bersama Dunia Wisata Singosari Malang

    jangan lupa kunjungi duniawisataku.com kami melayani jasa tour pariwisata dalam dan luar negeri.. bagi yang berada di malang bisa datang langsung ke Jl. Kembang No.8 Singosari Malang. atau call di 0341-456444

  6. romantis banget bun foto nya hehe

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: