Spring Sonata 3 – Korea : Namsangol Hanok Village
Namsangol Hanok Village
Selesai menikmati aura cinta Winter Sonata di Pulau Nami (rujuk Episod 2 – Spring Sonata 2 – berSpring Sonata di Nami Island), kami meneruskan perjalanan lagi. Hentian seterusnya ialah sebuah perkampungan atau rumah tradisional Korea yang dikenali sebagai Namsangol Hanok Village. Bagi yang berminat untuk ke perkampungan ini, ianya terletak berhampiran Chungmuro Subway Station di daerah Pil-doing (kalau nak pergi menggunakan kemudahan pengangkutan awam – subway) dan ianya dibuka setiap hari daripada jam 9 pagi sehingga jam 8 malam kecuali hari Selasa.
Bila sampai ke sini, janganlah mengharap untuk bersalam-salaman dengan penduduk kampung setempat ataupun mengharap diri itu dijemput naik ke rumah untuk dihidangkan secawan teh ginseng atau semangkuk mee kari. Tiada penghuni lagi yang menetap di sini, cuma sekadar kenangan sejarah dan hasil kerja tangan masyarakat tradisional untuk tatapan generasi akan datang dan juga untuk tujuan pelancongan.
Perkampungan ini mempunyai 5 buah rumah tradisional Korea dan juga pavilion (seperti dewan besar), kolam air (terdapat ikan koi di dalamnya), time capsule dan pelbagai bangunan/struktur asas yang lain.

Pavilion atau dewan besar (yang bergambar di depan dewan besar tu taklah besar sangat. Kecil molek orangnya)
Miss Julie memberi penerangan yang panjang lebar tentang corak kehidupan masyarakat tradisional Korea. Cara mereka hidup dan bekeluarga, bermasyarakat dan sebagainya tetapi seperti biasa..bila tiba subjek Sejarah sebegini, apa yang saya dengar ialah bla bla bla bla….lagi pun badan agak penat menyebabkan otak malas mahu berfikir dan menerima input yang baru. Nikmati permandangan dan persekitaran dengan mata dan hati…otak biarlah dibiarkan berehat seketika.
Bagi anda yang datang sendiri, di sini juga ada kemudahan tukang cerita (dalam Bahasa Inggeris) yang boleh diperoleh secara percuma. Setiap trip yang dibawa oleh mereka akan memakan masa kira-kira 2 jam. Tukang cerita tadi kelihatannya terlalu peramah dan akan bercerita tentang perkampungan tersebut sehinggalah anda benar-benar bersedia untuk mengambil kertas peperiksaan Sejarah Korea – kertas 2.
Dalam setiap rumah, kelihatan juga perabot-perabot asas yang disusun rapi bagi menunjukkan suasana sebenar ruang kehidupan masyarakat Korea suatu masa dahulu.
Terdapat juga beberapa permainan tradisi orang Korea yang disediakan dan boleh dicuba sendiri bagi yang berminat. Antaranya ialah ‘neolttwigi’ (sea-saw jumping), ‘tuho’ (melontar anak panah) dan ‘yunnori’ (melontar batang kayu). Ada satu lagi permainan yang saya tak ingat namanya. Ianya seperti gasing tetapi “gasing” tersebut dipukul dengan sejenis kayu bagi menggerakkannya.
Sekiranya anda datang di hujung minggu pula, anda berpeluang menyaksikan upacara perkahwinan tradisional orang Korea di sini. Biasanya upacara akan berlangsung sekitar jam 1 pm dan anda berpeluang bergambar bersama pengantin lelaki dan perempuannya lengkap dengan pakaian tradisional Korea. Bergambar sahaja ya…jangan pasang niat untuk berkahwin terus pula di sini…Issshhh…

Proses mendokumentasikan perjalanan dalam bentuk video sedang dijalankan. Nantikan ianya dipersembahkan di lorong-lorong berdekatan dengan rumah anda nanti
Berguling-guling di bandar Itaewon, Seoul
Selesai menghayati keindahan serta keunikan seni reka dan budaya di Namsangol Hanok Village, kami bergerak lagi, kali ini untuk menikmati makan malam. Lokasi sasaran ialah pusat bandar Itaewon, Seoul. Di bandar ini terdapat juga Masjid Besar Seoul (dikenali sebagai Seoul Central Mosque) yang berada di kedudukan yang agak tinggi di kawasan Hannam-dong, Yongsan-gu menyebabkan ianya kelihatan gah dan mudah dikesan dari jauh. Saya difahamkan di seluruh negara Korea Selatan terdapat 7 buah masjid dan masjid besar Seoul itu merupakan salah satu daripadanya.

Masjid Seoul yang terletak gah di atas kawasan yang tinggi. Kalau hujan turun, pastinya ianya yang lebih awal dibasahi dahulu

Pintu masuk utama Masjid Besar Seoul. Tempat mengambil wuduk berada di sebelah kanan gambar (tingkat bawah, sebelah tangga)
Di sepanjang laluan serta sekitaran masjid tersebut ialah kawasan penduduk Muslim yang rata-rata dari negara Timur Tengah, India dan sebagainya. Ianya dipenuhi dengan deretan gedung perniagaan, restoran halal (India, Pakistan, Arab, Turki, Thailand dan Mexico) dan kedai runcit yang menjual pelbagai barangan yang sesuai dengan jiwa dan citarasa rakyat Malaysia.

Di sebelah balai bomba (sebelah kiri), daki lorong ini dan akan akan berjumpa dengan deretan kedai makanan Halal dan akhirnya bertemu dengan Masjid Besar Seoul
Bagi rakan-rakan seperjalanan dan seperlencongan yang terlalu sibuk berSpring Sonata tadinya di Pulau Nami, mereka masih sempat untuk bersolat jamak takhir di masjid tersebut sebelum akhirnya kami beramai-ramai menikmati hidangan makan malam di salah sebuah restoran di kawasan tersebut.
Sedap ker..??? Nak tanya lagi tu?? Asalkan halal…makan sajalah ya. Ini bukannya tempat kita, redha dan bersyukurlah dengan apa rezeki yang diberikan kepada kita. Yang pasti…sambal belacan tak ada.
Daftar Masuk ke Hotel : Hotel Rainbow
Jalanraya dan trafik di Korea memang sibuk. Walau bagaimanapun pemandu-pemandunya agak sopan. Jarang kedengaran bunyi hon pin-pin pon-pon di jalan raya. Kira-kira 30 minit di jalan raya selepas menikmati makan malam, akhirnya kami selamat sampai ke hotel penginapan di Seoul. Ahhhhhh…lega rasanya. Tak sabar untuk berjumpa dengan bilik air yang menjanjikan seribu kedamaian dan ketenangan.
Kami menginap di sebuah hotel yang popular dengan nama manjanya R Hotel, manakala nama penuhnya pula ialah Rainbow Hotel. Lihatlah persekitaran bilik yang disediakan.
Dilengkapi dengan 2 buah PC dan talian Internet, skrin TV LCD saiz bapak budak…itu sudah cukup beharga untuk kami. Masalahnya, semuanya dalam bahasa Korea. Keyboardnya pun sama. Sepatah haram tak faham. Nak menaip pun agak sukar. Mujurlah kami ada membawa Notebook sendiri..maka ianya gunakan sebagai panduan untuk menukar setting PC yang sedia ada. Setelah puas berhempas pulas mencuba sendiri akhirnya berjaya juga membahasa Inggeriskan PC, keyboard dan juga semua kemudahan Internet yang disediakan.

Kemudahan yang disediakan semuanya dalam bahasa Korea..poning kepala pakcik dan makcik nak menggunakannya

Kemudahan peti sejuk, air panas, air sejuk, sterilizer dan telefon Hello Kitty yang super duper comel
Bilik airnya pula cukup seksi…dengan pintu dan cermin kaca yang lutsinar. What you see is what you see and smell. Maka bagi sesiapa yang datang bersama anak yang sudah akhil baligh atau rakan taulan yang suka ke toilet mengeluarkan haruman…pilihlah hotel lain ya. Bagi yang datang bersama isteri/suami pula….hee hee…malulah pulak nak cakap…selamat berbulan madu.
Walaupun pelbagai kemudahan disediakan, pada awalnya kami mengalami kesukaran kerana semuanya dalam Bahasa Korea. Ini sememangnya sesuatu yang amat dipertekankan di sini. Bahasa Korea merupakan bahasa utama dan bahasa lain tidak diperlukan untuk mereka terus maju. Kebanyakan penunjuk arah di jalan raya juga begitu. Namun demikian dengan kesabaran dan sifat berani (cewah) untuk mencuba menekan apa sahaja ikon, butang yang ada pada skrin, alat kawalan jauh mahupun di bilik air…kami masih sihat dan selamat untuk meneruskan perjalanan esok harinya nanti.
Masa untuk tidur….
Bersambung ke Spring Sonata 4 : Everland Resort
atau untuk menonton koleksi 5 episod video travelogue di sepanjang sesi jalan-jalan cari pasal kami ke Vietnam dan juga Korea yang lalu…terus sahaja ke sini : Video Travelogue Vietnam-Korea
Posted on April 18, 2012, in Korea, Travelogue-luar.Negara and tagged Halal, Korea, Mosque, Namsangol Hanok Village. Bookmark the permalink. 2 Comments.
Saya lagi Dr J. Sabar jelah ye. Just to share maklumat tambahan, masjid dan sekolah islam tu jelah satu2 nya masjid dan sekolah islam yg ada di Korea. itu pun dibina atas jasa baik kerajaan Arab Saudi. Segala perbelanjaan ditanggung oleh Arab Saudi. Alhamdulillah sekurang2nya ada pihak yg prihatin. Gurubesarnya seorng wanita Korea yg telah memeluk islam dan baru berkahwin dgn pemuda Afrika (kalau tak silap, terlupa lak pulak). hehehe… Apa2 pun alhamdulillah islam masih berkembang di sana.
Ooo ya ke Kak Min..? Thanks for the info. Masjid tu pun saya dengar agak panas juga sejarahnya dulu. Pernah diserang beberapa kali (katanya org dengan parang masuk ke masjid…tak tahulah gila ke atau memang dengan niat yang tak baik) sehingga melibatkan polis terpaksa berkawal untuk beberapa minggu. Kita doa sahajalah apa yang terbaik untuk rakan-rakan seagama di sana.