Spring Sonata 4 – Korea : Everland Resort


Hari ini merupakan hari kedua kami berada di bumi Winter Sonata ini. Hari pertamanya semalam di akhiri dengan sesi melawat kawasan perkampungan tradisional Korea di Namsangol Hanok Village (Rujuk Episod 3 – Spring Sonata 3 : Namsangol Hanok Village). Hari kedua ini, dengan penuh semangat seawal jam 7.30 pagi, kami bersiap-sedia untuk bertolak ke Everland Park/Resort. Apa bendanya Everland Resort ni..?? Tunggulah…nanti kita story. Untuk ke sana, dari hotel (Seoul) mengambil masa kira-kira sejam menaiki bas ke arah selatan Seoul. Dalam perjalanan, kami berhenti seketika di pusat hentian pelancong yang dikenali sebagai Tourist Restaurant untuk menemankan rakan-rakan menikmati sarapan pagi.

Banyak pusat hentian sebegini yang disediakan di bandar-bandar utama di Korea. Tourist Restaurant ini merupakan sebuah restoran dan ada juga yang berbentuk dewan besar yang menyediakan hidangan secara bufet seperti mana yang disediakan di hotel-hotel yang biasa. Ianya menerima kunjungan pelancong-pelancong yang menginap di sekitar bandar Seoul di mana kebanyakan hotel tidak menyediakan kemudahan sarapan pagi ataupun sekadar pergi untuk menikmati sarapan pagi dengan harga restoran, tetapi dalam persekitaran seperti di hotel. Selain itu, kedai cenderahati, kedai elektrik dan sebagainya juga ada di kawasan sekitaran bagi sesiapa yang sudah tidak sabar-sabar ingin membeli-belahkan poket masing-masing.

Pelbagai pilihan makanan disediakan untuk santapan mata anda. Nasi goreng, meehoon goreng, salad, kuih pau, telur goreng dan pelbagai hidangan lain yang saya tak tahu namanya. Walau bagaimanapun memandangkan saya dan isteri memang agak cerewet sedikit pasal makanan yang diragui mana punca kehadirannya apatah lagi tahap halalnya maka kami hanya minum kopi dan menikmati buah-buahan sahaja.

Roti, nasi, meehon, sayur-sayuran bukan ke kita boleh makan ? Yupppp…memang boleh…bolehlah sangat-sangat. Tetapi perlu difahami bahawa pelembut makanan yang sering digunakan untuk membuat roti di negara-negara lain biasanya diperbuat dari lemak haiwan (pastinya tidak halal) khususnya lard (Google sendiri ya untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang apa peranan lard ini dan di mana dan bagaimana ianya digunakan secara meluas atau cuba baca di sini : http://en.wikipedia.org/wiki/Lard). Selain itu, minyak masak dan perasa serta perencah tambahan yang digunakan dalam masakan asas seperti nasi goreng, meehon goreng, sayur-sayuran dan sebagainya juga kita belum pasti. Jadi kepada anda yang rajin melancong dan melencong di luar sana…hati-hati memilih makanan ya. Jangan main belasah sahaja dengan membayangkan kita hanya tidak boleh makan ayam, daging dan lembu yang pendek kakinya itu sahaja. Itu pandangan peribadi kami berdua suami isteri. Bagi anda yang berkeyakinan penuh bahawa ianya boleh dan halal untuk dinikmati….selamat menjamu selera diucapkan. Setiap orang ada pendapat tersendiri dan terpulanglah kepada hak masing-masing untuk berpegang kepada pendapat yang diyakini.

Periuk nasi saiz mini yang menjadi talian hayat kami di perantauan

Selalunya, sekiranya berada di luar negara kami lebih suka sarapan sendiri di bilik hotel. Dengan berbekalkan periuk nasi saiz mini, segalanya boleh dimasak sendiri. Nasi panas berlaukkan serunding ayam/daging, ikan bilis + kacang + kentang pedas, sambal jawa mahupun makanan segera pelbagai rasa dan gaya….kesederhanaan yang begitu lebih nikmat rasanya.

Ehhhh…dah jauh meleret rupanya kita. Bak kata Amir Raja Lawak Astro..I’m Sorry. Kita sambung semula cerita perjalanan ke Everland Resort tadi.


Everland Resort

Setibanya di pintu masuk Everland Resort, anda akan dibawa masuk ke dalam kawasan taman dengan menaiki bas yang disediakan oleh pihak resort. Tiket boleh diperoleh di hadapan pintu masuk taman dan ianya boleh digunakan untuk mengikuti apa sahaja aktiviti atau permainan yang disediakan di dalamnya.

Perhatikan deretan bas yang ada. Ramai sungguh orang yang rupanya suka bergurau-senda di taman sebegini

Di pintu gerbang sebelum dan selepas memasuki Everland

Kebetulannya, kami datang ke mari semasa Tullip Festival. Seluruh taman di penuhi dengan bunga Tullip

Apa yang ada di Everland..??? Ia sebenarnya merupakan sebuah taman tema yang penuh dengan permainan dan aktiviti aktif dan interaktif. Apa yang ada di sini hampir sama dengan taman-taman tema yang lain cuma ianya tidaklah sehebat Disneyland atau Universal Studios di USA tu. Kebanyakan permainan atau aktiviti santapan mata yang disediakan di sini secara amnya boleh dibahagikan kepada 4 kategori utama (berdasarkan pemerhatian sayalah) iaitu :

  1. Aktiviti Indoor
  2. Zoo dan Hidupan Liar
  3. Aktiviti Penaik Tekanan Darah
  4. Taman-taman Khayalan

Antara contoh permainan/aktiviti yang disediakan ialah Safari World, Four Seasons Garden, Hurricane, Flying Rescue, Rotating House…ishhh banyak lagilah kalau nak disenaraikan semuanya. Malas dan sukar untuk menaip di dalam bas yang sedang bergerak dengan menggunakan keyboard di IPhone yang kecil molek ini. Opsss..lupa nak pesan, kebanyakan pusat tumpuan aktiviti/permainan yang popular memerlukan anda beratur di antara 30 minit dan ada yang sehingga 1 jam lebih. Kalau yang malas mahu beratur, anda juga boleh mendapatkan talian kroni yang dikenali sebagai Q PASS. Bayar duit lebih sedikit, dan Q PASS ini membolehkan anda melompat untuk terus ke barisan hadapan. Antara lokasi yang boleh menggunakan Q PASS ini ialah di Safari World dan Amazon Express…orang memang ramai di sini. Mungkin ramai yang tidak berkesempatan melihat hidupan liar sebelum ini agaknya.

Sampai sahaja ke Everland, perkara pertama yang kami cari ialah roller coaster kerana difahamkan di sini terdapat T-Express, iaitu antara roller coaster daripada kayu yang paling curam di dunia dan ianya boleh mencapai kelajuan sehingga 105km/j. Perghhh….walaupun laju gila tetapi ianya masih cuba mengikuti peraturan lalu lintas negara kita, tidak melebihi 110 km/j. Selain dari T-Express, permainan lain yang berada dalam kategori Penaik Tekanan Darah ialah Hurricane, Double Rock Spin dan Lets Twist.

Dalam perjalanan menuju ke lokasi beratur untuk menaiki T-Express…roller coaster kat belakang tu haa..yezzaaa…

Everland juga sering menjadi pusat pelbagai festival seperti Rose Festival (May-Jun), Summer Splash (Jun – Ogos), Winter Wonderland (Nov – Feb) dan sebagainya. Kebetulannya kami datang pada bulan April, Tulip Festival sedang berlangsung dengan bunga-bunga tulip yang mekar kelihatan di mana-mana. Anda boleh bergerak ke Four Seasons Garden bagi menikmati keindahan bunga tulip tersebut dengan lebih dekat. Taman bunga ros juga ada di sana malangnya sewaktu kami tiba di sana semua cik ros masih malu untuk menghadirkan diri.

Rombongan cik Kiah ke udara lagi

Menaiki kerusi terbang menuju ke lokasi sasaran permainan yang ingin dihuru-harakan

Kami lama menghabiskan masa di Four Seasons Garden (sebenarnya saya nak pergi sekejap sahaja..ya lah taman bunga beb…apa celop lelaki nak duduk lama di taman bunga tetapi apakan daya myHoney gila sungguh dengan bunga tullip ni, kalau boleh dia nak tidur di situ agaknya…maka terpaksalah melayan keperluannya. Suami misali katakan (uwekkkk).

Acara membatalkan wuduk

Dari Korea boleh sesat sampai ke Holland jika mengikut arah bunga tullip yang ada di sini

Muka toya sebab dah lama sangat menunggu, si isteri masih belum mahu keluar dari taman bunga ini. Penat dah bergambar dengan bunga. Jadi mat bungalah pulak. Aduhh….karat jiwa dibuatnya.

Memandangkan tiada restoran halal di dalam Everland Resort ini maka makan tengahari adalah bufet layan diri masing-masing. Bawalah bekal sekiranya perlu. Untuk solat pula, surau yang amat besar seluas mata memandang ada di sediakan. Apa yang perlu anda lakukan ialah cari sahaja mana-mana lokasi yang bersih dan jauh dari kesesakan lalu lintas…dan ianya boleh dijadikan surau sementara anda. Hee hee. Jangan risau kerana taman ini terlalu besar maka banyak lokasi yang jauh dari pusat tumpuan ramai bagi yang memerlukan kedamaian dan ketenangan semasa menunaikan kewajiban kepada yang satu.

Saya dan isteri menunaikan solat dan seterusnya menikmati bekal makan tengahari di kawasan rehat berhampiran air pancuran di dalam taman yang dikenali 4 Seasons Garden. Tandas awam tidak jauh dari kawasan tersebut yang boleh digunakan untuk mengambil wuduk. Bagi anda yang tak tahu malu, boleh sahaja mengambil wuduk menggunakan air pancuran atau dari kolam air yang ada. Itu pun kalau tidak ditegur dan dikejar oleh pekerja pembersihan di sana.

Walau bagaimanapun perlu diingatkan bahawa tandas di Korea (dan juga di kebanyakan negara lain juga), tidak menyediakan paip air di dalamnya bilik tandasnya. Untuk mengangkat kaki ke atas sink bukanlah satu tindakan yang bijak dan mungkin juga dianggap kurang sopan nanti pastinya. Oleh yang demikian, sentiasalah bersedia dengan botol air yang kosong di dalam bag masing-masing. Pekerja pembersihan di Korea juga amat prihatin dengan kebersihan tandas di bawah kuasa kawalan masing-masing. Mereka tidak suka melihat lantai yang basah dan cepat-cepat akan membersihkannya. Oleh yang demikian, pandai-pandailah membawa diri dan tidak menyusahkan hidup orang lain ya.

Kalau dah nampak pancuran air sebegini, dah dekatlah dengan kawasan rehat yang sesuai untuk berhenti makan, solat dan sebagainya

Susahkan jadi orang perempuan ni. Aktiviti memperkemaskan diri selepas selesai solat dan makan tengahari (hari ni kami makan nasi, lauk serunding daging, ikan bilis masak pedas bersama kentang dan ayam masak merah yang keluar dari paket bernama Brahim’s

Gerai/restoran juga turut disediakan di sini bagi yang memerlukannya

Kami meluangkan masa kira-kira 4 jam di Everland. Memang tidak cukup masa yang diperuntukkan namun memandangkan panggilan untuk pergi shopping lebih kuat di kalangan kaum wanita, maka talian hayat tersebut perlu dipenuhi.

Lebih kurang jam 3 petang kami bertolak dari Everland menuju ke pusat bandaraya. Pusat tumpuan kali ini ialah pusat fesyen dan membeli-belah di Dongdaemun. Di sini anda boleh mendapatkan pelbagai produk berkualiti buatan Korea khususnya yang berkaitan dengan fesyen – pakaian, kasut, bag tangan, topi, kerongsang dan sebagainya.

Bersambung ke Spring Sonata 5 : Membeli dan membelah di Dongdaemun

atau untuk menonton koleksi 5 episod video travelogue di sepanjang sesi jalan-jalan cari pasal kami ke Vietnam dan juga Korea yang lalu…terus sahaja ke sini : Video Travelogue Vietnam-Korea

Posted on April 19, 2012, in Korea, Travelogue-luar.Negara and tagged , . Bookmark the permalink. 5 Comments.

  1. like, like, like bab membatalkan wuduk tu…. hahahahaha

  2. Cantiknya bunga tulip. In shaa allah ke korea bulan april. Tak sabar nk g everland. Nice blog anyways

  3. cara penceritaan yang menarik….kelakar la bangg…..:)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: