Spring Sonata 6 – Korea : Gyeongbokgung Palace


Hari ini merupakan hari ketiga kami di Korea. Sebelah paginya selepas sarapan pagi di bilik hotel masing-masing, kami terus mendaftar keluar dari hotel dan bergerak untuk aktiviti hari ketiga di Korea. Malamnya nanti kami akan mendaftar masuk ke hotel yang lebih hampir dengan airport kerana tiket penerbangan ke destinasi jalan-jalan cuci mata dan jiwa yang seterusnya (iaitu Vietnam) ialah pada jam 10 pagi keesokan harinya. Untuk mengelakkan kesesesakan lalu lintas dan juga memberi keselesaan agar tidak perlu kami bangun terlalu awal di waktu pagi, menginap di hotel yang lebih hampir dengan airport sememangnya satu pilihan yang lebih bijak. Kami mesti pilih….

Kalau petang semalamnya kami berguling-guling dengan aktiviti mengoyakkan poket masing-masing di Dongdaemun (Spring Sonata 5 – Korea : Membeli dan Membelah di Dongdaemun), pagi ini aktiviti pemanas badan dimulakan dengan melawat beberapa lokasi yang mempunyai daya tarikan pelancongan di Seoul.  Kami mulakan dengan Amethyst Centre, sebuah pusat batu permata Amethyst yang mempamer dan menjual batu-batu permata (dalam bentuk cincin, rantai, keronsang dan sebagainya). Amethyst ni merupakan batu dari gunung…alaaa..di Malaysia pun ada, siap di jual di pasar malam lagi (hee hee). Kononnya mempunyai aura positiflah, ion positiflah…ntahlah. Ada yang menjadikannya lampu tidur dan sebagainya. Malas untuk ambil tahu mengenai benda-benda sebegini. Dah puas dah belajar mengenai ion positif, ion negatif ni masa belajar Kimia di Universiti dahulu..cukuplah sudah.

Amethyst yang belum diproses untuk dijadikan permata di jari, telinga, leher, kaki dan sebagainya

Tak tahulah mengapa, kebanyakan agensi pelancongan suka sangat membawa pelancong melawat (baca sebagai kemungkinan besar akan membeli) tempat-tempat sebegini. Sebelum ini, semasa melawat Amsterdam, Holland kami juga dibawa melencong ke pusat batu permata sebegini. Mungkin ada perjanjian (atau komisyen) antara agensi pelancongan (atau pemandu pelancong) bersama pusat-pusat batu permata sebegini. Ya lah, kalau tidak dibawa, siapalah yang mahu ke sana agaknya. Hee hee. Seperti biasa…kaum wanita sibuklah di tempat-tempat begini. Walaupun pada awalnya mereka katanya tidak berminat untuk membeli apa-apa tetapi akhirnya mereka akan tewas juga biasanya dengan pujukan gadis-gadis promoter Korea. Perempuan….ishhh ishhh ishhh. myHoney sempat juga membeli ntah apa benda namanya yang orang perempuan suka pakai pada tudung atau baju tu.haaa…brooch..memang popular benda ni di sini. Brooch Korea.

Seterusnya kami bergerak melihat persekitaran bandar Seoul dan juga ke beberapa lokasi pusat kosmetik bebas cukai, pusat ginseng Korea dan sebagainya. Banyak juga maklumat tentang ginseng yang dipelajari, bagaimana mengenali usia pokok ginseng, bagaimana memilih ginseng yang berkualiti dan akhirnya menyedari betapa berharga dan mahalnya harga ginseng ini rupanya.

Wajah 2 orang remaja usang yang kini kelihatan semakin bijak selepas mendengar penerangan tentang batu permata Amethyst, pelbagai jenis kosmetik dan juga ginseng Korea.

Gyeongbokgung Palace

Selepas berhenti makan tengahari dan solat di bandar Itaewon, Seoul kami bergerak menuju ke satu lagi kawasan pelancongan di Korea yang mendekatkan diri kita kepada Sejarah dan Budaya Korea iaitu sebuah istana yang dikenali sebagai Gyeongbokgung Palace. Ianya terletak kira-kira 15 minit berjalan kaki dari hentian bas Sejongno (di antara Gyeongbok Palace dan Gwanghwamun).

Di hadapan pintu masuk istana…menunggu rombongan cik Kiah yang lain sibuk dengan aktiviti gaya bebas berirama di bilik air yang berhampiran

Di sini kita boleh melihat bagaimana kehidupan maharaja Korea dan kerabat-kerabatnya (orang besar jajahan, isteri-isterinya dan juga pekerja istana) suatu masa dahulu. Gyeongbokgung Palace membawa erti Istana Terpancar Kegembiraan ini terletak di dalam kawasan seluas 40 ekar telah dibina seawal tahun 1392 di era zaman pemerintahan dinasti Joseon (maklumat ini saya terbaca di salah satu dinding pembekal maklumat yang disediakan). Kalau ikut ceritanya, kawasan sebenar istana ini suatu masa dahulu adalah jauh lebih luas dari apa yang ada sekarang ini.

Ianya dilaporkan pernah rosak teruk semasa peperangan meletus antara Korea dengan Jepun suatu masa dahulu tetapi kerajaan Korea telah memelihara, memulihara serta membangunkan kembali bangunan serta monumen yang ada dalam kawasan istana tersebut untuk tujuan pelancongan dan juga pengekalan tradisi dan mengingatkan jati diri rakyat tempatan.

Antara mengejar arus kemajuan dan mengekalkan tradisi, keduanya perlu diselarikan

Cubaan mengembangkan lubang hidung di istana maharaja..tak akanlah itu pun akan dianggap menderhaka

Seorang tua di kaki gunung..ehh tembok…

Seorang yang bukan merupakan artis k-Pop yang popular

Tak ingatlah apa pula nama dia ni…

Tak tau nama pun tak apa, yang penting ambil gambar dulu..

Ruang dalaman istana (tempat bermesyuarat agaknya dan juga simbol 2 naga di atas siling)

Ridzwan (Ketua rombongan – wakil agensi), Miss Julie (Pemandu pelancong) dan Mr. Mike (Pembantu) sedang sibuk mengambil gambar kumpulan cik Kiah. Berapa banyak kamera daaa…

Rombongan cik Kiah bergambar di istana maharaja

Bagi anda yang bertuah dan sampai di sini di waktu yang sesuai anda berpeluang menyaksikan upacara pertukaran pengawal istana (saya tak pasti apa sebenarnya yang dikawal oleh mereka di sana…bukannya ada raja lagi yang menginap di dalamnya). Biasanya upacara ini dijalankan di kawasan antara pagar bangunan istana yang di kenali sebagai Gwanghwamun dan Heungnyemun (pagar paling selatan dengan pagar yang kedua dari sebelah dalamnya). Bagi anda yang memang benar-benar mahu menyaksikan upacara pertukaran pengawal tersebut sila hadirkan diri anda pada jam 10am atau 3pm. Setiap sesi pertukaran mengambil masa kira-kira 20 minit. Tetapi jangan datang pada hari Selasa sudahlah ya…hari Selasa istana ni tutup. Orang ramai juga berpeluang mengambil kesempatan bergambar bersama pengawal-pengawal tersebut (jangan ambil kesempatan ke atas pengawal-pengawal itu pula ya..)

Seorang pelancong yang terkantoi dikesan cuba mengambil kesempatan ke atas pengawal istana..hee hee

Upacara pertukaran pengawal istana yang penuh dengan adat-istiadat tradisional Korea

Harga tiket untuk masuk ke kawasan istana ini ialah 3000 Won (RM9). Ada juga tiket yang beharga 10000 Won (RM30). Tiket yang sebegini boleh digunakan untuk masuk ke kawasan-kawasan istana lain yang ada di sekitar Seoul. Kalau tak silap saya (kerana semasa sesi penerangan, saya sibuk bersembang) di Seoul sahaja ada 5 buah istana yang boleh dilawati termasuk taman-taman bunga diraja di Changdeokgung Palace…Juga berada di daerah yang sama dengan Gyeongbokgung Palace.

Tiket yang dibeli untuk masuk perlu disimpan ya kerana di pintu keluar, anda perlu menggunakannya sekali lagi untuk keluar. Kalau tak ada tiket, terpaksalah anda duduk di dalam kawasan istana tu…jadi gundik diraja kalau tidak pun pengawal istana. Hee hee.

Sekuntum bunga sakura di Korea

Dari kawasan istana kami seterusnya bergerak berjalan kaki masuk ke dalam bangunan muzium yang dikenali sebagai National Folk Museum of Korea. Ianya mempunyai beberapa dewan pameran yang mempamerkan sejarah hidup orang Korea dari saat mereka dilahirkan sehinggalah mereka meninggal dunia, cara hidup, budaya dan sebagainya. Kalaulah saya mengambil subjek Sejarah dan Korea merupakan salah sebuah negara yang sejarahnya perlu dipelajari, pasti sekali lagi…saya akan “lulus” dengan cemerlang sampai terlentang.

Setelah puas menghayati dan menghargai sejarah dan budaya…masa untuk BERTUKAR..!!! Masa untuk membeli-belah sekali lagi. Kali ini kami akan ke Nandaemun Market pula.

Menunggu bas untuk ke Nandaemun Market

Bersambung ke Spring Sonata 7 : Nandaemun Market

atau untuk menonton koleksi 5 episod video travelogue di sepanjang sesi jalan-jalan cari pasal kami ke Vietnam dan juga Korea yang lalu…terus sahaja ke sini : Video Travelogue Vietnam-Korea

Posted on April 19, 2012, in Korea, Travelogue-luar.Negara and tagged , . Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: