Panggilan Umrah di YouTube


Episod 1

Lokasi : Dalam penerbangan Oman Air menuju ke German, transit di Muscat, Oman.

Cerita ini bermula pada bulan Jun, tahun 2011 yang lalu. Pada masa itu, saya dan isteri sedang dalam perjalanan menuju ke German dengan tujuan untuk meneroka bandar-bandar di Eropah, bermula dari German, diikuti Switzerland, Perancis, Holland, Belgium, dan akhirnya England (Kalau boring sangat tak ada kerja, bolehlah gi tonton 16 video travelogue perjalanan kami : Europe.de.Mana tersebut di sini).  Kami menaiki penerbangan Oman Air yang akan transit sebentar di Muscat, Oman sebelum meneruskan penerbangan ke Frankfurt, German. Bersama kami turut serta dalam penerbangan kebetulannya ialah beratus-ratus jemaah dari Malaysia yang menuju ke tanah suci Mekah untuk menunaikan umrah.

Secara automatik pada masa itu terasa seperti adanya satu panggilan. Aduhhhh…orang semua sibuk ke tanah suci Mekah, kami sibuk nak menjelajah tanah-tanah kotor di bandar-bandar sekitar Eropah?? Berdusyummmm…satu ketukan sesejuk salji terasa di atas kepala. Ngilunya terus terasa sampai ke lubang gigi. Dalam hati terus memasang niat untuk pergi menunaikan umrah atau terus haji suatu hari nanti. Di kala itu, diri ini terasa begitu kerdil disisiNya. Terasa juga sudah ada seru di dalam hati yang seharusnya disuburkan lagi hari demi hari sebelum ia sepi sendiri.

Bertentangan dengan kerusi tempat kami duduk di dalam kapalterbang, kelihatan seorang lelaki tua berbangsa Melayu. Berusia lewat 60-an, kelihatan begitu sihat dan simple, dengan kain pelikat dan baju melayunya. Beberapa kali dia menoleh ke arah saya dan isteri. Dengan penuh sopan-santunnya saya melemparkan senyuman paling suci kepada beliau sebagai salam perkenalan bagi membolehkan perbualan dimulakan.

Pakcik : Siapa nama anak..?? Nak ke mana?
Saya : Saya Jamal, ini isteri saya Zaida…kami nak ke German.
Pakcik : Oooo…German. Bercuti?
Saya : Haah pak haji. Pergi bercuti.
Pakcik : Ooooo…baguslah. Muda-muda, eloklah pergi bercuti. Menikmati dan menghargai kekuasaan Allah di seluruh pelusuk dunia.
Saya : Haah…(Tersenyum). Pak Haji nak pergi umrah ya ? (Walaupun terasa soalan itu merupakan satu soalan yang agak bodoh isinya).
Pakcik : Haah…pergi Umrah. Bawa orang…
Saya : Oooo…Haji doakanlah saya dan isteri pun sampai hajat untuk ke sana nanti ya.
Pakcik : Insyaallah..insyaallah..kalau ada niat, insyaallah Allah akan permudahkan nanti.

Episod saya bersama Pakcik di dalam penerbangan Oman Air itu pun berhenti di situ kerana apabila beliau dan lain-lain jemaah sampai ke Muscat, Oman mereka bertukar arah dengan menaiki penerbangan yang lain pula…mereka terus ke Madinah (atau Jeddah atau mungkin juga terus ke Mekah), dan kami berdua…terus ke…German…hu hu hu….macam langit dengan kerak bumi yang hangit bezanya…

Beberapa bulan kemudiannya, hidup diteruskan seperti biasa. Niat dan semangat saya dan isteri untuk ke tanah suci Mekah masih terasa…tetapi tidak dapat begitu diberi perhatian sangat akibat kesibukan menguruskan kerja pejabat dan sebagainya. Namun demikian, saya mula membuat persiapan awal dengan bertanya rakan-rakan, membeli buku, DVD, membaca blog, menonton video travelogue orang-orang yang pernah ke tanah suci Mekah. Makin diperhalusi ibadah ini makin kembang mewangi hati ini. Makin takut terasa tetapi dalam masa yang sama, tidak sabar untuk melalui dan mengalaminya sendiri.

panduanUmrah

Antara koleksi buku dan DVD Panduan Umrah untuk rujukan kami

Saya juga mula menonton dan memuat turun ratusan video panduan dan pengalaman umrah dari YouTube. Salah satu video yang paling saya gemari ialah video yang ini.

Penerangannya yang jelas, menyeluruh, menggunakan bahasa loghat utara yang mudah difahami dan bersahaja menyebabkan ibadah umrah itu sesuatu yang indah dan tidak menyusahkan. Saya menonton video ini berulang-ulang kali di skrin komputer sehinggalah pada suatu hari, apabila saya menontonnya di skrin TV dan isteri saya berpeluang menontonnya bersama dan tiba-tiba isteri saya menjerit :

Dia – Abang..abang..abang…ni pakcik tu..pakcik dalam kapalterbang tu..!!!
Saya – Awak ni apa hal? Cuba bawa mengucap sikit.
Dia – Itu haaa…pakcik ehhh ustaz yang dalam video tu haaa…
Saya – Haaa…mengapa dengan dia?
Dia – Alaaaa…takkanlah abang tak ingat kot. Ingat tak tahun lalu, masa dalam flight kita nak gi Europe tu. Abang ada bersembang dengan seorang pakcik yang nak pergi Umrah…
Saya – (Belum habis isteri saya bercakap saya terus memotong kata-katanya dan turut sama menjerit). Haahlah pakcik tu..!! Patutlah abang rasa macam pernah tengok dia ni…ingatkan dia ni selalu keluar di TV ke apa ke…rupa-rupanya kita pernah jumpa dia..ya Allah….

Ya..siapa sangka. Pakcik atau ustaz yang kami jumpa pada tahun 2011 yang lalu itu rupa-rupanya ialah tuan guru Hj. Md Noor Md Saad seorang imam, guru agama dan Pakar Rujuk Tabung Haji yang juga merupakan seorang tokoh Maal Hijrah tahun 2005 negeri Kedah yang aktif mengendali dan menguruskan kursus Haji dan Umrah. Mungkin berkat bertemu dengannya suatu masa dahulu (mungkin juga disebabkan oleh doanya) menyebabkan hati kami terbuka untuk turut sama ke sana..alhamdulillah.

Banyak lagi siri video panduan umrah dan haji beliau yang boleh dicapai di YouTube, cari sahaja menggunakan kata kunci nama beliau.

Episod 2

Lokasi : Pintu masuk Raudhah, Masjid Nabawi, Madinah.

Raudhah….di dalam Masjid Nabawi merupakan satu kawasan yang terletak di antara rumah Rasulullah s.a.w dengan mimbar baginda. Ianya menjadi satu lokasi tumpuan ramai untuk beribadah, solat sunat dan berdoa kerana ia dikatakan tempat yang mustajab untuk berdoa. Tapi untuk memasuki Raudhah dan mencari tempat untuk solat atau berdoa bukanlah suatu perkara yang mudah. Kita tinggalkan sebentar mengenai Raudhah ini ya…dan kita akan kembali semula selepas ini untuk membuat hubungan apa kaitannya dengan cerita panggilan umrah di Youtube ni.

Sebagai persediaan awal untuk pergi menunaikan umrah dan sebelum pergi berguru dengan ustaz dan mengikuti kursus-kursus Umrah yang dikendalikan secara formal oleh agensi, saya banyak belajar daripada ustaz-ustaz di YouTube. Beratus-ratus video panduan umrah, tips umrah, pengalaman umrah dan sebagainya yang saya tonton dan muat turun. Sebahagiannya saya simpan di dalam IPhone dan IPad agar ianya boleh ditonton berulang-ulang kali bila-bila masa yang diperlukan (terutamanya semasa menunggu di dalam kereta sementara cik isteri melakukan pelbagai aktiviti ko-kurikulum di luar sana)

Salah seorang lagi ustaz kegemaran saya yang banyak saya download video ceramah panduan dan persediaan umrahnya ialah ustaz dari Singapura ini.

Daripada video persediaan hati sebelum pergi menunaikan umrah, sampailah video tatacara dan praktikal mengerjakan umrah semuanya lengkap, jelas dan mudah difahami. Beliau juga sentiasa berbaju/jubah putih yang kelihatan begitu suci..bersih.

Saya pernah bercakap dengan isteri saya, kalaulah saya jumpa ustaz ni memang saya nak peluk dia dan ucapkan ribuan terima kasih kerana banyak yang saya belajar darinya dengan cara yang saya gemari (kerana saya ni merupakan kategori yang agak malas membaca, maka belajar dengan cara menonton video ni memang menyelamatkan saya dari tertidur yang lena….)

Ringkas cerita, apabila kami berpeluang menjadi tetamu Allah pada bulan Februari 2013 yang lalu, pada hari kedua kami di Masjid Nabawi dan percubaan ketiga saya untuk memasuki Raudhah (cerita percubaan kali pertama dan kedua insyaallah akan diceritakan di lain kali ya), saya bergerak ke arah pintu Babus Salam, pintu yang membawa hala tuju seterusnya ke Raudhah.

Dari jauh sudah kelihatan “kesesakan lalulintas” di depan pintu Raudhah. Saya terus berdoa agar dipermudahkan olehNya, agar kali ini saya berpeluang mendapat tempat di dalam Raudhah untuk solat dengan khusyuk, berdoa dengan tenang. Saya juga berdoa dalam usaha itu, saya tidak menyakiti sesiapa pun sama ada yang saya sedar mahupun sebaliknya. Saya juga berdoa sekiranya saya diberi kesempatan untuk mendapat tempat yang selesa dan sekiranya masih ada orang lain yang lebih mengharap, hantarlah orang itu berdekatan dengan saya agar sebaik sahaja saya selesai, beliau boleh mengambil tempat saya.

Sampai sahaja ke salah sebuah pintu sebelum masuk ke Raudhah, di sebelah kanannya ialah mimbar nabi, saya terpandang seseorang yang cukup saya kenali walaupun baru mula bersua muka kira-kira 6 atau 7 bulan yang lalu. Beliau sedang duduk bersila tidak jauh dari pintu tersebut, berjubah putih sambil membaca Al-Quran dengan penuh khusyuknya seolah-olah tiada orang disekelilingnya. Hanya ada dia dan yang maha pencipta.

Dia ialah…jeng jeng jeng..siapa lagi. Ustaz aka tok guru umrah digital saya yang penuh di dalam hard disk komputer dan IPhone saya tu lah. Yang pernah saya kata kalaulah terjumpa, memang saya nak peluk dan ucapkan ribuan terimakasih atas ilmu yang dikongsikan olehnya.

Maka…apa yang saya buat? Kelihatannya dia begitu khusyuk dan pasti tidak mahu diganggu apatah lagi dipeluk tak tentu hujung pangkal oleh orang yang langsung tidak dikenalinya.

Saya mengucapkan syukur kepada Allah kerana ucapan yang saya luahkan dalam bentuk gurauan bersama isteri beberapa bulan yang lalu telah dimakbulkan. Kalaulah saya tahu…mesti macam-macam lagi yang akan saya niatkan…hee hee. Sesungguhnya Allah itu Maha Memahami..

Selepas berlegar-legar di belakang ustaz tadi beberapa kali sambil bermain one two som seorang diri…nak peluk atau tidak, nak peluk atau tidak…tiba-tiba saya dirempuh oleh orang ramai yang cuba memasuki Raudhah. Secara tidak sengaja, saya terlanggar ustaz tadi sedikit menyebabkan bacaan Al-Qurannya terhenti seketika. Saya terus mengambil kesempatan, memegang bahunya, membongkok sedikit, mencapai tangannya dan mengenggam erat sambil mengucapkan ribuan terima kasih. Dia hanya tersenyum tanda tak faham dan meneruskan bacaan Al-Qurannya.

Hee hee. Akhirnya, berjaya juga saya ucapkan ribuan terima kasih kepada ustaz tersebut secara bersemuka walaupun dia tidak mengerti apa-apa. Nak peluk…??? Arghhhh..tak sempatlah waktu tu. Malu pun ada juga…nanti dikatakan gila ke apa ke…hee hee.

Itulah cerita dua episod panggilan umrah saya bersama dengan dua orang ustaz YouTube. Siapa kata YouTube punca gejala sosial yang tiada kesudahan. Kalau dimanfaatkan dengan betul, insyaallah ada kebaikan yang boleh digunakan bersama.

ps – Selain itu, semasa umrah kali ini, kami juga terserempak dengan Amy Search dan isterinya (semasa di air port Madinah dan juga semasa Sai), Ustaz Astro Akhil Hayy (yang mungkin juga dengan isterinya Wardina…tapi not sure sebab muka perempuan cover habis dengan purdah hitam, tak sempatlah nak belek bijik mata siapa yang tersembuyi di dalamnya tu pula). Apa-apa pun…tak penting untuk diceritakan. Tiada hubungan yang signifikan dalam konteks cerita kita untuk semalam, hari ini mahupun esok lusa…

Insyaallah kalau ada kelapangan, saya akan kongsikan pengalaman dan catatan perjalanan serta koleksi video dan gambar-gambar terkini sekitar Masjid Nabawi, Masjidil Haram dan lain-lain lokasi bersejarah di Mekah dan juga Madinah yang sempat kami ziarahi. Tujuannya hanyalah sebagai satu medan perkongsian pengalaman dan juga sekadar satu lagi catatan yang mungkin dapat membantu pembaca membuat keputusan, membuat persediaan sebagaimana apa yang kami peroleh dari blog-blog travelogue umrah semasa kami teraba-raba menentukan tahap kesediaan kami menyahut panggilan Baitullah suatu masa dahulu.

Di Masjid Nabawi, Madinah

Di Masjid Nabawi, Madinah…bergerak mencari pintu Babus Salam yang ada Raudhah di dalamnya

Kepada yang telah selamat menyambut panggilan Umrah/Haji sebelum kami, anggaplah catatan ini sebagai medan mengenang kembali pengalaman masing-masing yang mungkin sama dan pastinya banyak yang berbeza. Harap dibetulkan segala fakta yang salah, harap dikongsikan segala nasihat dan tips yang berguna, harap ditunjukkan jalan yang lurus…dan harap-harapnya tiada yang tersalah faham atau terkecil hati. Saya hanyalah seorang yang jahil lagi kerdil tetapi gemar berkongsi cerita dan catatan pengalaman yang tidak seberapa dengan orang-orang di sekitarnya…kerana berpegang pada satu prinsip…iaitu…sampai sekarang pun saya tak pasti prinsip apakah itu….ada prinsip konon…citttt…hee hee…

Posted on March 5, 2013, in Umrah 2013 and tagged . Bookmark the permalink. 9 Comments.

  1. artikel sangat bermanfaat..terima kasih

  2. semoga bisa lekas menyusul pergi kesana aamiin

  3. saya baru balik umrah 3 hari lepas… baca ni rasa nk menangis teringat tanah suci… teringat semuanya… rindu bau kapet hijau.. rindu mak arab berpurdah… rindu air zamzam yg sejuk tu… rindu buka puasa kat masjid… berebut2 org nak bersedekah.. berebut2 juga org nak terima sedekah… rindu nak dgr org panggil hajjah hajjah! ibu! duduk bu! he hee

  4. ASSALAMMUALAIKUM, SY BERLEGAR-LEGAR DLM BLOG Abg, bagi mempelajari serba sedikit ilmu yang akan sy bawa ke Tanah Suci pd april 2014 bersama suami dan ibu tercinta.. allhamdulillah…banyak ilmu yg sy dpt drpd abg.. kekdg baca nk mengalir air mata ini. subahanalah sy dpt merasakan kenikmatan abg ke sana.. abg doakan agar segala urusan mulai hari ini sehingga selamat mengerjakan umrah akan berjalan dengan lancer.

  5. maaf april 2015.

  6. Waalaikumsalam Farhana. Terima kasih kerana sudi membaca coretan saya di sini. Diharapkan ada sesuatu yang baik dan positif yang diperoleh. Mana yang negatif tu, adalah atas kelemahan diri saya sendiri, mohon maaf ya. Saya doakan juga semua urusan farhana dan keluarga dalam menyempurnakan ibadah umrah kelak dipermudahkan olehNya dan semoga mendapat umrah yang mabrur. Kena banyak bersabar dan redha nanti.😀

  7. seronoknya baca

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: