Kisah Saya dan Jenazah


Salah satu pesanan ustaz yang saya baca daripada buku panduan umrah ialah jangan abaikan salah satu ibadah fardu kifayah yang utama sepanjang kita berada di Mekah dan Madinah iaitu solat jenazah. Setiap kali ada peluang semasa di Masjid Nabawi atau Masjidil Haram nanti, pastikan solat jenazah lebih diutamakan berbanding dengan solat sunat rawatib yang biasa kita amalkan setiap kali selepas solat fardu.

Semasa berada di Madinah, di Masjid Nabawi, saya telah bersedia untuk tujuan itu. Solat berjemaah kali pertama saya di masjid tersebut ialah solat subuh dan sebaik sahaja selesai solat subuh itu, terdengar laungan untuk melakukan solat jenazah. OK..good kata hati saya. Betul kata ustaz, memang peluang untuk menunaikan tanggungjawab fardu kifayah itu terbentang luas di sini.

Selepas waktu Zohor, sekali lagi solat jenazah dilakukan. Mak aiii kata hati saya. Ada orang meninggal lagi. Selepas waktu Asar, pun sama juga. Begitu juga selepas waktu Maghrib dan Isyak. Hari itu hari Isnin…ramainya orang yang meninggal di hari Isnin ini kata hati saya.

Keesokan harinya, Selasa, perkara yang sama berlaku. Lima waktu solat fardu dan lima kalilah juga adanya solat jenazah. Begitu juga di hari ketiga kami di sana. Saya pun mengutarakan kemusykilan hati saya kepada teman setia saya…isteri saya.

Saya – Yang..awak perasan tak, ramai betul orang meninggal kat Madinah ni ya.
Dia – Ya lah. Ramai yang datang ke sini dah tua kot. Cuaca pun panas. Mungkin tak tahan kot.
Saya – Mungkin juga. Tapi tak sangka lak, tiap-tiap waktu solat ada solat jenazahnya. Tapi, jenazahnya tak nampak pun kan?
Dia – Ntahlah. Mungkin di sini tak perlu bawa jenazah ke masjid kot. Solat jer terus. Hee hee.
Saya – Tu lah pasal. Hari tu abang siap gi check sampai tempat imam kat depan Raudhah tu. Still tak nampak pun jenazahnya.
Dia – Biarlah bang. Yang penting tiap kali ada peluang solat jenazah tu, abang ikutlah sekali.
Saya – Itu memanglah. Tiga hari kat sini, dah lebih 12 kali dah abang solat jenazah. Kalau kat Malaysia tu, setahun mungkin dapat satu atau dua kali jer kan…

Kemusykilan saya tentang betul atau tidak adanya kematian dan adanya jenazah sebenar (atau hanya perwakilan) di setiap kali waktu solat jenazah di setiap kali selepas waktu solat fardu di Masjid Nabawi tidak terjawab kerana kami mula bertolak ke Mekah pada hari keempat (Khamis). Solat jemaah pertama kami di Masjidil Haram, tanah suci Mekah ialah solat fardu subuh dan seperti yang dijangka, selepas selesai solat fardu subuh, solat jenazah dimulakan. Lagi ??? Sini pun sama ?? Kata hati saya yang tak puas hati. Tak apalah, esok saya akan bertanya dengan ustaz yang mengiringi kami, kata hati saya lagi.

Hari itu hari Jumaat, solat Jumaat pertama saya di bumi tanah suci Mekah, Masjidil Haram, menghadap terus ke Kaabah di hadapan mata. Ya Allah tak sabarnya kata hati ini. Kira-kira 2 jam dari waktu solat, saya sudah mula bergerak ke Masjidil Haram…kononnya untuk mendapatkan lokasi solat yang terbaik, di saf hadapan yang tidak jauh dari Kaabah. Kira-kira 100m ke arah Masjidil Haram saya sudah dapat melihat lautan manusia. Di bahagian luar masjid, di atas dataran, di atas jalanraya, di atas tangga…orang ramai sudah bersiap membentangkan sejadah masing-masing. Biar betul. Ingatkan saya datang agak awal, rupanya boleh dikategorikan agak lewat. Kalau solat Jumaat di Malaysia, pergi ke Masjid 2 jam lebih awal, kiranya duduk bersembang dengan cicaklah sahaja hukumnya kerana tak ada atau tak ramai orang lagi. Jauh berbeza dengan keadaan di Masjidil Haram ini.

Saya tak puas hati. Tak kanlah datang jauh beribu batu, nak solat di kawasan dataran di luar bangunan Masjid sahaja. Saya cuba memasuki kawasan dalam masjid walaupun agak payah. Sebaik sahaja berjaya memasuki kawasan masjid, masalahnya tiada langsung tempat duduk yang kosong. Di atas tangga, di tepi rak kasut, di hadapan tong minum air zamzam semuanya sudah penuh. Biar betik…mana saya nak duduk ni?

Pak guard Arab mula mengarahkan orang ramai yang berpusu-pusu mencari tempat untuk bergerak naik ke tingkat 2 atau 3 atau turun ke aras bawah. Saya hanya mengikut sahaja arah kaki ini. Kepala sudah mula terasa pening kerana orang terlalu ramai. Saya memang ada masalah kalau berada di tempat yang terlalu sesak dan panas sebegini. Saya terus berdoa agar Allah mempermudahkan urusan saya mencari tempat untuk solat Jumaat yang pertama di Masjidil Haram ini.

Tiba di satu tempat, saya terlihat satu tempat duduk yang kosong kira-kira 50m dari tempat saya sedang bersesak-sesak. Walaupun agak sempit tapi bolehlah kata hati saya kerana tempat itu membolehkan saya terus melihat Kaabah tanpa halangan. Saya terus bergerak ke lokasi tersebut dan tiba-tiba seorang lelaki Turki yang ntah dari mana datangnya, mengambil tempat yang kosong itu. Alamak..melepas. Tak apalah, kata hati saya, bukan rezeki saya untuk duduk di situ. Tiba-tiba, seorang lelaki yang berjubah putih dan kulitnya agak hitam, serta mempunyai air muka yang agak garang mengarahkan lelaki Turki itu untuk bangun dari tempat duduk itu.

Aittt…mengapa pula ni? Lelaki berkulit hitam itu mungkin guard barangkali kata hati saya. Tempat duduk itu mungkin menganggu laluan pejalan kaki yang lain. Seterusnya beberapa orang yang lain juga cuba mengambil tempat di situ, dan semuanya tidak dibenarkan oleh pak guard berkulit hitam itu.

Saya masih tak puas hati kerana pada saya tempat itu tidak terlalu menganggu sesiapa pun. Setibanya di tempat duduk yang kosong itu, saya terus berdiri seketika, selepas hampir 45 saat, masih tidak dihalau maka saya pun terus mengangkat takbir dan solat sunat Tahayatul Masjid. Harap-harap pak guard tadi lembut hatinya dan membenarkan saya di situ sekurang-kurangnya sehingga selesai solat sunat Tahayatul Masjid. Sebaik sahaja selesai solat sunat itu, saya menunggu arahan bila-bila masa untuk bangun dan beredar. Tapi tunggu punya tunggu…pak guard berkulit hitam tadi buat bodoh sahaja. Dia hanya memandang saya dengan senyuman (tetapi masih kelihatan aura garangnya) sambil mengarahkan saya masuk sedikit ke dalam agar tidak terlalu menganggu laluan utama.

Pak Guard yang menjaga kawasan

Pak Guard yang menjaga kawasan. Yang berbaju putih tu…garang gila.

Alhamdulillah. Lega rasanya. Dapat juga saya tempat duduk yang diidamkan. Walaupun hanya berlantaikan simen yang sejuk tetapi ianya sudah cukup bermakna untuk saya kerana Kaabah begitu jelas di hadapan mata. Tapi pelik juga, kenapa lelaki Turki tadi dihalau, begitu juga dengan beberapa orang yang lain. Saya pula dibenarkan duduk di sini? Mungkin saiz mereka tadi agak besar agaknya berbanding saya yang lebih comel dan tidak menghalang lalulintas.

“Jenazah..jenazah…”

Tiba-tiba pak guard berkulit hitam tadi menjerit sambil disusuli dengan bunyi puluhan tapak kaki seperti orang sedang berlari dari arah belakang. Apa hal pula ni?? Kata hati saya…

Sekelip mata, betul-betul dihadapan saya terbujur kaku jenazah yang baru dihantar oleh sekumpulan lelaki. Sekelip mata juga selepas itu, pak guard berkulit hitam tadi dan seorang lagi rakannya mengambil tugas mengangkat jenazah tadi untuk dibawa ke dalam ruang yang disediakan. Barulah saya perasan, rupanya saya duduk betul-betul di muka pintu ruang terbuka tempat meletakkan jenazah untuk tujuan disolatkan selepas solat fardu Jumaat nanti. Di dalam ruang yang disediakan itu juga baru saya perasan kelihatan sudah sedia ada tiga jenazah yang telah siap dikafankan.

Sya duduk betul-betul di hadapan kawasan menurunkan jenazah rupanya

Saya duduk betul-betul di hadapan kawasan orang menurunkan jenazah rupanya

Tiba-tiba hati saya tersentuh. Sejak 3, 4 hari yang lalu saya asyik bertanyakan hal ini. Betul ke ramai yang meninggal di sini? Betul ke setiap kali waktu solat fardu, benar-benar ada jenazah yang telah sedia menunggu untuk disolatkan? Nah engkau….setiap soalan itu sudah terjawab. Allah telah buka laluan untuk saya menerima jawapan untuk setiap soalan tersebut. Secara life di hadapan mata, di atas kepala sendiri. Dia hantar saya untuk duduk betul-betul di ruang di mana jenazah-jenazah ditempatkan sebelum disolatkan selepas solat Jumaat nanti. Betapa Allah itu Maha Mengetahui dan Maha Menguasai sesuatu perkara.

“Jenazah…jenazah….”

Tak sampai 5 minit, sekali lagi, pak guard berkulit hitam tadi melaungkan tanda kedatangan jenazah baru disusuli dengan bunyi puluhan tapak kaki orang yang mengiringinya. Sekali lagi jenazah itu diletakkan betul-betul dihadapan saya. Sempatlah juga saya tolong pegangkan sama kayu pembawa jenazah itu semasa ia diturunkan. Tak dapat tolong angkat dan bawa jenazah, tolong pegang pun jadilah. Harap-harap dapat juga pahala yang sama.

Perkara yang sama berlaku berulang kali. Dalam masa kurang dari 45 minit, 9 jenazah termasuk satu jenazah bayi kecil telah dibawa dan diletakkan betul-betul dihadapan saya sebelum diangkat oleh pak guard berkulit hitam itu ke dalam ruang untuk mereka disolatkan. Termasuk 3 jenazah sedia ada, bermakna keseluruhan jenazah yang disolatkan selepas solat Jumaat kali ini ialah 12 orang semuanya. TU DIAAAAAA !!!.” Disangkakan 1 atau 2, rupanya 12. Memang menangis Nasir Bilal Khan dibuatnya kalau nak korek tanah lubang kuburnya nanti…

Kebetulannya saya sedang membaca Al-Quran menggunakan handphone, maka sempatlah saya switch ke aplikasi video untuk merakamkan kejadian tersebut (saya pun tak pasti untuk apa ianya ingin dirakamkan, ia berlaku secara spontan setiap kali saya melihat sesuatu yang menarik/unik di hadapan mata. Harap-harap ianya tidak menjadi satu kesalahan)

Satu pengalaman baru untuk saya. Pengalaman kecil dan remeh untuk orang lain tetapi ianya benar-benar meningkatkan rasa keinsafan dan rasa mendekati kematian yang amat mendalam. Menghadap Kaabah yang betul-betul di depan mata, walaupun jaraknya hampir 100m di hadapan sana, tanpa sedar rasa sebak mendatangi diri dan air mata mengalir tanpa sedar sambil sempat juga saya menjeling kiri dan kanan. Malulah kalau orang nampak saya menangis kerana nampak jenazah. Teringat semua dosa-dosa silam, teringatkan persoalan-persoalan tentang solat jenazah yang saya bincangkan bersama isteri hari sebelumnya. Hari ini, semuanya telah terjawab dan membawanya bersama satu soalan baru. Kalaulah hari ini atau esok atau mungkin sebentar lagi adalah masa saya pula yang disolatkan jenazahnya…adakah saya telah bersedia…??? Ya Allah…ampunkanlah segala dosaku. Terimalah taubatku Ya Allah. Hidupkanlah aku dalam Islam. Matikanlah juga aku dalam Islam. Janganlah kau tarik kembali nikmat iman yang kau beri dan tunjukkanlah aku jalan yang benar, jalan yang mampu menyubur dan mempertingkatkan keimananku kepadaMu Ya Allah…

Dan…sehingga kini, senyuman pak guard berkulit hitam itu masih terlekat di kotak fikiran saya. Seolah-olah ia membawa maksud tersembunyi…”Nah engkau..nak sangat tengok jenazah…ambikkkk…ambikkk..haa haa haa..!!!” (Ngeri siot…)

Mati itu memang pasti sakit dan ia menjadi semakin sakit sekiranya kita tidak membuat persediaan secukupnya ke arah itu…

Terima kasih Allah atas ingatan dan kasih sayangMu….

Posted on March 7, 2013, in Umrah 2013 and tagged . Bookmark the permalink. 6 Comments.

  1. semunya dipermudahkan ALLAH s.w.t, mcm sy cari kat mana tempat jenazah tu, sbb x puas hati asyik solatkan jenazah, nak tahu gak kat mana lokasinya, akhirnya dpt juga
    (faizmin@blogspot.com)

  2. HJ ABDUL AZIZ HJ ABDUL SHUKOR

    Assalamualaikum Tn,

    Semasa menunaikan Haji saya sememangnya berusaha untuk berada/bersolat didalam Masjidil Haram berdekatan dengan jenazah dibawa masuk dan keluar ….Alhamdullilah beberapa kali dapat merasainya…………

  3. Subhanallah.. Allah maha mengetahui setiap niat baik kita.. Terharu dan menginsafkn saya baca pengalaman tuan ini.. Semuga Allah mempermudahkn oerjalanan saya kesana..dan Allah memberi keampunan pada kita semua..

  4. Sesungguhnya Allah amat dekat. Sentiasa mendengar suara hati hambaNya…. Subhanallah. TQ Sharing yang mengalirkan air mata.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: