Kisah Saya dan Selipar Ihram


Salah satu syarat yang perlu dipenuhi semasa berihram oleh seorang lelaki selain daripada memakai pakaian yang tidak berjahit ialah memakai selipar yang nampak semua jari kaki dan juga tumit/buku lalinya.

Sebelum terbang mengerjakan umrah, saya pun mulalah sibuk mencari selipar yang sesuai. Syaratnya selipar tersebut mestilah selesa, ringan, kukuh dan memenuhi syarat untuk berihram. myHoney kata :

“Alaaaa…apa susah-susah sangat bang. Beli jer selipar jepun tu haaa. Confirm lulus syarat punyalah”.

Selipar jepun..?? Oh tidak..saya memang tidak sukakan selipar jepun. Walaupun ianya ringan tetapi saya tak selesa dengan selipar yang kekuatannya hanya bergantung pada satu tali pengikat di hujung ibu jari kaki. Sifatnya yang suka memercikkan air dan berbunyi pelepap pelepup pelepap pelepup semasa berjalan juga sering menganggu ketenangan hidup saya.

Pusing punya pusing, saya terjumpa dan terus membeli selipar yang ini. Harganya RM 39.90. Nampak simple, kukuh dan memenuhi syarat ihram. Siap.

Selipar Ihram Nombor 1

Selipar Ihram Nombor 1 : Rejected

Apabila dibawa pulang, dicuba pakai dan ditest-drive…alamak, ada satu masalah. Ianya licin apabila terkena air. Citttt…rejected.

Ke kedai semula, terjumpa dan terbeli selipar yang ini pula. Harganya RM 25.50. Nampak lebih kukuh dan boleh turut digunakan untuk tujuan biasa, ziarah dan sebagainya. Dicuba-cuba, diuji-uji, semua lulus.

Selipar Ihram nombor 2: Rejected

Selipar Ihram nombor 2: Rejected

Bila dibawa pulang ke rumah, tiba-tiba myHoney berkata:

Dia – Abang..boleh ke guna selipar ni?
Saya – Apasal lak? Nampak apa semua jari ni haa. Tumit dan buku lali pun nampak juga. OK apa.
Dia – Ya lah. Tapi rasanya ustaz ada kata lebih afdal kalau yang tertutup tu tak lebih 2/3 daripada keseluruhan kaki kan?
Saya – Haah..ya lah. Lupalah pulak. Alamak dah terbeli…tak apalah. Bawa untuk gi jalan-jalan ziarah atau ke masjid nanti.

Misi diteruskan ke kedai mencari selipar ihram sekali lagi. Akhirnya saya membeli selipar daripada jenama Larrie. Lebih selesa, ringan dan kuat. Harganya RM 55.90. Memang confirm selesa dan boleh digunakan untuk tujuan ihram nanti.

Dan…mereka berdua pun dibawa terbang ke tanah suci Mekah dan Madinah.

Selipar awal yang dibeli yang satu itu digunakan untuk ke masjid dan juga ziarah sekitar Madinah. Setiap kali ke masjid saya jarang memasukkan ia ke dalam kantung kasut dan diletakkan di rak kasut berhampiran tempat solat seperti mana rakan-rakan yang lain. Saya biarkan sahaja di mana-mana ruang meletakkan kasut yang disediakan di luar kawasan masjid dan berdoa agar dipelihara kasut saya itu dari tangan-tangan gatal yang mungkin terambil kasut tersebut tanpa izin atau tanpa sengaja. Lagi pun saya ingin bersangka baik. Ini Masjid Nabawi, masjid yang amat tinggi statusnya di Madinah dan juga di dunia ini. Tak kanlah ada yang tergamak ke mari semata-mata untuk “terambil” kasut orang lain? Kalau selipar jepun, mungkinlah tertukar secara tidak sengaja, tapi selipar saya ni unik sikit, tak mungkin orang akan tersilap ambil, kata hati saya.

Setiap kali selepas solat, dan pergi ke arah rak kasut hati saya selalu berdebar-debar. Ada lagi ke kasut itu kerana banyak juga keadaan di mana kelihatan orang pulang dari masjid berkaki ayam (menandakan kasut atau seliparnya sudah syahid barangkali). Saya yakin masjid Nabawi dan Masjidil Haram ialah antara dua lokasi istimewa bagi semua umat islam. Doa kita lebih dekat denganNya. Oleh yang demikian saya yakin doa saya agar keselamatan diri saya termasuklah keselamatan harta benda saya (termasuk selipar) akan dipelihara olehNya. Dan…alhamdulillah selipar saya itu tidak pernah berganjak tempatnya…setia menunggu saya di rak kasut itu setiap kali selepas waktu solat.

nyHoney pun bertanya :

Dia – Kalau abang yakin sangat doa di Madinah ni termakbul, apasal abang tak pakai selipar yang satu lagi tu. Yang mahal sikit tu? Kata itu lagi selesa? (Sengaja ingin menguji keyakinan saya)
Saya – Selipar yang itu, khas untuk pakai masa ihram nanti. Risau gak pakai di sini tiba-tiba hilang, mana nak cari selipar ihram lagi nanti.
Dia – Habis tu. Degil sangat tak mau simpan kasut dalam bag.
Saya – Kita kena yakin dengan Allah sayang. Kalau dia kata kasut tu nak hilang, simpan dalam bag, letak bawah ketiak dan ketiak tu kita simpan dalam peti besi pun tetap boleh hilang juga.

Isteri saya terus diam..faham sangat dah…seperti biasa bila dia malas nak layan saya berdebat dah…hee hee.

Akhirnya selepas tiga hari di Madinah, kami pun bersiap sedia berihram dari bilik hotel sebelum bergerak menaiki bas menuju ke Bir Ali tempat untuk miqat dan berniat umrah. Saya pun dengan bangganya memakai selipar cantik baru saya yang lagi satu itu…selipar yang dibawa khas dari Malaysia untuk tujuan ihram dan seterusnya umrah. Sebelum itu, semasa melihat cik isteri mengemas bag yang semakin sendat dengan barang-barang tambahan yang “terbeli” sepanjang tiga hari kami di Madinah, saya pun berkata:

Saya – Awak…bag dah tak muat ke?
Dia – Taklah. Melampaulah abang ni. Muat lagi ni. Apasal?
Saya – Taklah, kalau tak muat, selipar abang yang ini boleh tinggal jer (sambil menunjuk selipar yang pertama yang telah digunakan sepanjang 3 hari di Madinah). Kita wakafkan jer untuk kegunaan di masjid nanti. Abang boleh hantar masa nak buat ziarah wida makam Rasullullah nanti.
Dia – Haaa??? Usah mengadalah abang. Kita lama lagi di Mekah tu nanti. Dibuatnya selipar kesayangan abang yang satu lagi tu hilang ke, putus ke? Bawa jerlah selipar yang satu tu buat backup dulu. Ishhh abang ni.
Saya – Tak adalah insyaallah. Abang dah doa dah…

(Nota : Selipar itu tetap dibawa ke Mekah, atas kuasa veto isteri saya).

Bersama selipar kesayangan...khas dipakai hanya untuk tujuan umrah (semasa berihram)

Bersama selipar kesayangan…khas dipakai hanya untuk tujuan umrah (semasa berihram)

Dari Bir Ali, kami terus bergerak ke bandar suci Mekah dan tiba kira-kira 7 jam kemudiannya. Kami diarahkan check in hotel dan berehat untuk kira-kira 1 jam sebelum mula bergerak ke Masjidil Haram untuk memulakan tawaf, saie’ dan lain-lain proses kerja untuk melengkapkan umrah wajib kami yang pertama.

Di bilik hotel, sementara menunggu, hati mula rasa tidak tenang, tidak sabar untuk pergi melihat Kaabah…Baitullah. Ya lah..sejak kecil kita diajar solat dan berdoa mengadap kiblat dan sekarang kami berada di bilik hotel yang jaraknya hanya kira-kira 150 meter sahaja dari kiblat tersebut.

Sejam kemudiannya, kira-kira jam 11.30 malam, kami mula bergerak ke Masjidil Haram lengkap berihram dan bersedia untuk menunaikan ibadah umrah. Setibanya di pintu utama Masjidil Haram, mutawwif (ketua rombongan merujuk jurutunjuk) berpesan agar semua menyimpan selipar masing-masing di dalam kantung kasut atau bag plastik dan diletakkan di dalam almari atau rak kasut yang berhampiran. Cik isteri menjeling saya dan tersenyum kerana dia tahu suaminya masih degil dan terlalu yakin dengan “keselamatan” seliparnya itu. Saya meletakkan selipar itu di dalam rak kasut di bahagian luar masjid dan berdoa dan yakin selipar tu pasti akan selamat. Maklumlah..ini Mekah, Masjidil Haram. Tak mungkin ada yang terniat nak mencuri selipar di sini. Kalau nak terambil atau tertukar pun tak logik rasanya kerana selipar saya ni bukan selipar jepun yang mungkin sama ciri atau sifatnya dengan selipar orang lain. Ini selipar canggih beb….

Rak atau almari kasut yang disediakan di luar Masjid. Jangan biarkan ianya berselerak atau ianya akan disapu oleh encik cleaner

Rak atau almari kasut yang disediakan di luar Masjid. Jangan biarkan ianya berselerak atau ianya akan disapu oleh encik cleaner

Meninggalkan selipar itu di sana, kami terus menuju ke ruang dalam Masjidil Haram, melakukan tawaf, solat sunat di belakang Makam Nabi Ibrahim, minum air zam zam, saie’ dan akhirnya bertahalul (semua pengalaman ini nanti insyaallah akan dikongsikan di lain entry). Semuanya selesai dalam masa kira-kira 3 jam…iaitu kira-kira jam 2.45am.

Selesai semua, kami melabuhkan punggung, berehat di atas tangga Gate 1, betul-betul menghadap Kaabah sambil lidah kelu untuk berkata-kata tetapi rasa syukur tidak terhingga kerana diterima olehNya sebagai tetamuNya kali ini. Selepas kira-kira 20 minit diam, kelu melayan perasaan sendiri di atas tangga itu, kami pun bergerak untuk kembali ke hotel untuk membersihkan diri, berehat seketika sebelum azan subuh berkumandang nanti.

Dan….di rak kasut itu, dari kejauhan saya sudah dapat merasakan sesuatu yang tidak kena. Ianya kelihatan…kosong…kosong…kosong. Ya…selipar saya sudah tidak ada di rak itu lagi. Puas dicari dan diperhati, takut tersalah rak atau terjatuh ke bawah. Memang confirm…selipar itu sudah terkorban di medan perang.

Hee hee. Saya tersenyum sendiri. Dah kena dah. Allah bayar cash. Riak sangat dengan selipar sendiri. Riak sangat dengan doa sendiri tetapi tidak berusaha untuk menjaga ianya sebaliknya terlalu berserah. Isteri saya turut tersenyum (tapi saya tahu, dia sedang mengawal daripada berkata-kata. Kalau di Malaysia…confirm dia akan kata….”Tu lah…saya dah kata…abang degil…padan muka…kik kik kik”)

Dan balik dari Masjidil Haram subuh buta itu, dengan berkaki ayam…saya singgah di sebuah kedai runcit yang dibuka 24 jam. Alhamdulillah kedai itu ada menjual selipar. Terlalu banyak pilihan selipar yang boleh dipilih rupanya. Pak Arab kedai itu hanya tersenyum melihat saya berkaki ayam dan terus mengambil sepasang selipar jepun dan memberikannya kepada saya. Saya menolaknya dengan penuh hormat. Saya nak pilih selipar lain yang lebih selesa. Saya sudah ada pilihan sendiri. Tapi pak Arab itu tetap berdegil. Dia mengambil semula selipar putih itu dan menyerahkannya kepada saya sambil berkata “Ini Bagus..ini Bagus.”

Saya meletakkan selipar itu semula dan mengambil selipar yang lain. Dia masih berkeras dan berkata :

“Ini mahal…tak bagus..” (sambil mengambil selipar pilihan saya tadi).
“Ini murah…bagus. Malaysia bagus..(sambil mengambil semula selipar jepun tadi dan memaksa saya memakainya terus).

Malas nak bertekak dan mungkin sedikit kepenatan, saya pun mengikut sahaja pilihan pak arab tadi. Maka untuk hari-hari seterusnya semasa berihram di sini…inilah selipar utama saya…selipar yang adik beradik dengan selipar jepun. Dibeli dengan harga 5 Rial (lebih kurang RM 5).

Selipar utama semasa menunaikan umrah di Mekah. Apa yang kita tak suka, itulah yang kita terima...hee hee. Allah itu Maha Mengetahui

Selipar utama semasa menunaikan umrah di Mekah. Apa yang kita tak suka, itulah yang kita terima…hee hee. Allah itu Maha Mengetahui

Maka..berpelepap berpelepuplah bunyi selipar itu setiap kali saya bergerak sama ada dari bilik hotel ke masjid dan begitu juga sebaliknya. Tapi memang betul…selipar itu memang bagus. Ringan, lembut dan tidak menyakitkan kaki. Walaupun nampak macam mudah putus, tapi alhamdulillah….dengan izin Allah ianya mampu berkhidmat tanpa sebarang masalah sehingga selesai.

Kesimpulannya…??? Tafsirlah sendiri. Allah itu maha pengasih lagi maha penyayang.

Beratus-ratus rak kasut disediakan di dalam masjid. Masukkan selipar anda di dalam kantung dan bawalah ke mana anda solat. Itu lebih selamat (dengan izinNya). (ps - sekadar gambar hiasan - adalah pulak hamba Allah yang jadikan rak kasut tu sebagai bantal. Penat barangkali)

Beratus-ratus rak kasut disediakan di dalam masjid. Masukkan selipar anda di dalam kantung dan bawalah ia ke mana anda solat. Itu lebih selamat (dengan izinNya). (ps – sekadar gambar hiasan – adalah pulak hamba Allah yang jadikan rak kasut tu sebagai bantal. Penat barangkali)

Huhuhu….

Posted on March 7, 2013, in Umrah 2013 and tagged . Bookmark the permalink. 3 Comments.

  1. Salam. Saya pun pakai selipar Jepun. Macam mana cantik pun selipar / sandal yang kita guna untuk berihram, ia tidak boleh dipakai dalam MH atau di tempat bersaie.

  2. Sangat menarik… TQ. Cuma yang bawa kasut ke mana bersolat tu x berapa setuju kerana tempat sempit akan mengganggu jemaah lain. Perlu sentiasa memberi ruang kepada orang lain. In sya Allah.

  3. terima kasih atas perkongsian…sy akan ikut panduan tuan

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: