Kisah Saya dan Tapak Kaki


Salah satu elemen yang agak mencabar ramai orang yang pergi menunaikan umrah/haji ialah faktor cuaca yang agak panas dan kering. Kalau tidak kena gayanya, selain dari batuk, kulit kering dan gatal-gatal kita juga mudah demam, sakit tekak dan berdarah hidung dibuatnya (dengan izin Allah).

Beberapa panduan yang kami baca (dan seterusnya amalkan) bagi mengurangkan kesan-kesan akibat perubahan cuaca ini antaranya ialah :

  1. Elakkan mandi untuk sekurang-kurangnya untuk 1 atau 2 hari yang pertama setibanya dari Malaysia.
  2. Seterusnya elakkan mandi setiap hari di sepanjang waktu berada di Mekah/Madinah. Sebaiknya mandi selang satu atau dua hari sekali.
  3. Kurang atau elakkan penggunaan sabun/syampu semasa mandi (ianya mengeringkan kulit).
  4. Memakai stokin semasa ke masjid (bagi orang perempuan terutamanya), menggunakan krim pelembab atau minyak zaitun pada kaki, tangan, bibir, muka dan kawasan-kawasan yang terdedah terus pada cahaya matahari.
  5. Memakai mask atau topeng penutup mulut/hidung bagi mengurangkan kesan habuk dari sekitaran.
  6. Sentiasa minum air (khususnya air zam zam) dan bukan sekadar minum apabila terasa dahaga. Elak atau kurangkan minum ais (agak mencabar ni karana cuaca memang agak panas)
  7. Jangan lupa dan sentiasa berdoa kepada Allah SWT agar diberi kesihatan yang baik dan dipermudahkan segala urusan

Setiap kali sebelum keluar dari bilik hotel, isteri saya tidak pernah terlupa untuk memaksa saya menggunakan pelbagai jenis pelembab kulit dan minyak zaitun pada muka, kaki dan tangan. Alhamdulillah, setelah tiga hari berada di Madinah, dengan izin Allah kami berjaya menangani kesan cuaca yang panas dan kering itu sedangkan ramai yang lain sudah mula mengelupas bibir, kekeringan pada kulit muka, kaki, tangan dan sebagainya.

Pada waktu Zohor, hari terakhir semasa kami berada di Madinah, saya mengambil tempat solat di kawasan dataran Masjid Nabawi dan bukannya di dalam bangunan masjid seperti mana biasanya. Ini memandangkan sebaik sahaja selesai Zohor kami semua akan mula bergerak keluar dari Madinah untuk bermikat ke Bir Ali dan seterusnya menuju ke Mekah untuk menunaikan umrah.

Nota : Untuk keluar dari Masjid Nabawi dan kembali ke hotel yang jaraknya hanya kira-kira 150 m dari masjid (sekiranya anda berusaha untuk solat di saf yang yang berdekatan dengan imam) akan mengambil masa antara 20-30 minit disebabkan besarnya masjid Nabawi dan ramainya orang yang berpusu-pusu.

Semasa menunaikan solat di kawasan dataran ini, di sekeliling saya ramai lelaki dari pelbagai bangsa. Tanpa saya sedari, saya melihat setiap muka, kaki dan tangan lelaki-lelaki di sekeliling saya. Kebanyakannya mengalami kekeringan, bersisik, pecah dan mengelupas. Seorang lelaki Indonesia (rasanya…mungkin juga lelaki Sepanyol atau Mexico) di hadapan saya misalnya, sekitar umur 30-an, kakinya khususnya di bahagian tumitnya, masyaallah..hitam, mengelupas teruk dan pecah-pecah. Terus hati nakal saya berkata..”Ini mesti tak pakai losyen pelembab ni. Ini mesti isterinya tak pandai jaga dia ni. Kesian dia…”

Bisikan hati nakal saya tidak berhenti di situ. Dalam perjalanan pulang ke hotel, saya menceritakan apa yang saya nampak dan rasa itu pada isteri saya. Dia hanya tersenyum, menggeleng-gelengkan kepala sambil berkata dengan lembut:

“Ishhhh abang ni. Tak baik tau cakap macam tu. Bawak beristighfar abang. Hari tu dah janji nak jaga sikit mulut tu…”

Saya hanya diam. Tak kanlah cerita pasal tapak kaki orang lain pun salah. Dan cerita itu…mati di situ….apa pun tak boley….

Malam itu….selesai menunaikan umrah di Mekah untuk pertama kalinya, terasa begitu seronok yang sukar digambarkan dengan kata-kata. Penat selepas perjalanan lebih kurang 6 jam menaiki bas dari Madinah ke Mekah tidak langsung terasa walaupun ianya disusuli terus dengan melakukan tawaf dan saie’ 7 pusingan yang kalau dicampurkan jarak keseluruhannya adalah kira-kira 4km. Walau bagaimanapun setibanya di hotel, seperti biasa sebagai seorang suami yang manja dan mengada-ngada saya pun menghulurkan kaki untuk diurut oleh si isteri. Si isteri yang setia pun terus mengambil balsam serai dan melumurkan keseluruhan betis dan tapak kaki saya dan mula mengurut (lebih kepada meraba sebenarnya sebab tak terasa langsung urutannya…dia pun penat pastinya. Kesian….hee hee). Tiba-tiba isteri saya berkata:

“Ya Allah..Abang…tengok ni. Apasal tapak kaki abang ni buruk sangat. Hitam legam. Pecah-pecah macam apa ntah…abang pergi mana tadi ni haa..???”

Saya pun melihat dan Ya Allah..terkejutnya saya melihat tapak kaki saya khususnya di bahagian tumit kaki. Betul kata si isteri..ianya kelihatan hitam, pecah dan begitu kering sekali.

Peliklah pula. Tak mungkin dalam masa kurang daripada 3 jam melakukan umrah, tapak kaki saya telah berubah begitu sekali. Tiba-tiba isteri saya berkata lagi:

“Sama tak kaki abang ni dengan kaki lelaki Indonesia yang abang cerita siang tadi tu?

Alamak…ya lah. Baru saya perasan. Rupa paras buruknya tapak kaki saya malam ehhh pagi itu sama buruknya dengan tapak kaki seorang lelaki Indonesia yang saya “kutuk” siang harinya tadi. Sambil berstighfar saya tersenyum sendiri. Betullah orang kata. Di Madinah dan Mekah ini, hati-hati dengan setiap tingkahlaku kita, sama ada yang dizahirkan dalam bentuk perbuatan atau kata-kata mahupun yang tersirat di dalam hati. Allah akan makbulkan dan memperlihatkan kuasanya serta merta. Sedar sangat pasal benda ni…tetapi mulut dan hati ini memang suka sangat berfikir dan berbicara….

Isteri saya tersenyum dan berkata lagi :

” Tu lah..saya dah ingatkan tadi. Di sini jangan main cakap ikut sedap mulut jer..Abang tu degil sangat..”

Saya terus beristighfar dan memohon keampunan dariNya. Betapa hebat kuasaMu ya Allah. Dalam sekelip mata sahaja kalau Dia inginkan sesuatu itu berlaku, ia akan terus berlaku. Pakailah losyen pelembab cap emas 3 karat Rozita Chek Wan sekalipun, dan lumurkanlah 3 atau 4 kilogram untuk setiap kaki, kalau Dia tak mengizinkan untuk kaki tersebut untuk selamat dari kekeringan, ia pasti akan tetap kering juga.

Satu lagi perkara kecil dan remeh yang berlaku dan saya alami semasa berada di Mekah tetapi membawa seribu satu rasa keinsafan yang begitu dekat dan lekat di hati.

Kepada seorang lelaki Indonesia, yang berusia sekitar 30-an, berkumis nipis dan solat zohor di dataran luar Masjid Nabawi pada hari Khamis (21 hb Febuari 2013), dan buruk tumit kakinya…sekiranya anda terbaca mesej ini…maafkan saya ya…(ps : tapi kalau ada masa, cubalah sapu minyak zaitun atau krim pelembab Nivea….bagus untuk kulit di cuaca yang panas…isteri sayalah yang kata…saya ikut jer..)

Nota : Alhamdulillah tumit kaki saya telah kembali normal selepas sarapan pagi. Kalau tidak, hu hu hu. Confirm tak akan tengok dan cakap pasal kaki orang lagi lepas ni…

Tumit kaki yang semakin menyerupai kaki. Kalau tidak sebelum itu...Masyaallah...

Tumit kaki yang semakin menyerupai kaki. Kalau tidak…sebelum itu…Masyaallah…

Posted on March 7, 2013, in Umrah 2013 and tagged . Bookmark the permalink. 6 Comments.

  1. Fauzeyah Abd Wahab

    Tulisan yang menarik dan bermaklumat bagi yg akan menunaikan umrah. Insya’Allah akan ke sana 28 Mac hingga 8 April 13 nanti. Doa kami spti semua Jemaah Umrah semoga selamat, sihat & mendapat Umrah Mabrur. Aminnn……….

  2. salam, tq sangat,,izinkan saya baca ye.

  3. pakai stokin je senang pada waktu selain berihram… cuaca memang kering sana kot… unless kita dah biasa lah

  4. Salam, nk tnya ambil pakej agent travel mna p umrh ni?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: