Travelogue Umrah 01 – Dari KLIA ke Madinah


Saya difahamkan terdapat tiga cara utama bagaimana rakyat Malaysia pergi menunaikan umrah atau haji. Kita fokuskan kepada umrah ya.

  1. Dari Malaysia menuju ke Jeddah dan terus ke Mekah
  2. Dari Malaysia menuju ke Jeddah dan terus ke Madinah
  3. Dari Malaysia terus ke Madinah dan akhirnya ke Mekah (beberapa hari kemudiannya)

Ada juga yang mungkin masuk ke Mekah atau Madinah menerusi negara lain khususnya bagi sesiapa yang mengambil pakej umrah dan ziarah misalnya menerusi Spain, Mesir, Kaherah, Istanbul dan sebagainya.

Dari segi anggaran masa perjalanan pula, biasanya:

  1. Perjalanan menggunakan kapalterbang dari Malaysia ke Jeddah mengambil masa kira-kira 8 hingga 9 jam
  2. Perjalanan menggunakan bas dari Madinah ke Mekah mengambil masa kira-kira 7 hingga 8 jam
  3. Perjalanan menggunakan bas dari Mekah ke Jeddah biasanya mengambil masa kira-kira 2 hingga 3 jam

Perjalanan yang mana terbaik untuk kita…bergantung kepada pakej perjalanan yang ditempah, dan bergantung kepada citarasa masing-masing. Sewaktu saya dan isteri membuat tempahan untuk menunaikan umrah buat kali pertama tempohari kami sememangnya memejamkan mata untuk sebarang tawaran pakej umrah bersama ziarah. Walaupun tawaran yang dibuat sememangnya menarik dan dengan menambah sedikit sahaja duit lagi kita boleh melancong..opss…silap..menziarah negara-negara seperti Turki, Sepanyol, Mesir dan sebagainya. Tetapi kerana tidak mahu aktiviti ziarah ini menganggu tumpuan kami sebelum mahupun selepas ibadah umrah…maka kami hanya memberi tumpuan kepada pakej Umrah semata-mata.

Persoalan kedua yang menjadi isu kepada kami ialah….

“ehhh…flight kita nanti terus ke Mekah ke atau Jeddah atau Madinah ya…?? Harap-harap teruslah ke Madinah ya….”

Mengapa..??? Ada orang suka terus ke Mekah supaya boleh menyelesaikan ibadah umrah secepat mungkin dan yang tinggal seterusnya ialah aktiviti ziarah dan mengimarahkan Masjid Nabawi di Madinah. Perjalanan juga akan menjadi minima (kerana terdapat penerbangan dari KL yang terus ke Jeddah dan kemudian perlu menyambung perjalanan 7 atau 8 jam lagi menaiki bas dari Jeddah menuju ke Madinah). Mengapa kami mengharapkan perjalanan kami terus ke Madinah disebabkan beberapa faktor remeh daripada pemikiran orang yang agak jahil dan pemalas (huhuhu…ampun Ya Allah).

  1. Sekiranya perjalanan terus ke Mekah, maka kami perlu berihram bermula dari rumah atau sekurang-kurangnya dari KLIA (orang lelaki…ingat senang ke nak pakai ihram dalam kapalterbang kerana apabila sampai tempat mikatnya nanti…kita bukannya naik bas boleh tekan loceng untuk berhenti sekejap ke apa ke…terutamanya orang lelaki macam saya yang ada masalah semasa nak pakai kain pelikat…inikan pula kain ihram…hee hee).
  2. Ini kali pertama kami menunaikan umrah…jadi ada baiknya sampai ke Madinah dahulu…konon-konon untuk warming-up sebelum the final countdown…umrah di Mekah.
  3. Kalau perjalanan terus ke Jeddah dan kemudiannya baru ke Madinah….kira OK juga tetapi daripada banyak cerita yang kami dengar, perjalanan menaiki bas dari Jeddah ke Madinah (mengambil masa kira-kira 8 jam) memang memenatkan. Selain dari cuaca yang agak panas, kemudahan bilik air dan sebagainya yang kurang selesa dan sebagainya sememangnya sesuatu yang kalau dapat kita elakkan..memang kita nak elakkan betul tak..?

Ya…memang bunyinya agak mengada-ngada….sepatutnya kita redha dan terima apa sahaja ketentuanNya kerana tujuan kita ke sana pun tidak lain dan tidak bukan untuk mendekatkan lagi diri kita kepadaNya. Tetapi sebagai manusia biasa, kita tak boleh lari dari merasa dan menginginkan keselesaan dan yang terbaik untuk diri kita…keluarga kita. Walau bagaimanapun, kami tidak merancang untuk penerbangan jenis mana yang akan kami terima, kami hanya berserah dan berdoa agar apa yang terbaik untuk kami dan semoga Dia mempermudahkan segala urusan yang berkaitan dengan ibadah umrah yang  bakal kami lalui…kami hanya mengharapkan diri kami diterima sebagai tetamuNya untuk kali ini…itu sahaja.

Alhamdulillah, doa itu termakbul. Menurut pegawai yang menguruskan tempahan tiket, sepatutnya perjalanan yang perlu kami lalui ialah menerusi kapalterbang (KL-Jeddah) dan bas (Jeddah-Madinah) tetapi ditukar kepada kapalterbang (KL-Madinah). Bermaksud kami hanya perlu melalui penerbangan kira-kira 8 jam…itu sahaja berbanding dengan 8 jam penerbangan (KL-Jeddah) dan 8 jam menaiki bas (Jeddah-Madinah). Alhamdulilllah….doa dimakbulkan (Sememangnya untuk tujuan umrah ini…doa menjadi senjata utama, sebelum pergi, semasa di sana dan juga setelah kembali). Kami akan berada di Madinah selama 3 hari manakala 9 hari lagi kami akan berada di Mekah.

18 Februari 2013 – Tarikh di mana kami memulakan perjalanan ke tanah suci untuk menunaikan umrah. Perjalanan dari KL menuju ke Madinah menggunakan penerbangan Arab Saudi Airline, pesawat SV829 mengambil masa kira-kira 8 jam. Kami bertolak dari KLIA pada jam 3pm, transit selama 1 jam di Riyadh sebelum meneruskan perjalanan terus ke Madinah dan sampai  kira-kira jam 8.30pm (Perbezaan masa antara Malaysia dan Arab saudi ialah -5 jam).

Penerbangan ke Madinah menerusi Saudi Arabian Airline

Penerbangan ke Madinah menerusi Saudi Arabian Airline

Tidak seperti perjalanan kami ke luar negara seperti kebiasaannya, perjalanan kali ini begitu lama dan jauh terasa. Maunya tidak..tak tahu apa yang nak dilakukan, mati kutu dibuatnya. Kalau perjalanan lain, biasanya kami penuhi masa dengan bersembang, mengumpat orang sekitaran (khususnya saya suka mencipta dialog orang yang sedang berbual di kejauhan dan isteri saya sebagai pendengar setia yang terpaksa mendengar suaminya ini merepek) dan menonton segala macam movie, drama, sitcom serta bermain interactive games segala bagai yang disediakan di dalam penerbangan.

Nak tidur atau nak menonton movie atau main game..??

Nak tidur atau nak menonton movie atau main game..??

Tapi..tidak kali ini. Bukannya salah atau berdosa tetapi rasa tak sedap di hati untuk melakukan perkara sebegitu. Maklumlah…kita sedang menuju ke satu lokasi suci, menyahut panggilan untuk menjadi tetamuNya…rasa bersalahlah pula perjalanan yang baik ini dimulakan dengan aktiviti-aktiviti yang tak berapa nak baik. Puas sudah semua doa dihafal, puas sudah semua buku panduan umrah dibaca, puas sudah kitab suci Al-Quran dan tafsirnya dibaca…bila diperhatikan jam di tangan…haaa…baru 2 jam…kemudiannya sambung semula aktiviti tersebut, disusuli dengan aktiviti menidurkan diri sendiri..pandang jam di tangan sekali lagi…haaa..baru 2 jam 30 minit?? Aduhhhh…bila nak sampai ni..?? Tak sabarnya hati ini nak melihat masjid Nabawi yang selama ini hanya dapat dilihat di kaca TV dan gambarfoto rakan-rakan yang telah berkunjung di sana.

Akhirnya nafsu bosan tidak boleh ditahan sudah, tangan mula mencapai remote entertainment centre yang disediakan di dalam kapalterbang. Mata mula menonton rancangan-rancangan agama yang disediakan, kemudian rancangan kartun, dokumentari…dan kemudian…tidur semula. Jiwa memberontak nak menonton movie…tetapi hati ini perlu dilatih, nafsu perlu belajar dikawal…dan akhirnya….setelah berkuak lentang tanpa irama selama lebih 8 jam, kami pun tiba di lapangan terbang Madinah pada jam 8.30pm.

Semakan imigresen berjalan lancar walaupun agak perlahan (baca sebagai amat perlahan).Terlalu banyak pegawai yang berkuasa di sana. Ada seorang pegawai yang mengarahkan lelaki dan wanita beratur berasingan…OK..noted..baguslah…kami ikut. Tetapi masalahnya apabila kaum wanita ini selesai menjalani pemeriksaan mereka masih tidak dibenarkan keluar kerana seorang lagi pegawai  pula sibuk bertanyakan mana mahramnya. Aduhh…dia yang asingkan, kemudian dia yang kecoh-kecoh bertanya. Selepas hampir 2 jam berpusing-pusing di sana seterusnya kami bergegas untuk mendapatkan bagasi masing-masing. Seperti yang dijangkakan, agak sukar untuk mendapatkan troli untuk membawa bag. Troli yang sedia ada pula dipegang oleh pekerja-pekerja lapangan terbang berbangsa Bangladesh kebanyakannya. Mereka menawarkan diri untuk membantu walau bagaimanapun berdasarkan apa yang kami baca dan juga berdasarkan apa yang dipesan oleh ketua rombongan, pelawaan bantuan tersebut ada harganya dan ada masanya harga tersebut amat amat amat tidak setimpal dengan bantuan yang diberikan. Ada kes di mana jemaah dipaksa membayar berpuluh-puluh (malah ada yang mencecah ratusan) riyal sekiranya bag mereka ingin dilepaskan, setelah dibantu ditolak ke lokasi diperlukan. Wallahualam…

Perjalanan diteruskan dengan menaiki bas terus ke hotel. Dari kejauhan kelihatan jalanraya agak tenang. Mungkin sudah lewat malam agaknya. Masa itu jam menunjukkan pukul 10.45pm. Setibanya di hotel (Elaf Taibah), kami sibuk bertanyakan arah di mana Masjid Nabawi. Tidak sabar rasanya untuk melihatnya dengan mata sendiri. Rupa-rupanya Masjid Nabawi berada betul-betul di hadapan hotel yang kami diami dan jaraknya hanya sepelaung (kira-kira 100m). Mungkin disebabkan penat, kami tidak perasan keindahan struktur dan cahaya di hadapan mata itu, adalah Masjid Nabawi rupanya.

Hotel Elaf Taibah tempat kami menginap. Kurang 100m jaraknya dari Masjid Nabawi

Hotel Elaf Taibah tempat kami menginap. Kurang 100m jaraknya dari Masjid Nabawi

Permandangan Masjid Nabawi dari hotel tempat menginap

Permandangan ke Masjid Nabawi dari hotel tempat menginap

Setelah menikmati makan malam, mengambil kunci bilik dan mendengar penerangan aktiviti untuk esoknya, kami bergegas ke bilik masing-masing untuk membersihkan diri sebelum seterusnya mula bergerak ke Masjid Nabawi. Sebenarnya tak mandi pun kerana dinasihatkan oleh ketua rombongan untuk mengelakkan mandi untuk sehari (dan lebih baik untuk 2 hari) setibanya ke Madinah/Mekah. Ini bagi mengelakkkan kejutan cuaca yang menyebabkan mudahnya kita diserang demam, batuk dan sebagainya.

Kebanyakan bilik hotel di Madinah dan Mekah khususnya yang berhampiran dengan Masjid biasanya menyediakan 3 hingga 6 katil bujang di dalamnya. Ini bagi membolehkan sesiapa yang mengambil pakej 3, 4, 5 atau 6 sebilik boleh ditempatkan dengan mudah. Kami yang datang berdua ni pun “bertuah” sama kerana mendapat satu lagi katil percuma…hee hee.

Terdapat 3 katil bujang. Satu digunakan untuk meletakkan barang isteri saya. Satu lagi digunakan untuk meletakkan barang saya. dan satu lagi yang ditengah tu tempat kami berhimpit-himpit tidur. Hee hee

Terdapat 3 katil bujang. Satu digunakan untuk meletakkan barang isteri saya. Satu lagi digunakan untuk meletakkan barang saya dan satu lagi yang di tengah tu tempat kami berhimpit-himpit tidur. Hee hee

Walaupun dimaklumkan pintu masuk ke bangunan utama masjid biasanya ditutup pada jam 11pm dan pada masa itu sudah hampir jam 12am, kami tetap ke sana kerana yakin masih ada pintu masjid yang terbuka. Rumah Allah…mana ada masa tutup untuk tetamunya ya tak. Setibanya di Masjid Nabawi, jelas kelihatan struktur payung gergasinya yang amat popular itu. Semuanya sedang kuncup seolah-olah sedang berehat menanti masa untuk kembali bertugas esok paginya nanti.

Suasana d dataran luar Masjid Nabawi kira-kira jam 1..payung-payung gergasi sedang berehat

Suasana di dataran luar bangunan utama Masjid Nabawi kira-kira jam 1 am…kelihatan payung-payung gergasi sedang berehat

Masjid Nabawi sememangnya istimewa di kalangan kita umat islam semua. Ianya juga merupakan antara masjid yang terbesar di dunia. Bayangkanlah, jarak antara pintu utama (pintu King Fahd) di bahagian utara ke kawasan Raudhah dan tempat imam (di sebelah selatan), hampir 900m jaraknya. Itu belum kira lagi kalau kita bergerak dari sebelah kanan masjid menuju ke arah kirinya…mahu lebih 1 km rasanya. Memang jenuhlah berjalan (terutamanya kalau kita terlupa di pintu atau rak mana kita tinggalkan kasut…hee hee).

Walaupun malam makin larut, dan semua pintu utama masjid telah ditutup, dataran di luar masjid masih dipenuhi dengan orang ramai. Ada yang duduk berkumpulan berbual, ada yang duduk membaca Al-Quran/yasin, ada yang sedang solat sunat dan ramai yang sekadar duduk menikmati keindahan senibina masjid tersebut. Kami terus berjalan dan terus berjalan sehingga pada satu sudut, kelihatan terdapat sebuah pintu besar masjid yang terbuka luas. Kami perhatikan ada pak arab yang menjaga pintu tersebut. Apabila sekumpulan lelaki memasukinya, tali penghadang dipasangkan untuk mengelakkan orang lain masuk. Tidak berapa lama kemudian, tali penghadang itu dibuka semula dan orang ramai mula menyerbu masuk semula dan seterusnya, tali penghadang dipasang semula. Kami tertanya-tanya, ini aktiviti apa pula ni? Masuk masjid secara berjemaah berganti-ganti ke apa…?? Waktu itu jam sudah hampir 1.30am. Cuaca semakin dingin, dan kami berdua pun sudah semakin penat dan mengantuk.

(Keesokkan harinya, barulah kami tahu, pintu yang terbuka itu ialah pintu Babus Salam, iaitu pintu yang akan membawa kita terus ke Raudhah dan juga Makam Rasulullah SAW dan sahabatnya; Sayidina Abu Bakar R.A dan Sayidina Umar R.A)….cisss……cisss…double cheese sungguh….

Setelah puas meninjau semua lokasi utama sebagai persediaan untuk kembali semula untuk solat berjemaah waktu subuh nanti, kami pun pulang semula ke hotel untuk berehat dan cuba menidurkan diri.

Suasana selepas solat subuh di Masjid Nabawi

Suasana selepas solat subuh pertama kami di Masjid Nabawi. Muka mengantuk kerana baru sempat tidur 1 jam sahaja..over excited sampai tak boleh nak tidur…dan takut tak terbangun dari tidur.

Jangan terkejut dengan aktiviti jual beli pelbagai barangan di setiap pintu pagar Masjid Nabawi setiap kali sebelum dan selepas waktu solat fardy (termasuk waktu subuh)

Jangan terkejut dengan aktiviti jual beli pelbagai barangan di setiap pintu pagar Masjid Nabawi setiap kali sebelum dan selepas waktu solat fardu (termasuk waktu subuh)

Bersambung….

Posted on March 9, 2013, in Umrah 2013 and tagged . Bookmark the permalink. 5 Comments.

  1. Abdul Rahman bin Sulaiman

    Ya ALLAH permudahkan lah segala urusan kami disini ya ALLAH. Tk atas maklumat untuk panduan kami. Aminnnn..

  2. SAMBUNG?? nak cari kat mane???

  3. Pengalaman umrah yg menarik. Terima kasih kerana berkongsi maklumat.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: