Travelogue Umrah 02 – Raudhah@Masjid Nabawi


Rasulullah SAW bersabda “Antara kamarku dan mimbarku terletak satu bahagian dari taman syurga” Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim.

Sebilangan besar para ulama mempercayai tempat yang dikatakan itu adalah Raudhah yang mana sekarang ini terletak di dalam Masjid Nabawi. Masjid Nabawi merupakan masjid kedua dibina oleh Nabi Muhammad SAW selepas Masjid Qubah yang terletak di antara Madinah dan Mekah. Mendirikan solat di Masjid Nabawi dikatakan akan memperoleh 1,000 ganda pahala berbanding di masjid-masjid lain kecuali di Masjidil Haram yang memperoleh 100,000 ganda pahala.

Kalau dah nampak payung gergasi begini..maksudnya kita telah berada di dataran luar Masjid Nabawi

Kalau dah nampak payung gergasi begini..maksudnya kita telah berada di dataran luar Masjid Nabawi. (Payung gergasi yang di belakang tu ya. Yang dihadapan tu gergasi macho)

Hari kedua kami di Madinah, mengikut aturcara awal yang dirancang, terdapat 2 orang mutawif yang akan membantu kami yang pertama kali menunaikan umrah. Seorang ustaz yang akan membantu kaum lelaki dan seorang ustazah yang akan memberi bimbingan kepada kaum wanita.

Perancangan awalnya pagi itu, sekitar jam 10am kami akan sama-sama bergerak ke Raudhah, seteruskan ke makam Rasulullah SAW dan makam dua sahabat baginda iaitu Sayidina Abu Bakar R.A dan Sayidina Umar R.A sebelum menziarahi makam para sahabat, ahli keluarga Rasulullah SAW dan lain-lain di perkuburan Baqi. Walau bagaimanapun atas sebab-sebab yang tak dapat dielakkan ustaz yang akan mengiringi kami hanya boleh datang selepas Isyak. Kaum wanita pula, alhamdulillah, mereka mula bergerak menuju ke Raudhah bersama seorang ustazah pengiring lebih awal lagi kerana waktu ziarah untuk kaum wanita ke Raudhah adalah terhad berbanding dengan kaum lelaki (terbuka 24 jam sehari).

Maka seperti yang saya jangkakan, perkara-perkara sebegini pasti akan diterima dalam konteks yang berbeza oleh setiap ahli jemaah. Ramai yang mula merungut dan lupa bahawa kita sekarang berada di Madinah, sememangnya bumi yang penuh dengan misteri, kepelbagaian dan ketidaktentuan. Kita manusia sememangnya pakar dalam bab merancang, tetapi Allah merupakan sebijak-bijak perancang dan penentu segalanya. Dia telah menentukan aturannya sebegitu, pasti ada sebabnya.

Setelah beberapa minit mendengar abang-abang dan pakcik-pakcik tadi merungut, akhirnya beberapa pernyataan “rasmi” dibuat:

Abang 1 – “So…kita nak buat apa sekarang ni? Kita semuanya ni 1st timer. Mana kita tahu macam mana nak ke Raudhah, makam Rasulullah tu. Ingatkan ada ustaz tadi, bolehlah tunjuk dan bimbing apa yang patut. Dia tak dapat datanglah pulak…”
Abang 2 – “Kita pergi jerlah sendiri. Tanya orang. Malam nanti, lepas Isyak, kalau ustaz tu datang, kita ikutlah lagi sekali..”
Abang 3 – “Pergi sendiri tu no problem. Yang aku tak puas hati ialah, dia tak boleh cancel sesuka hati. Tukar jadual macam tu jer. Malam tadi ia ia kata tunggu jam 9.30am, jam 10am gerak. Ni, senang-senang jer ubah lepas Isyak. Tak ada bagi sebarang sebab pulak tu. Aku tak peduli, nanti aku nak complaint kat management”.

Akhirnya…dalam keributan melayan pelbagai perasaan, ada yang positif, ada yang negatif, ada yang over sensitive, kami bergerak bersama ke arah Masjid Nabawi. Ada juga pakcik-pakcik yang mengambil keputusan berehat di hotel dahulu kerana masih kepenatan.

Kami mula bergerak dalam kumpulan 8 orang. Sampai di dataran Masjid Nabawi, secara automatik ia terpecah kepada 2 kumpulan 4 orang, mengikut kadar kepantasan berjalan dan minat masing-masing. Akhirnya…tanpa saya sedari, tinggal saya seorang diri di dataran tersebut bersama ratusan jemaah lain dari serata dunia.

Haa haa. Padan muka saya… Suka sangat berhenti pada setiap subjek baru yang saya temui. Saya banyak berhenti membelek struktur payung gergasi di dataran tersebut, saya juga leka melihat teknik sekumpulan pekerja pembersihan dari Bangladesh yang membersihkan payung tersebut dan juga lantai dataran, saya juga banyak berhenti mencari lokasi dan spot terbaik untuk mengambil gambar struktur bangunan masjid yang utama…dan akhirnya…saya pergi toilet, buat kajian rintis, manalah tahu bila diperlukan nanti, sekurang-kurangnya saya telah bersedia dengan pekali kebolehpercayaan yang tinggi. Apa-apa pun layan beberapa keping gambar yang sempat saya snap ini.

Pekerja sedang membersihkan dataran luar masjid dan juga payung gergasi

Pekerja sedang membersihkan dataran luar masjid dan juga payung gergasi

Payung yang sentiasa dibersihkan dari masa ke semasa

Payung yang sentiasa dibersihkan dari masa ke semasa

Kalau dahaga, minumlah air zam zam sejuk yang disediakan (kalau emergency, juga dijadikan tempat mengambil wuduk)

Kalau dahaga, minumlah air zam zam sejuk yang disediakan (kalau emergency, juga dijadikan tempat mengambil wuduk)

Suasana di dataran luar bangunan masjid Nabawi

Suasana di dataran luar bangunan masjid Nabawi

Dataran ini juga akan bertukar menjadi saf untuk solat bila-bila masa yang diperlukan

Dataran ini juga akan bertukar menjadi saf untuk solat bila-bila masa yang diperlukan

Toilet...ada banyak toilet dan sekaligus tempat mengambil wuduk yang disediakan di sini.

Toilet…ada banyak toilet dan sekaligus tempat mengambil wuduk yang disediakan di sini.

Toilet...jam 10am...tak ada orang sangat masa ini

Toilet…jam 10am…tak ada orang sangat masa ini. Dapatlah toilet ini berehat seketika

Temat mengambil wuduk yang selesa (tetapi jauh dari tempat solat...itu sebab ramai yang lebih suka solat di dataran luar sebab mudah nak ke toilet atau memperbaharui agaknya)

Tempat mengambil wuduk yang selesa (tetapi jauh dari tempat solat…itu sebab ramai yang lebih suka solat di dataran luar sebab mudah nak ke toilet atau memperbaharui wuduk agaknya)

Suasana dalam masjid; jam 10.20am. Kelihatan kosong kerana saf yang dibelakang. kalau saf yang dihadapan....penuh dah.

Suasana di dalam masjid Nabawi; jam 10.20am. Kelihatan agak kosong kerana saf yang agak dibelakang. Kalau saf yang di hadapan….penuh dah walaupun di waktu pagi.

Aisehman…mati kalau nak cerita detail sebegini. Ini baru cerita hari kedua kami di Madinah. Ada 12 hari lagi aktiviti di Madinah dan Mekah nanti. OK, OK, kita fokus yang utama sahaja ya…apa dia? Macam mana nak kembali ke pangkal jalan semula ni…??

Setelah meluangkan masa beberapa ketika menghayati keindahan Masjid Nabawi, saya baru tersedar yang saya misi utama saya pagi itu ialah untuk mengunjungi Raudhah dan Makam Rasullullah SAW. Berpandukan apa yang saya baca daripada buku-buku panduan umrah sebelum ini, kata mereka untuk ke Raudhah, cari kubah nabi bewarna hijau di bahagian atas masjid (kubah yang lain bewarna putih/perak) dan masuk menerusi pintu masjid yang dikenali sebagai Babus Salam tidak jauh dari kubah tersebut.

Setelah bertanya seorang encik Cleaner, maka saya pun berjaya menemui pintu Babus Salam. Laaaaa…pintu yang saya dan isteri jumpa malam sebelumnya semasa kami mula-mula turun meninjau keadaan sekitaran Masjid rupanya. Cissss…rugi tak terus masuk malam tadinya (mungkin niat malam tu salah agaknya, maka Allah tutupkan laluan ke arah itu). Untuk membaca pengalaman hari  pertama dan pengalaman pertama kali kami ke Masjid nabawi, sila ke sini : Travelogue Umrah 01 – Dari KLIA ke Madinah.

Pintu Babus Salam; jam 11 am

Pintu Babus Salam; jam 11 am

Masuk sahaja ke masjid Nabawi menerusi pintu Babus Salam saya terus terasa auranya. Hati tiba-tiba rasa sayu kerana tidak menyangka akhirnya berpeluang juga untuk…ehhhh…stop…stop. Cerita pasal sayu, sedih, gembira, bertuah, insaf dan yang sewaktu dengannya ni tak payah ceritalah di sini ya. Kita fokus..fokus isi utama sahaja…..(masalahnya..ini blog Rojak…semua rojak…mana ada fokus loh…hee hee).

Kira-kira 75m dari pintu Babus Salam, kelihatan tersergam indah tiang-tiang putih yang disulami corak atau kaligrafi bewarna hijau. Yuppp…itu tanda kedua lokasi terletaknya Raudhah berdasarkan apa yang saya baca sebelum ini. Yesss…dah dekat dah ni. Next…tanda seterusnya cari karpet berwarna hijau + putih..alamak…tak nampak karpet hijau pun, semua karpet ni nampaknya merah sahaja.

Kalau nampak tiang yang sebegitu rupa, tandanya anda telah menghampiri Raudhah

Kalau nampak tiang yang sebegitu rupa, tandanya anda telah semakin menghampiri Raudhah

Saya terus berjalan. Beberapa langkah di hadapan saya kelihatan pintu untuk masuk ke satu lagi ruang di mana orang ramai sedang bersesak-sesak cuba memasukinya. Saya menjenguk sedikit..hmmm..karpetnya masih merah. Mana karpet hijau ni? Kemudian saya memandang ke hadapan lagi dan ternampak sebuah struktur seperti mimbar yang digunakan oleh imam semasa membaca khutbah Jumaat. Terus terlintas di fikiran saya tentang mimbar atau mihrab nabi…adakah ini rupanya mimbar nabi? Kalau ya, itu bermakna di sinilah Raudhah, taman syurga itu bermula.

Lebih kurang 15 langkah lagi sebelum berjaya memasuki Raudhah. Nampak tak Mihrab nabi tu...?? Orang sudah semakin ramai

Lebih kurang 15 atau 20 langkah lagi sebelum berjaya memasuki Raudhah. Nampak tak Mihrab nabi tu…?? Orang sudah semakin ramai

Saya mula bergerak ke arah mimbar nabi tersebut tetapi manusia (mungkin jin pun ada rasanya) terlalu ramai. Nak tengok perut sendiri pun tak boleh, inikan pula nak tengok karpet sama ada hijau atau pun tidak warnanya. Terasa sesak nafas kerana dihimpit dari belakang, kiri, kanan, hadapan (mujurlah tiada yang menekan dari atas atau menjolok dari bawah).

Kelihatan orang ramai berebut-rebut dan bersesak-sesak untuk solat dan berdoa. Ini memandangkan di sini..di Raudhah ini merupakan antara lokasi yang mustajab untuk kita berdoa dan memohon sesuatu daripada yang Maha Pencipta.

Saiz Raudhah ini tidaklah besar, jauh rationya berbanding dengan saiz Masjid Nabawi itu sendiri. Anggaran kasar ianya lebih kurang sebesar saiz court badminton sahaja. Jadi bayangkanlah betapa sesaknya ia dengan manusia yang tidak henti-henti mengunjunginya.

Di sini juga kita dapat melihat pelbagai sifat dan warna manusia. Kalau dalam kehidupan biasa, kita terlalu mencari redha sekitaran (kawan, majikan dan sebagainya) dan sering terlupa yang lebih utama ialah redha Allah, tetapi di sini, di Raudhah ini, semua orang ingin mencari Redha Allah…sehingga melupakan hak dan tanggungjawab kita sesama manusia. Kalau tidak, mana mungkin kita dapat melihat adengan orang melangkah orang yang sedang solat, orang yang berdiri buat selamba bodoh jer di hadapan orang yang sedang solat, orang yang memijak dan terpijak kepala orang yang sedang sujud, orang yang disiku dan menyiku, orang yang solat tak berhenti-henti dan mengabaikan hak orang lain juga untuk solat di situ dan sebagainya.

Saya terus tertolak, ditolak, tertarik ke hadapan dan ke belakang sambil mencari-cari tempat yang sesuai untuk membina tapak. Dalam hati terfikir juga, macam mana nak solat atau berdoa dengan khusyuk dalam keadaan begini? Tiba-tiba terasa tangan saya ditarik ke bawah. Kelihatan seorang lelaki tua (dari Iran atau Jordan barangkali) yang sedang duduk, berusaha untuk bangun. Saya pun membantu dengan menariknya dan apabila dia telah dapat berdiri stabil tiba-tiba dia menolak saya ke hadapan. Cisss…kata saya (dalam hati), kita dah tolong dia, dia tolak kita pula…

Lelaki itu terus bercakap dalam bahasa yang tidak saya fahami tetapi gerak tangannya menunjukkan keadaan seperti orang ingin mengangkat takbir untuk solat. Oooo…dia marah kerana saya terlalu dekat dengan tempat dia solat agaknya, kata hati saya. Sambil menunjukkan tangan seperti memohon maaf, saya pun cuba menjauhi beliau.

“Solat..solat…”

Kata lelaki tua lagi sambil menunjukkan tempat duduknya tadi, sambil tangannya menghalang orang lain daripada mengambil tempat itu.

Oooo…dia suruh saya solat di tempatnya tadi…hee hee. Alhamdulillah. Betul-betul di sebelah kanan mimbar nabi. Saya pun terjaga dari lena dan terus bersedia untuk solat. Masalahnya…waktu itulah pula datangnya blank zero idea. Nak mulakan dengan solat apa dulu ni..???? Kelam-kabut punya pasal. Mujurlah blank buat seketika cuma. Selepas berstighfar 2, 3 kali akhirnya saya mulakan dengan solat tahayatul masjid.

Alhamdulillah, walaupun beberapa kali tertolak saya masih mampu bertahan daripada berubah arah kiblat dan akhirnya berjaya juga menyempurnakan solat sunat tersebut. Selepas selesai berdoa kesejahteraan dunia dan akhirat untuk keluarga, rakan-rakan dan sebagainya, saya merasa bahu saya ditepuk beberapa kali. Kelihatan seorang lelaki berusia lewat 50an memandang saya dengan penuh sayu, mohon simpati minta tempat pastinya. Saya terus menangguhkan niat untuk solat dhuha dan memberikan lelaki tadi tempat duduk saya.

Saya bangun dan mula kembali bergerak. Keadaan masih terlalu sesak dengan manusia. Beberapa langkah ke hadapan kelihatan beberapa orang pak guard Arab sedang mengawal keadaan, meminta yang sudah solat untuk keluar, mengarahkan yang terlalu panjang doanya untuk bangun bagi memberi peluang kepada orang lain pula. Saya melihat terdapat 2 laluan untuk keluar dari Raudhah. Saya menjeling sekitaran kalau-kalau ada ruang untuk saya solat dan berdoa (kerana baru saya perasan, tadinya saya sibuk memanjangkan doa untuk dan dari rakan-rakan dan sanak keluarga, sehingga terlupa untuk mendoakan diri sendiri dan isteri).

Oleh kerana keadaan terlalu sesak, saya terus mengambil keputusan untuk keluar dari Raudhah dahulu. Mencari jalan keluar juga merupakan satu masalah. Kita terpaksa melangkah atau memijak orang yang sedang solat untuk menuju jalan keluar. Dalam keadaan kelam-kabut begitu, tiba-tiba pak guard mengarahkan seorang lelaki yang baru bangun untuk mengangkat takbir untuk berhenti dan keluar. Huh..kejamnya kata hati saya. Guard berkuasa memutuskan ikatan yang sedang diusahakan antara manusia dan penciptaNya.

Setelah berbalas-balas jawab, akhirnya lelaki tadi beralah dan keluar. Mungkin guard mengarahkan dia keluar kerana sudah terlalu lama di situ agaknya. Sebaik sahaja lelaki itu keluar, saya dapat melihat jalan untuk keluar. Tiba-tiba guard tadi menjerit pada saya sambil menunjukkan ruang kosong di hadapan saya:

“Haji…Haji…Solat..Solat..!!!”

Oooo…ya tak ya juga. Dah ada ruang untuk solat dan berdoa, mengapa pula saya nak terus keluar. Ada bodoh sedikit keputusannya di situ. Hee hee. Saya pun terus mengucapkan syukur alhamdulillah, memasang kuda-kuda agar tidak tersungkur nanti kalau ditolak, dan terus menunaikan solat dhuha. Alhamdulillah, kali ini solat boleh disempurnakan dengan khusyuk, doa juga lebih jelas dan tersusun rapi kerana ada guard yang menjaga.

Selesai solat dan berdoa saya terus bangun bagi membolehkan orang lain yang menunggu mengambil tempat saya. Saya terus keluar dari Raudhah menggunakan pintu di bahagian tengah.

Salah satu pintu keluar dari Raudhah (bahagian tengah)

Salah satu pintu keluar dari Raudhah. Jangan gatal-gatal nak cuba masuk menggunakan pintu ini. Confirm kena sergah dengan pak guard Arab

Selesai….??? Belum lagi. Bila saya sudah keluar dari Raudhah, barulah saya teringat…

“Ehhh..bukan ke sepatutnya ada makam Rasulullah SAW dan sahabatnya dalam Raudhah tadi??? Apasal aku tak nampak pun..???”

Ya…sepatutnya berdasarkan pengalaman orang lain yang saya pernah baca, rata-rata mengatakan selepas selesai berdoa di Raudhah, jangan lupa melawat dan mengucapkan salam di makam Rasulullah SAW dan para sahabatnya.

Haaa sudah…apasal saya tak nampak pun makam tersebut. Tanpa berfikir panjang, saya masuk semula ke pintu masuk Raudhah, mengulangi aktiviti tolak-menolak, tekan, ditekan dan sebagainya. Fokus saya hanya satu…ingin terus bergerak sehingga ke hujung Raudhah kerana andaian saya makam Rasulullah SAW pasti ada di sana kerana saya teringat sebuah lagu lama nyanyian Wann dahulu (ingat kerana dia ni orang kampung saya, pernah skodeng dia naik basikal dengan adiknya pergi mengaji Al-Quran sama-sama dulu..masa sekolah…ehhh…fokus..fokus…lari daripada tajuk pula ni..).

Lirik lagu tu kalau tak silap :

Di antara mimbar nabi dan pusaranya…
Di situ terletaknya taman Raudhah
La la la la (tak tahu lirik seterusnya dah…)

Haaaa…confirm. Mimbar nabi dah betul, ada. Pusara mesti ada dihujung sana. Saya pun terus bergerak mengikut arus tolakan orang ramai. Sambil itu, saya juga turut mengambil kesempatan berdoa semua yang patut di sepanjang masa berada dalam kawasan Raudhah. Sampai di hujung, yang kelihatan hanya dinding. Allah…manalah pulak makam Rasulullah SAW ni. Saya memandang sekeliling kalau-kalau ada muka yang boleh berbahasa Melayu atau Inggeris yang mungkin boleh saya tanya…tapi kecewa.

Akhirnya…saya melihat satu tempat kosong dan saya terus duduk sebentar. Mengeluarkan IPhone, slide 2, 3 skrin sehingga jumpa aplikasi Al-Quran. Hmmm…alang-alang dah sesat, baik saya baca Al-Quran…mungkin ada petunjuk dan jalan di situ.

Saya terus mengambil peluang membaca Al-Quran di Raudhah kerana di hujung taman ini, kelihatannya orang tidak terlalu ramai. Berjaya membaca Al-Quran untuk kira-kira 15 minit saya pun mengambil keputusan untuk keluar kerana orang semakin ramai dan ramai yang mula memandang saya dengan muka yang kurang puas hati…inginkan tempat itu pastinya.
Nantilah..malam nanti, boleh datang bersama ustaz, dia akan tunjukkan nanti mana makam Rasulullah SAW kata hati saya.

Saya terus keluar dari Raudhah dan melihat ramai orang yang sedang membaca Al-Quran di laluan/saf utama di hadapan Raudhah. Saya pun mengambil keputusan untuk menyambung bacaan saya tadi yang masih berbaki 2 helai untuk ke juzuk seterusnya. Saya terus mengambil tempat dan sebaik sahaja mula ingin membaca, saya dapat merasakan ada sesuatu yang tak kena. Ehhhhh…mengapa ramai yang membaca Al-Quran sambil membelakangi kiblat ni…?? Budaya baru ke ni??? Saya dapat merasakan ada sesuatu di belakang saya yang istimewa yang menyebabkan ramai orang yang tersalah arah…menghadapnya sambil membaca Al-Quran dan berdoa.

SAM_0085

Orang ramai yang beratur untuk mengucup, memegang, menangis di hadapan Makam Rasululullah SAW dan para sahabatnya. Kita jangan ikut ya…tak baik. Berdoa dan mengucapkan salam lebih afdal.

Inilah antara saf-saf yang tak jauh dari imam dan berdekatan dengan Raudhah...sentias apenuh kerana ramai yang "tidur dan menetap" di sini.

Inilah antara saf-saf yang tak jauh dari imam dan berdekatan dengan Raudhah…sentiasa penuh kerana ramai yang “tidur dan menetap” di sini.

Di belakang tu...Makam Rasullullah dan 2 sahabatnya

Di belakang tu…Makam Rasullullah SAW dan 2 sahabatnya Saiydina Abu Bakar RA dan Saiydina Umar RA

Ha ha ha…saya ketawa (dalam hati). Betullah….di belakang saya juga kelihatan orang ramai yang sedang beratur. Kira-kira 50m dari pintu keluar Raudhah tadi terletaknya Makam Rasulullah SAW dan dua sahabat utamanya iaitu Saiydina Abu Bakar R.A dan Saiydina Umar R.A.

Saya pun terus mengeluarkan buku panduan umrah & ziarah. Cari halaman yang berkaitan dengan ziarah makam Rasulullah SAW dan dua sahabat utamanya. Di dalamnya terdapat doa dan cara memberi salam yang afdal dari diri sendiri dan juga dari rakan-rakan dan keluarga yang mengirimnya. Kepada rakan-rakan dan sanak-saudara yang mengirim…alhamdulillah mana yang sempat dan teringat, saya dah sampaikan salam semua dan juga mendoakan agar semuanya juga akan berjaya sampai ke sini nanti. Insyaallah..

Setelah selesai berdoa dan memberi salam saya pun beredar keluar dari Raudhah dan Makam Rasulullah SAW. Saya sempat juga menjeling betapa ramainya yang beratur untuk memegang, mencium sambil menangis di hadapan makam Rasulullah SAW dan sahabatnya. Mungkin itu cara mereka. Kita tidak digalakkan mengikut cara orang. Saya difahamkan…itu Bidaah dan perlu dielakkan.

Sekembalinya ke hotel, cik isteri dan rombongan cik kiahnya masih belum pulang lagi. Maklumlah ada ustazah yang mengiringi, pasti doa dan penerangannya lebih panjang berjela.

Kami di Masjid Nabawi

Kami di Masjid Nabawi

Bila bertemunya kami di tengahari itu, cik isteri bercerita tanpa henti. Untuk wanita, lain storynya. Malas saya nak ceritakan. Tak larat dah ni. Ringkas cerita, untuk kaum wanita waktu lawatannya agak terbatas mengikut waktu tertentu, tidak seperti kaum lelaki yang bebas keluar masuk 24 jam sehari. Waktu memasuki Raudhah untuk kaum wanita ialah :

Pagi: Selepas solat subuh hingga jam 10.00 pagi
Tengah hari: Selepas solat zohor hingga jam 3.00 petang
Malam: Selepas solat isya’ hingga jam 11.00 malam

Mereka juga dikehendaki memasuki Raudhah menerusi pintu An Nisa (dan bukannya pintu Babus Salam sepertimana kaum lelaki). Untuk kaum wanita, mak guardnya dikatakan lebih tegas. Mereka akan menyemak setiap bag yang dibawa bagi memastikan tiada kamera di bawa masuk. Tapi menurut isteri saya lagi, kadang-kadang pelik juga kerana dalam bagnya trang tang tang ada kamera tapi dilepaskan, tetapi ada juga rakan-rakan yang ditahan.

Kalau dahulunya menurut apa yang dibaca, dikatakan kaum wanita akan dibahagikan mengikut kumpulan; Asia, Arab, Afrika dan sebagainya tetapi kali ini menurut isteri saya seolah-olah mak guard dah tak larat nak mengawal. Dia lepaskan sahaja semuanya mengikut gerak hati sendiri. Menurut isteri saya…di bahagian kaum wanita lebih ganas aksinya. Tak sanggup untuk diceritakan di sini.  Jadi kepada kaum wanita Asia khususnya dari Malaysia yang kecil molek dan bersopan-santun tingkah lakunya….hati-hati dan sentiasa berdoa agar dipermudahkan urusan di Raudhah nanti. Jangan ikut perangai kaum wanita dari kelompok yang lain…jangan mengejar sesuatu yang sunah sampai kita terpaksa melakukan sesuatu yang haram (menganiaya orang lain, hasad-dengki dan sebagainya).

Berbual bersama beberapa orang rakan di sebelah petangnya pula menyebabkan saya terasa semakin insaf dan bersyukur yang amat sangat. Rakan yang sama-sama bergerak mencari Raudhah di pagi hari tadi bercerita betapa sukarnya untuk mereka memasuki Raudhah. Selain dari kesesakan yang teramat sangat sehingga tidak boleh bergerak, ruang untuk solat juga tidak ada langsung. Apa yang boleh dilakukan hanyalah berdiri sambil berdoa kerana ruang untuk rukuk atau sujud…jauh pinggang dari ibu jari kaki. Ada yang putus asa dan keluar setelah lebih 40 minit bersesak-sesak.

Ya Allah ya tuhan ku. Syukur Alhamdulillah kerana Kau memudahkan urusan ku di Raudhah. Sememangnya betul kata ustaz YouTube yang saya dengar…berbulan sebelum pergi menyahut panggilan menjadi tetamuNya…perbanyakkan solat hajat, solat tahajud dan solat taubat dan mohon agar dipermudahkan segala urusan kita di sana nanti. Jangan putus juga berdoa sepanjang waktu kita di Madinah/Mekah…kita pasti akan terkejut dengan kuasa doa…kerana di sini…doa kita terlalu dekat denganNya…DEKAT sangat….!!!! Percayalah…

Alhamdulillah sepanjang 3 hari di Masjid Nabawi saya sendiri sempat mengunjungi Raudhah dan juga Makam Rasullullah SAW sebanyak 6 kali. Waktu yang paling sesak ialah selepas solat subuh sehingga sekitar jam 10am dan waktu yang agak tenang ialah sekitar jam 12.30am-2.00am. Waktu itu keadaan adalah lebih selesa (sedikit) untuk kita berdoa dan melakukan solat sunat tahajud, hajat, tasbih, taubat dan sebagainya dapat disempurnakan.

Pintu Babus Salam jam 3 am. Kononnya datang awal nak masuk Raudhah dan dapatkan tempat di belakang imam untuk solat subuh (jam 4.30am)...dah tutup..Penuh. huhuhu

Pintu Babus Salam jam 3 am. Kononnya datang awal nak masuk Raudhah dan dapatkan tempat di belakang imam untuk solat subuh (subuh kira-kira jam 4.30am)…dah tutup..Cepat betul penuhnya. huhuhu

Pintu 2b (Abu Bakar Al Siddique), pintu selepas Babus Salam. kalau dapat berada di sini, kiranya saf nombor 20-30 di belakang imam...pun penuh walaupun datang awal kira-kira 2 jam sebelum waktu subuh. Kalau nak mudah...solat jer saf yang nombor beratus-ratus di belakang imam atau terus di luar bangunan masjid...insyalllah free. huhuhu

Pintu no. 2b (Abu Bakar Al Siddique), pintu selepas Babus Salam (Pintu no 1). Kalau dapat berada di sini, kiranya kita akan berada di saf nombor 20 hingga 30 di belakang imam…pun penuh walaupun datang awal kira-kira 1 jam setengahsebelum waktu subuh. Kalau nak mudah…solat jer di saf yang nombor beratus-ratus di belakang imam atau terus di luar bangunan masjid…insyallah masih free. huhuhu

Raudhah…..taman syurga yang menginsafkan…kau pasti dirindui kerana dalam hati….sudah ada taman yang mewangi…

Posted on March 12, 2013, in Umrah 2013 and tagged . Bookmark the permalink. 3 Comments.

  1. syukur saudara dpt ke RAUDAH 6 x, mmg bnyk hlgan & ujian nak ke sana,
    (faizmin@blogspot.com)

  2. Assalamualaikum, t/kasih dengan perkongsian ilmu juga pengalaman; saya juga amat merindui kewangian Raudhah- doakan bersama kita senantiasa menjadi tetamu NYA amin…tkasih dgn gambar2 ini…masa p tak sempat nak ambik gambar..

  3. Assalamualaikum, terima kasih berkongsi pengalaman dan gambar2 ini.
    Ya, semasa saya pergi dulu pun mmg mak2 guard tegas dan akan memeriksa beg2 utk memastikan tiada kamera atau hp berkamera…silap haribulan kena hantar hp dan kamera balik bilik spt yg terjadi dgn salah seorg jemaah umrah. Mujur juga hotel berdekatan kalau tidak terpaksalah solat diluar.
    Dulu payung2 tu xde lagi…suasana di Raudhah mmg x dapat nak digambarkan, betapa kaum hawa ni yg berpakaian serba hitam menjadi sebegitu kasar gerak lakunya, kita yg kecil molek ni ditolak2 smp ada yg terjatuh…ttp mungkin itu bahagian masing2…
    Alhamdulillah, sepanjang saya di sana segala urusan dipermudahkan dan ada sahaja yg membantu…
    In Syaa Allah, ada rezeki dan dgn anugerah Allah akan berkunjung lagi kesana…Aamiin Ya Rabbal ‘Alamiin

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: