Drama Melayu vs Kasihnya Ibu


Sedang menonton drama melayu mengisahkan pengorbanan seorang ibu yang bersusah-payah membesarkan anaknya dalam serba kepayahan dan seterusnya menguruskan anaknya yang ingin belajar ke luar negara (dan tak perlu tengok sampai habis pun drama ni kerana boleh dijangka akhir jalan ceritanya nanti…anak ini mesti derhaka, lupakan ibu, akhirnya…ibu itu meninggal dunia dalam keadaan kecewa…anak itu akan insaf, atau kalau tidak…akan dilanggar kereta, kena penyakit kanser atau gila di muka tangga atau tanah kubur)....tapi itu bukan isunya. Isunya sekarang…tiba-tiba saya teringatkan kisah arwah ibu saya yang dahulu juga begitu beria-ia memujuk saya untuk rajin-rajin belajar sampai ke luar negara.

Dan setiap kali juga saya menjawab dengan jawapan yang sama:

Saya : Mak jangan risaulah…mesti boleh punya. Mak tengoklahlah nanti, bila besar…Orang mesti dapat belajar sampai ke oversea.
Mak : Ya lah tu. Belajarnya malas, tak pernahnya buat kerja bukan last minute. Asyik main, tengok TV ajer…ada hati nak ke luar negeri.
Saya : Jangan risaulah mak. Dah memang buat macam mana pun, memang Orang akan pergi luar negerilah. Confirm. Tak boleh tidak dah.

Ya…sejak kecil, dari sekolah rendah lagi saya memang betul-betul yakin saya akan berjaya sambung belajar ke luar negara. Walaupun saya bukan dalam kategori pelajar cemerlang kerana saya agak malas orangnya dan suka buat kerja last minute (yuppp…contohnya; saya hanya pulun study untuk SPM hanya 2 minggu terakhir sebelum bermulanya SPM…huhuhu).

Mengapa saya begitu yakin?? Kerana…ishhh…sibuk ajerlah..korang memang tak ada kerja, suka menyibuk hal orang. Kalau tak, tak akanlah masih membaca status panjang ini kan? tak ada masa depan sungguh. Hee hee. Dengar dialog ni seterusnya:

Mak : Yang kamu yakin sangat ni mengapa?
Saya : Tengok tapak kakilah mak.
Mak : Apa halnya dengan tapak kaki kamu tu?
Saya : (sambil menunjukkan tapak kaki saya, ada tahi lalat jelas 1200 megapiksel disitu) – Mak yang kata dahulu, anak mak ni akan berjalan jauh sampai ke luar negeri untuk belajar sebab ada tahi lalat kat tapak kaki kanan ni.
Mak : Ya lah tu. Jangan itu pulak yang kamu jadikan alasan. Tak bolehlah berserah saja sayang oiii. Kenalah usaha, kenalah rajin belajar. Kita orang susah Mie, kami tak ada harta benda yang nak ditinggalkan nanti. Pelajaran tu ajerlah
Saya : Orang tahulah. Mak jangan risau OK. Mak tunggu ajer. Nanti Orang belajar tinggi-tinggi sampai oversea, balik nanti kemudian cari kerja pangkat tinggi, nanti Orang belikan mak, ayah rumah batu, gelang emas sampai ke siku.
Mak : Bukan itu yang kami nak. Kamu doakan kami masa kami dah tak ada nanti pun cukuplah.

Yupppp….memang saya yakin gila, bukan yakin sikit-sikit dengan tahi lalat di tapak kaki itu. Maklumlah masa tu kecil lagi..mak dah selalu cakap pasal tahi lalat tu. Walaupun tujuannya mungkin untuk tujuan motivasi, tetapi..ya lah, masa tu kecil lagi…kita percaya sungguh-sungguhlah…huhuhu. Kalau tak dengar, nanti jadi anak derhakalah pula. Walaupun mak dan ayah tidak berpelajaran tinggi, tetapi mereka amat mementingkan pelajaran anak-anak. Kami tak dibenarkan keluar malam, tidak dibenarkan lepas bebas macam anak-anak jiran tetangga yang lain, nak tengok wayang pun jangan harap….kecuali kalau masa dapat tiket free di sekolah semasa musim perayaan atau hari kemerdekaan…itu pun main curi-curi keluar.

Dan..alhamdulillah. Dengan berkat doa orang tua, saya berjaya juga belajar sampai ke luar negara. Sempatlah juga menggembirakan hatinya, menabur jasa membalas pengorbanan ibu walaupun tak lama. Ayah meninggal dunia semasa saya berada di tahun akhir pengajian di peringkat sarjana muda, mak pula meninggal dunia pada tahun 2005…lebih kurang 7 tahun selepas saya balik dari belajar di luar negara. Sempatlah juga dia melihat saya konvo sampai ke Phd…(walaupun dia tak tahu sebenarnya mengapa perlu belajar sampai ke PhD…kan ke dah belajar di luar negeri itu lebih tinggi…?? hee hee….mak..mak…apa nak buat..tahi lalat di kaki masa tu masih belum pudar warnanya lagi)

Teringat lagi kata-kata saya kepada mak sebelum berangkat terbang untuk belajar ke luar negara dahulunya…

Saya : Kan mak…kan Orang dah kata. Jangan risau..mesti dapat belajar sampai oversea. Tengok tapak kakilah. Hee hee…

dan mak hanya tersenyum bangga…

Dan…kenangan itu, senyuman itu kekal terpahat di dalam jiwa, mengikat jati diri untuk berpijak di bumi nyata. Seorang anak kampung yang serba sederhana dari segi kemewahan hidup tetapi dilimpahi kasih-sayang sehingga ke penghujung nyawanya…terima kasih mak, ayah…

Al-fatihah untuk mak dan ayah. Semoga mereka berdua tenang di sana. Memang betul kata mak…harta tak akan bawa kita ke mana…..hanya doa yang mengiringi setiap kali selepas solat dan juga setiap kali hati dipalu dengan kenangan yang lalu…

Update : Drama melayu tadi tu dah habis tayangannya. Kan betul saya cakap. Endingnyamaknya meninggal dunia. Anak tu tak sempat mohon maaf…dilanggar kereta semasa bergegas nak balik ke kampung untuk memohon keampunan dari ibu dan akhirnya berkerusi roda memohon ampun di batu nesan kubur si ibu…siap berguling-guling lagi jatuhnya. Konon nak bagi orang sedihlah tu…ciss…gelak lagi adalah dibuatnya…so cliche…sama kategori dengan ending cerita Tanah Kubur….

Dan kepada yang masih beribu, berbapa…janganlah terlalu khusyuk mengejar dunia, sibuk dengan kekalutan dunia kerjaya atau keasyikan bersama keluarga milik sendiri sahaja. Ingatlah mereka sama. Ingatlah kenangan silam…di kala kita hanya ada mereka..di kala kita masih tidak ada isteri/suami atau anak-anak milik sendiri. Ingatlah juga…masa semakin suntuk. Bila-bila masa sahaja mereka boleh dijemput pergi. Adakah kita berpuas hati dengan talian hayat yang dibuat seminggu atau sebulan sekali atau pertemuan setahun 3, 4 kali di kala perayaan atau cuti sekolah menjengukkan diri….

Kasihnya Ibu

Kasihnya Ibu

tanpa merekatiada kita….
tanpa kita….mereka juga tidak ada apa-apa…
baliklah…telefonlah…bertanyakan khabar
menghantar berita, membisikkan cerita…
peluklah mereka, dakaplah mereka…
usaplah pipi mereka
ciumlah dahi mereka

kerana satu hari nanti….
kita hanya ada kenangan….

kenangan yang pasti mengusik jiwa..
Al-fatihah

Posted on April 23, 2014, in Rumahtangga and tagged , , . Bookmark the permalink. 1 Comment.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: