Suami dan Pasar


Golongan Suami d.Pasarian : Mana Satu Suami Anda….(Atau..Mana Satu Diri Kita Wahai Golongan Suami)

Aktiviti pergi ke pasar basah atau pasar awam untuk berbelanja merupakan antara aktiviti paling menyeronokkan bagi sebahagian daripada lelaki yang bergelar suami tetapi mungkin juga aktiviti yang paling merimaskan bagi segolongan suami yang lain. Ini semua bergantung kepada didikan, pengalaman hidup, tanggungjawab dan tujuan.

Pasar
Berikut merupakan antara golongan lelaki bergelar suami yang ada d.Pasarian…

1. Suamiku…Idaman Malaya

Suami begini akan ke pasar untuk berbelanja tanpa perlu menyusahkan isterinya. Dia mahir berbelanja dan dia juga yang menentukan apa yang patut dibeli dan sebaliknya. Dia juga yang menentukan apa menu pilihan yang akan dimasak oleh isterinya untuk hidangan sarapan pagi, makan tengahari atau malam untuk beberapa hari yang seterusya. Sesekali sekiranya dirasakan perlu, si isteri juga boleh memberi pandangan dan meminta si suami membeli barangan keperluan dapur mengikut keperluan si isteri tetapi dalam banyak keadaan, suami yang akan memberi kata putus. Si isteri diminta memberi lebih tumpuan kepada kerja-kerja rumah yang lain khususnya dari aspek keperluan anak-anak dan sebagainya.

2. Suamiku…Pencetus Ummah

Suami sebegini akan seboleh mungkin cuba membantu isterinya walaupun pengetahuannya tentang urusan dapur tidak setinggi mana. Apabila diminta membeli ikan kembung misalnya, mungkin yang dibawa balik ialah ikan tongkol yang perutnya buncit. Apabila yang diminta ialah lengkuas, yang dibawa balik mungkin halia. Tetapi atas faktor ketidakmampuan untuk pergi ke pasar bersama-sama dengan si isteri (ada anak kecil di rumah misalnya yang perlu dijaga), si suami perlu ke pasar secara sendiri. Suami begini biasanya mudah dikenali. Di tangannya ada kepingan kertas (atau handphone) yang mengandungi senarai apa yang perlu dibeli…tulisan si isteri. Dia akan membeli mengikut arahan spesifik apa yang ditulis atau diminta oleh si isteri tanpa sedikit pun berusaha meletakkan kreativitinya sendiri untuk mengubahsuai mengikut keadaan atau keperluan semasa. Golongan suami yang begini akan mudah marah sekiranya tiba-tiba si isteri menyalahkan mereka kerana tidak membeli sesuatu yang tidak ada ada dalam senarai

Isteri : Alaaa…abang ayamnya mana ?? Tak ada beli ker..??
Suami : Errr..errr…awak ada tulis tak tadi…??
Isteri : Laaa..abang yang kata nak makan nasi ayam hari ni. Yang saya pesan suruh beli tu ialah bahan sampingannya…kentang, daun salad, tomato…
Suami : Ya lah..tapi awak tak tulis pun suruh beli ayam..??
Isteri : Abis tu..nak makan nasi ayam. Takkanlah itu pun nak kena tulis. Takkanlah nak beli kambing lak..???
Suami : Ya lah…saya beli apa yang awak pesan. Awak tak tulis, manalah saya nak ingat semuanya..!!!!
Isteri : Habis tu…nak buat macam mana ni…?
Suami : Cancel nasi ayam…kita makan kentang cicah salad jer hari ni. Malaslah saya nak keluar lagi. Lain kali…tulis…!!!!!

3. Suamiku…Separuh Misali

Suami begini tidak suka ke pasar tanpa kehadiran isteri. Jikalau dibenarkan ke pasar sendiri pun, lebih banyak masa digunakan untuk menelefon isteri bertanyakan itu dan ini.

“Ayang…ikan bawal yang ayang suruh beli tu nak yang besar ke atau nak yang kecil, yang warna hitam ke atau warna putih..? Ayam lak, makcik ni tanya nak potong berapa? Abang kata potong sampai mati…dia ketawa lak…? Ayang tak pesan pun tadi pasal pottong-potong ni ?? Huhuhu”

“Awak…abang dekat depan tempat sayur ni. Bayam tu yang daunnya bulat-bulat warna purple tu ke atau yang panjang-panjang macam kangkung tu…? Nak beli ikut ikat ke atau timbang ? Berapa kilogram nak ?”

Golongan suami begini lebih suka sekiranya isteri ada bersama-sama untuk berbelanja sekiranya di pasar. Dia ingin membantu seboleh mungkin tetapi dia tidak suka sendiri menghadapi beban dan bahang untuk membeli sambil berfikir di pasar . Jadi suami begini biasanya mudah dikenali. Dia akan kelihatan mengikut di belakang isteri sambil memegang plastik berisi ikan, sayur dan barang-barang lain yang telah dibeli. Setiap yang dibeli oleh si isteri akan diserah kepada suami untuk dibawa. Dia tak sanggup melihat isterinya susah berbelanja sendiri, tetapi dia juga tidak mahu pening kepala di pasar sendiri. Sesekali si suami yang begini akan kelihatan berbisik atau menunjuk itu ini…minta dibelikan oleh si isteri. Katanya..

“Awak…kita beli sotong tu. Macam sedap jer kalau buat sotong goreng tepung. Lepas tu beli ikan kulit keras yang awak masak letak sambal dalam perutnya tu…huhhhh..sedapppp”

Ada juga suami begini yang ingin membantu tetapi tidak sukakan kesibukan dan kecelaruan suasana mengikut isteri mengelilingi pasar. Mereka yang begini juga mudah dikenali…akan kelihatan berdiri di mana-mana penjuru atau tiang di dalam kawasan pasar. Menunggu si isteri dengan penuh setia dan ketatasusilaan…dan sesekali isteri akan datang kepadanya menyerahkan barangan yang telah dibeli. Si isteri seterusnya bergerak kembali membeli barangan dapur yang diperlukan manakala si suami kekal menunggu sambil menjaga barangan yang diserahkan si isteri. Ada kalanya mereka menunggu sambil membaca suratkhabar atau bermain dengan handphone masing-masing.

4. Suamiku…Raja Driver

Suami yang begini memang “penyayang”. Mereka akan menemankan si isteri untuk ke pasar tetapi mereka tidak akan masuk campur urusan seterusnya. Tugas mereka ialah memandu, menghantar isteri ke pasar tetapi mereka sendiri hanya menunggu di dalam kereta, membaca suratkhabar atau melayan WhatsApp pelbagai kumpulan dari zaman sekolah tadika sampai zaman bergelar suami separuh purba. Mereka tidak kisah apa yang dibeli oleh si isteri, tanggungjawab sepenuhnya diserahkan kepada si isteri asalkan balik tengaharinya nanti ada makanan untuk dijadikan hidangan santapan di Raja untuk perut sendiri. Errpppp…alhamdulillah.

Golongan suami yang begini bukannya tidak mahu membantu si isteri tetapi ada masanya disebabkan keadaan yang tidak mengizinkan. Contohnya, mungkin ada anak kecil atau beberapa orang anak yang turut serta dan sekiranya dibawa bersama ke dalam pasar akan menyebabkan lebih banyak huru hara dari yang bahagia. Ada juga suami yang ingin memberikan kebebasan sepenuhnya kepada isteri untuk “membeli-belah” tanpa diganggu tetapi ada juga kes di mana sememangnya disebabkan faktor suami itu memang malas dan merasakan urusan pasar…ialah urusan orang dapur.

5. Suamiku…Tapak Sulaiman

Suami yang begini memang tidak suka ke pasar. Dia lebih rela melihat isterinya ke pasar sendiri sama ada di hujung minggu ataupun si isteri diminta singgah di kedai-kedai yang ada menjual barangan basah setiap kali sekembalinya dari pejabat. Urusan dapur ialah urusan si isteri. Urusan suami hanyalah menyediakan peruntukan dan belanja yang secukupnya. Suami yang begini memang ada masanya layak diberi tapak kaki bapak mertua bernama Sulaiman….


6. Suamiku…GIANT

Ada juga suami (dan isteri) yang memang tak suka ke pasar awam. Pada mereka pasar itu adalah tempat murahan dan tidak sesuai dengan status dan kedudukan mereka atau mungkin juga tiak sesuai dengan keadaan semasa serta keperluan hidup mereka. Golongan begini lebih suka berbelanja di pasar raya terkemuka yang berdekatan dengan kawasan pejabat atau taman perumahan mereka. AeON, Tesco dan Giant misalnya….di sana lebih selesa, bersih dan aman dari segala kebusukan dan hiruk pikuk suasana jalanan.


7. Suamiku ..ehhh…Aku Belum Ada Suami.

Suami yang begini memang sukar nak dicari. Kepada anda golongan wanita yang masih belum bersuami…rajin-rajinlah ke pasar awam. Suami yang baik memang sukar untuk dicari. Jangan cari di stesyen bas atau di pasar raya…Tetapi carilah di pasar-pasar awam. Lelaki bujang yang rajin ke pasar berbelanja adalah golongan yang sesuai untuk dipilih dan dijadikan suami. Tetapi hati-hati semasa memerhati dan membuat pilihan..takut tersalah pilih…anda kelak mungkin akan mempunyai mak mertua cop luar negeri. Kentang dan kari adalah hidangan hari-hari….

Itu dahulu untuk saat ini. Isteri saya dah sampai…masa untuk bergerak membawa bag plastik yang penuh dengan muatan…

(Separuh coretan ini dihasilkan di saat dan ketika menunggu si isteri berbelanja di pasar…di kala si suami berdiri di satu ceruk memerhati orang-ramai ke hulu-kehilir meraikan cuti hari Pekerja….Selamat hari pekerja semua…ingatlah bahawa isteri kita tidak pernah dapat berehat dari bekerja….kalau tidak di pejabat, pastinya di rumah..365 hari..sepanjang tahun…maka…jagalah hati isteri masing-masing sebagaimana kita ingin mereka menjaga hati kita…)

Posted on May 1, 2014, in Rumahtangga and tagged , , , . Bookmark the permalink. 5 Comments.

  1. Kelako la tapak sulaiman….

  2. Sent from: Lenovo S650

  3. HJ ABDUL AZIZ HJ ABDUL SHUKOR

    Assalamualaikum Tuan,

    Satu artikal yang baik Kepada mereka-mereka yang baru nak bergelar SUAMI…….jadilah suami yang No. 1 agar bebanan di rumah dapat ditanggung bersama ………sebagai SUAMI&ISTERI………………

  4. Suami Ku No : 1….hii..senang hidupku

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: