Category Archives: IPhoneography

Travelogue Video : Korea-Saigon


Berikut merupakan koleksi 5 episod video travelogue di sepanjang sesi jalan-jalan cari pasal kami ke Vietnam dan juga Korea pada bulan April 2012 yang lalu.

Episod 1
Saigon  Central Mosque & Vietnamese Water Puppet Show

Video perjalanan dari KL ke Saigon, Vietnam. Berhenti seketika (selama 8 jam) sebelum bertolak ke Seoul, Korea. Sempat meluangkan masa seketika melawat kawasan sekitaran bandar Saigon atau Ho Chi Minh City termasuk Saigon Central Mosque dan menonton pertunjukan patung air yang popular iaitu Vietnamese Water Puppet Show.

Read the rest of this entry

Tanjung Piai Resort : Memancing ke Der..??


Aktiviti 2 hari 1 malam berpanas dan bermain embun mengintai ikan buntal di lautan separuh dalam di Tanjung Piai Resort, Pontian, Johor.

Cerita dan gambar selengkapnya….nantilah akan dimasukkan kemudian. Banyak kerja yang lebih berfaedah perlu diuruskan sekarang ni….

Dua pemancing ikan buntal yang ternama (yang juga semakin buntal) sedang berehat seketika

Kelate.D.Hati 01 – Jale2.Masa.Kerja


Rakaman video yang dipaparkan seterusnya ini mengikuti perjalanan saya dan isteri daripada lewat petang di satu hari sehingga ke lewat petang keesokan harinya merentasi beberapa buah negeri untuk sampai ke negeri Che Siti Wan Kembang…Kelantan Darul Naim. Tujuan perjalanan :  bagi menghadiri mesyuarat MAGNETIC – Malaysian Higher Education Teaching and Learning Council. Tapi seperti biasa…walaupun pemergian bagi tujuan rasmi, jangan jadikan ianya sebagai alasan untuk tidak berusaha mencari sedikit masa dan mengambil kesempatan menikmati  keunikan budaya dan kepelbagaian masyarakat di negara sendiri. Kami sempat singgah sebentar di Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu…walaupun sekadar untuk menikmati sarapan pagi….jadilah daripada tidak sempat untuk ke mana-mana nanti.

Selepas sarapan pagi, kami juga sempat mendaftarkan diri ke Pangkalan Kubor, kawasan membeli dan membelah yang popular di sana. Sebelah petangnya, kami meneruskan aktiviti merayau mencari makanan tradisi yang popular di negeri Che Siti Wan Kembang ini seperti laksa lemak, somtam, nasi kerabu ayam percik dan pelbagai jenis kuih yang manis dan berwarna-warni bagai pelangi.

Kesimpulannya…walaupun penat kerana terpaksa memandu seharian dari Johor Bahru ke Kota Bahru dan tidak menaiki kapalterbang seperti yang diarahkan…ianya berbaloi-baloi kerana dengan memandu kenderaan sendiri…lebih puas kita berguling-guling menikmati keindahan alam dan keunikan negara kita sendiri. Tanggungjawab dan tugas dapat dipenuhi, keperluan emosi dan belaian hati juga dapat dilayani.

Anda juga boleh mengikuti komik realiti bergambar perjalanan dan pengalaman kami semasa menjelajah pantai timur di sini : Jelajah.Pantai.Timur 01 : From Pekasam Gi Budu

Nota kaki kiri :
Video dihasilkan sepenuhnya hanya dengan menggunakan IPhone4. Sebahagian daripada video di dalam ini juga menggunakan teknik Tilt.Shift dan Miniature yang tak berapa menjadi..kerana jururakamnya agak pemalas..hee hee…

Kuching.D.Sarawak 03 : Unimas.D.Hati


Episod akhir video perjalanan dari JB menuju ke Kuching, Sarawak. Tujuan kami ke sini ialah untuk bertemu dengan rakan-rakan sekerja di Unimas. Sesi perbincangan, perkongsian idea dan sumber yang boleh dimanfaatkan bagi kemajuan bersama. Terima kasih kepada rakan-rakan CALM, Unimas atas layanan dan kesudian menerima kami….tetamu dari pagi hingga ke senja….

Anda juga boleh kembali ke Episod 01 : Kuching.D.Sarawak – From.JB.with.Love atau Episod 02 : Kuching.D.Sarawak – Sungai Sarawak

Kuching.D.Sarawak 02 : Sungai Sarawak


Video memaparkan aktiviti merentasi Sungai Sarawak  untuk mencari berlapis-lapis kek lapis sarawak dan juga ikan terubuk masin. Kek lapis Dayang Salhah antara yang menjadi tumpuan, tak tahulah mengapa. Ikut sahajalah apa yang kumpulan majoriti kata. Juga aktiviti makan-makan malam bersama rakan – hidangan istimewa malam ini ialah nasi ayam penyet versi Sarawak.

Anda juga boleh menonton video perjalanan dari JB ke Kuching dalam episod Kuching.D.Sarawak 01 atau menonton video episod Kuching.D.Sarawak 03 untuk mengetahui lebih lanjut kenapa kami ke mari.  Untuk itu, maka lengkaplah aktiviti membuang masa anda untuk hari ini. Terima kasih kerana sudi ke mari.

Kuching.D.Sarawak 01 : From.JB.with.Love


Video travelogue (kalau boleh dipanggil travelogue) yang dihasilkan sepenuhnya menggunakan IPhone4 yang membawa perhatian semua kepada satu perjalanan dari Johor Bahru sampai ke Kuching, Sarawak. Apa yang dipandang, apa yang dirasa…semuanya dizahirkan secara visual di sini. Tujuan ke Kuching, Sarawak ialah untuk tujuan kerja tetapi dalam masa yang sama sedikit masa diluangkan untuk siri jalan-jalan cari pasal berjimbaraya di sekitar bandar Kuching. Aktiviti berjimbaraya itu, kita saksikan nanti di Episod 02.

Bersambung ke episod 2 –  Kuching.D.Sarawak 02 : Sungai Sarawak

Ong Bak di Bangkok 02 : KMUTT & The Grand Palace


Hari kedua di Bangkok. Kali ini kami bergerak seawal jam 7am untuk mula bertugas. Destinasi pertama ialah ke Learning Institute KMUTT  (King Mongkurt’s University of Technology Thonburi). Selesai di Learning Institute, kami ke Perpustakaan Utama di KMUTT..salah sebuah perpustakaan contoh di Thailand. Ianya mengamalkan konsep terbuka dan cuba keluar dari kepompong perpustakaan tradisional yang terlalu formal, skema dan terkurung.

Hampir 5 jam berada di KMUTT banyak yang kami pelajari dan kongsikan bersama. Seterusnya perjalanan diteruskan ke destinasi kedua….kali ini,kami ke Universiti Mahidol pula. Selesai berbincang dan berkongsi pendapat dengan pihak pengurusan Universiti Mahidol kami berhenti rehat dan mengambil kesempatan meneruskan aktiviti menjalin Ong Bak di Bangkok sekali lagi. Kali ini kami ke The Grand Palace : yang suatu masa dan ketika dahulu menjadi istana kediaman Raja Thailand dan juga menempatkan bangunan-bangunan utama kerajaan  Thailand. Sebelah petangnya, sekali lagi kami ke pusat bandar Bangkok untuk aktiviti kegemaran ramai….shopping….kali ini ke The Platinum. Dua gedung membeli belah berkembar dengan masing-masing mempunyai 5 tingkat yang menempatkan….hmmm…tak perlu ceritalah. Layaannn….

Anda juga boleh mengikuti video perjalanan Ong Bak di Bangkok Episod 01 itupun kalau boring dan dah tak ada kerja lain yang lebih berfaedah untuk dibuat. Silalah….

Ong Bak di Bangkok 01 : Sungai Chao Phraya


Tarikh : 26 – 28 Julai 2011. Saya berkesempatan mengikuti rakan-rakan sekerja untuk ke Bangkok, Thailand.  Tujuan pemergian ialah untuk melihat potensi menjalinkan kerjasama dengan dua buah universiti terkemuka di Thailand. Tetapi itu agenda untuk hari kedua. Agenda hari pertamanya…sebaik sahaja mendarat, kami terus berusaha membentuk Ong Bak di Bangkok. Kami berkesempatan dan juga berusaha mengambil kesempatan untuk berkejar-kejaran di sekitar Bangkok. Di mulakan dengan aktiviti bersepai-sepai di Restoran Al-Hilal sebelum meneruskan ombakan ke Galeri Madu Thailand (SK Honey Bee), jalan-jalan di sekitar Bangkok, dan seterusnya ke River City untuk memulakan aktiviti menyusuri Sungai Chao Phraya dengan menaiki bot.

Di sepanjang Sungai Chao Phraya kami juga berkesempatan melihat rumah-rumah terapung, pelbagai bentuk rumah ibadat Buddha (wat), memberi makan ikan patin yang menyewa kediaman di sekitar wat tersebut (kalaulah dapat ditangkap, memang confirm boleh dimasak gulai tempoyak). Seterusnya, kami ke MBK Plaza, salah sebuah gedung membeli-belah yang terkemuka di Bangkok sebelum sekali lagi melakukan aktiviti bersepai di restoran Mak Yah. Hampir jam 10 malam..barulah kami melabuhkan tirai ombakan dan menuju ke hotel untuk mencari katil dan bilik air untuk bersiram…bau badan sudah aseeemmmm….

Anda juga boleh mengikuti Episod 2 Ong Bak di Bangkok di sini.

Europe.de.Mana 09 : London – Kuala Lumpur


Penutup kepada siri jelajah Eropah. Setelah meluangkan masa selama 13 hari 11 malam ke German, Switzerland, Perancis, Belanda, Belgium dan England. Dari London kami terbang balik ke Kuala Lumpur. Selamat tinggal Eropah. Walaupun indah di mata ianya cuma buat seketika. Malaysia jugalah yang bertakhta di hati untuk dahulu,kini dan insyallah selamanya. Tempat jatuh lagi dikenang. Inikan pula tempat jarang kita jatuh….

Kembali ke Europe.de.Mana 01 : Persediaan awal

Europe.de.Mana 8b : Shopping@London


London oh London. Penatnya menjadi seorang lelaki apabila seorang wanita bergelar isteri sibuk dengan aktiviti shopping di sana. Hari ini…kita jalan-jalan ke Oxford Street dan Bicester Village…antara contoh lokasi popular untuk aktiviti membeli belah di Kota London. Oxford Street untuk sesi membeli-belah secara kuak lentang berirama manakala Bicester Village pula…sesi pandang-pandang, jeling-jeling , fikir-fikir kalau berkenan barulah diakhiri dengan pembelian. Barangan berjenama dengan harga yang lebih rendah daripada pasaran biasa. Kalau di Malaysia…Johor khususnya kita ada sebuah gedung yang mengamalkan konsep yang serupa…JPO – Johor Premium Outlet.

Sambungan seterusnya ke Europe.de.Mana 09 : London – Kuala Lumpur

%d bloggers like this: